Oleh : Mohd Azizuddin Mohd
Sani
Menjelang 2015, semua negara
anggota Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) akan menongkah arah baru
dengan kewujudan apa yang disebut sebagai Komuniti ASEAN. Cabaran transformasi
kepada agenda lama ASEAN sedang berlaku. Fokus perdebatan ASEAN banyak
berlingkar kepada prinsip tidak campur tangan dan Cara ASEAN. Perdebatan juga
mencakupi isu berkaitan pembentukan Komuniti ASEAN dan Piagam ASEAN dan prinsip
hak asasi manusia yang ingin dimasukkan dalam piagam itu.
Prinsip tidak campur tangan dan
Cara ASEAN terlalu menekankan kepada pemuafakatan dan diplomasi secara senyap
untuk menyelesaikan masalah negara ahli berbanding peraturan institusi dan
kritikan langsung secara terbuka. Rejim ASEAN menolak untuk berdepan dengan
negara anggota, terutama yang melakukan pencabulan hak asasi manusia. Cara
ASEAN meletakkan keutamaan kepada kedaulatan negara dan pemuafakatan negara
ahli berbanding kehendak warga tertindas di dalam negara terbabit. Walaupun
kurang ketelusan dan kebertanggungjawaban, ia lebih efektif. Kepada pendukung
agenda Cara ASEAN ini, mereka cuba mempertahankannya dan menjadikan kejayaan
demokrasi di Myanmar sebagai contoh kejayaan dasar ini. Pengkritik kepada
pandangan ini mungkin tidak bersetuju. Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin
Pitsuwan, pernah mencadangkan kepada negara anggota pada 1998 ketika menjadi
Menteri Luar Thailand untuk ASEAN mengubah polisi kepada apa yang disebut
campur tangan secara fleksibel, iaitu bagi rejim ASEAN untuk campur tangan
secara konstruktif bagi menghalang dan menyelesaikan isu domestik yang
mempunyai implikasi serantau. Pandangan ini dibantah banyak negara, termasuk
Malaysia yang tidak mahu negara jiran mencampuri urusan atau masalah dalaman
negara anggota.
Perubahan pendekatan
Bagaimanapun, sejak dilantik
sebagai Setiausaha Agung ASEAN pada 1 Januari 2008, Dr Surin terus menjalankan
dasar transformasi ASEAN supaya ia kekal relevan dan absah dalam menyelesaikan
permasalahan domestik yang mempunyai kesan kepada politik dan keselamatan
serantau seperti isu pelarian perang, keganasan, perdagangan manusia, dan alam
sekitar. Walaupun gagal mengubah polisi tiada campur tangan dan Cara ASEAN, Dr
Surin berjaya menggerakkan pembentukan Komuniti ASEAN yang dijadualkan pada
2015.
Polisi Komuniti ASEAN menyaksikan
perubahan pendekatan ASEAN daripada lebih mesra negara kepada lebih mesra
rakyat. Komuniti ASEAN yang dibentuk berdasarkan Deklarasi Perjanjian ASEAN
Kedua (Perjanjian Bali Kedua) dan Deklarasi Cebu menggesa semua negara ASEAN
berinteraksi, stabil, berpengetahuan dan mesra di dalam hubungan sesama negara
bagi merancakkan persaingan ekonomi dan menarik pelabur.
Tiga cabang Komuniti ASEAN
Menerusi Komuniti ASEAN, tiga
cabang utama dibentuk iaitu Komuniti Politik-Keselamatan, Komuniti Ekonomi, dan
Komuniti Sosio-Budaya. ASEAN membentuk satu moto untuk menggambarkan agenda
baru pertubuhan ini, iaitu Satu Wawasan, Satu Identiti, Satu Komuniti.
Komuniti Politik-Keselamatan
ASEAN masih menekankan kewujudan norma dan nilai bersama bagi memastikan
jaminan kesinambungan kestabilan politik dan hubungan antarabangsa. Nilai
keadilan, demokrasi dan pemerintahan terbaik diterapkan.
Komuniti Ekonomi ASEAN pula akan
menarik negara ahli untuk sama-sama meningkatkan pembangunan modal insan,
teknologi maklumat dan komunikasi, pengurangan kemiskinan, pelaburan luar dan
meningkatkan kualiti hidup. Fokus adalah jelas kepada isu pembangunan ekonomi.
Komunikasi Sosio-Budaya ASEAN pula memperlihatkan suatu bentuk
transformasi. Pertama, prinsip hak asasi manusia dimasukkan ke dalam Piagam
ASEAN yang membolehkan penubuhan satu badan hak asasi manusia ASEAN.
Kedua, ASEAN menggalakkan
pembabitan masyarakat sivil khususnya dalam mewujudkan badan hak asasi manusia
itu. Pembabitan masyarakat sivil akan mengabsahkan ASEAN menerusi penerapan
norma dan prinsip demokrasi bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab kepada
rakyatnya.
Ramai mengkritik pencapaian
matlamat Komuniti ASEAN ini dan mempersoalkan sama ada transformasi yang
diimpikan mampu dilaksanakan. Walaupun Komuniti ASEAN tidak dapat mengetepikan
kehendak mempertahankan prinsip tidak campur tangan secara langsung dan model
Cara ASEAN, pembaharuan ke arah mengutamakan kehendak rakyat berbanding
kehendak pemerintah mampu mengubah pemikiran dan hubungan antara negara anggota
ASEAN.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan