Oleh : Amidi Abdul Manan
Cabaran mencari dan menambah ahli
bagi sesebuah pertubuhan sukarela, terutama yang berteraskan belia amat
mencabar hari ini. Mungkin disebabkan kesibukan atau gaya hidup yang semakin
berubah menyebabkan generasi muda hari ini kurang menggemari gerak kerja
kesukarelaan. Tidak dapat dinafikan interaksi generasi muda yang semakin
terbatas menyebabkan mereka mempunyai dunia mereka sendiri.
Justeru, tidak hairanlah jumlah
belia yang tidak berpersatuan amat besar jika dibandingkan dengan belia yang
bergiat dalam persatuan. Ia adalah satu fenomena yang membimbangkan apabila
disoroti dari sudut persediaan barisan pemimpin pelapis negara bagi masa akan
datang. Kini persaingan untuk merebut belia bukan saja terhad sesama pertubuhan
belia, ia disengitkan lagi persaingan antara persatuan konvensional dan
pergerakan masyarakat yang digerakkan secara maya.
Kita dapati di media sosial hari
ini semakin banyak seruan untuk menderma bagi melakukan kerja kebajikan. Baik
yang berpangkalan di dalam negeri atau di luar negara. Begitu juga dengan
sasaran derma terbabit yang menjangkau seantero dunia.
Masalah dihadapi
Beberapa persoalan bermain
apabila kita meneliti fenomena sebegini. Antaranya, adakah persatuan sukarela
yang ada sekarang ini gagal memenuhi kehendak generasi muda? Adakah generasi
muda sudah muak dengan gerak kerja sukarela? Apakah tarikan yang menyebabkan
gerak kerja sukarela yang berada di alam maya mendapat sambutan? Apakah bentuk
organisasi yang menjadi kegemaran generasi muda hari ini?
Bagi menjawab persoalan ini, kita
perlu meneliti dan memahami kehendak generasi muda. Antara trend generasi muda
hari ini ialah mereka tidak mahu terikat dengan nilai yang dipaksakan. Walaupun
ini ada perdebatannya, kecenderungan generasi muda untuk melakukan kebajikan
khususnya, tidak harus dikaitkan dengan rupa dan penampilan diri. Mereka kurang
selesa sekiranya mereka perlu untuk mengubah identiti mereka semata-mata untuk
bergiat dalam aktiviti kesukarelaan.
Selain itu, mereka juga tidak
mahu dikaitkan dengan latar sejarah sesebuah pertubuhan. Latar sejarah boleh
saja menyenangkan atau yang menjelekkan. Justeru, mereka tidak mahu terkait
dengan latar yang sedemikian rupa. Pada mereka cukuplah persatuan atau individu
untuk menjadi saluran kebajikan yang mereka kehendaki, tidak perlu menjadi
penyokong setia mana-mana pertubuhan.
Selain faktor masa, kekangan
perjalanan dan perkara lain yang bersifat fizikal, generasi muda mula melihat
saluran kebajikan yang digerakkan menerusi media sosial lebih mudah dan
menyenangkan.
Fenomena ini seterusnya
menghasilkan kefahaman bahawa gerak kerja sukarela tidak lagi memerlukan
organisasi atau persatuan secara konvensional. Maka lahirlah semakin banyak
kempen kebajikan yang dipelopori oleh individu tanpa dikaitkan dengan mana-mana
pertubuhan. Cukup dengan nombor akaun dan program yang hendak dilaksanakan, ia
sudah memadai untuk berbakti kepada masyarakat.
Sekiranya fenomena ini semakin
mendapat tempat di sanubari generasi muda, apakah yang akan terjadi kepada
persatuan konvensional? Segala aktiviti mereka dirampas individu di media
sosial. Pada mereka ia amat menyelesakan kerana tidak lagi perlu menghadiri
mesyuarat agung tahunan yang panjang dan meletihkan. Tidak perlu lagi
bertengkar dalam perbincangan dan tidak perlu lagi terikat dengan peraturan dan
peruntukan dalam perlembagaan persatuan. Apatah lagi memikul tanggungjawab
sebagai Exco dan ahli jawatankuasa yang perlu untuk berhadapan dengan
bermacam-macam pertikaian dan ancaman perundangan, memanglah jauh panggang dari
api.
Di sinilah antara faktor besar
yang mengakibatkan persatuan konvensional semakin kehilangan audiennya. Jumlah
korum untuk bermesyuarat semakin sukar untuk dipenuhi.
Cabaran persatuan konvensional
Ini adalah cabaran besar bagi
persatuan konvensional. Kita meyakini bahawa aktiviti pengurusan seperti
mesyuarat dan bengkel perancangan adalah latihan untuk melahirkan pemimpin dan
anggota masyarakat berwibawa bagi memimpin negara pada masa akan datang.
Generasi muda harus disedarkan
bahawa aktiviti kesukarelaan digerakkan semata-mata di media sosial tanpa
pembabitan fizikal secara total tidak mampu memantapkan kemahiran sosial
diperlukan bagi berhadapan dengan kerenah masyarakat.
Bagi pemimpin dan warga persatuan
pula menangani fenomena ini bukan saja cukup dengan mengiklankan aktiviti di
media sosial. Integriti dan kecekapan perlu ditingkatkan. Kita tidak mahu
generasi muda kecewa dengan kualiti pengurusan yang kita tawarkan.
Menjadikan mesyuarat agar
berfungsi dengan lebih efisien dan pantas boleh menggamit minat generasi muda.
Jangan jadikan proses musyawarah sebagai satu perkataan yang memeritkan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan