Oleh : ZAINAL MOHD. JAIS
SYEIKH Mohammad Abdul Qadir
Al-Mandili yang merupakan ulama Melayu terkemuka di Masjidil Haram, Mekah
meninggal dunia pada 31 Julai lalu pada usia 73 tahun.
Pemergian beliau merupakan
kehilangan besar kepada umat Islam terutamanya masyarakat dan dunia Melayu.
Beliau merupakan antara tokoh agama di dunia Melayu yang berjaya mendapat
tempat di Mekah, khususnya Masjidil Haram.
Sebenarnya, sejak sekian lama,
ramai golongan pandai agama dunia Melayu yang merantau sehingga Tanah Suci
untuk belajar dan mendalami ilmu agama, dan tidak terkecuali Syeikh Mohammad.
Beliau merupakan anak kepada
Syeikh Abdul Qadir yang juga merupakan ulama dan guru di Masjid Haram lahir di
Alor Setar pada 1939 turut terkenal di Indonesia, Patani dan Manila. Ayahnya
berasal daripada Mandiling, Indonesia dan berhijrah ke Malaysia ketika berusia
14 tahun. Beliau belajar agama di pondok Gajah Mati, Kedah dan ketika itu
hidupnya sering dihimpit kesulitan.
Sebelum penjajahan Jepun, Syeikh
Abdul Qadir berhijrah ke Mekah dan meneruskan pengajian di Masjidil Haram.
Ketika itu belum wujud universiti dan Masjidil Haram dianggap universiti.
Penghijrahan ayahnya ini membuka
laluan kepada Syeikh Mohammad dan adik-beradiknya yang lain turut berpindah
sama dan peluang ini digunakan untuk belajar dan mendalami ilmu agama di Mekah.
Selepas mendapat bimbingan alim
ulama di Masjidil Haram, ayah beliau kemudian ditawarkan menjadi guru agama di
situ hinggalah beliau meninggal dunia ketika berumur 56 tahun.
Bagi Syeikh Mohamad pula,
pendidikan awalnya bermula di Madrasah Darul Ulum, Mekah yang diasaskan oleh
rakyat Malaysia dan Indonesia. Selepas itu beliau mendalami lagi ilmu melalui
bimbingan ayahnya sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Madinah.
Sebelum mengikut pengajian di
Universiti Madinah, beliau belajar dengan ayahnya di Masjidil Haram selama
tujuh tahun dan merupakan kumpulan pelajar pertama diterima masuk Universiti
Islam Madinah.
Beliau pernah dilantik sebagai
Jemaah Ahli Syura Urusan Agama Masjidil Haram di Mekah dan bekas guru di Maahad
Al-Haram di Mekah serta dihantar ke Asia Tenggara oleh Darul Ifta, Arab Saudi
untuk memerhati hal-ehwal agama.
Syeikh Mohammad terkenal di
kalangan Jemaah dari Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara lain kerana peranan
beliau mengajar selepas Maghrib di Masjidil Haram. Beliau antara 15 guru agama
yang dipilih memberikan kelas agama dan merupakan anak Melayu tunggal.
Antara keistimewaan yang
diperoleh beliau semasa mengajar adalah pihak pentadbir masjid turut
menyediakan kerusi khas untuknya di sudut masjid itu.
Setiap kali selepas solat
Maghrib, satu sudut di Masjidil Haram bergema bagaikan suasana masjid kampung apabila
Syeikh Mohammad muncul untuk memberi ceramah di sudut yang terletak berhampiran
Kaabah dan selari dengan Hajaratul Aswad.
Semasa menyampaikan kelas atau
ceramah, Syeikh Mohamad akan mengenakan jubah dan berkopiah yang ditutup kain
serban serba putih dan dengan raut wajahnya yang bersih dan tenang, beliau
menyampaikan ceramahnya dengan cara bersahaja dan sekali sekala menggunakan
loghat utara.
Walaupun menetap di Mekah sejak
remaja, beliau masih mampu bertutur bahasa Melayu dengan fasih sehingga menimbulkan
kehairanan di kalangan jemaah.
Beliau sering pulang ke Malaysia
untuk melawat ahli keluarga dan sahabat-handai.
"Kawan kawan hairan
bagaimana setelah lebih setengah abad saya tinggal di Mekah, saya masih fasih
berbahasa melayu," beliau dilaporkan pernah berkata.
Beliau menetap di kawasan Awali,
tidak jauh dari kota Mekah. Hasil perkongsian hidup dengan dua isterinya,
Syeikh Mohammad dikurniakan 18 anak.
Cara hidup Melayu masih sebati
dengan jiwanya walaupun sudah lama di perantauan. Ketika di rumah, beliau lebih
selesa memakai kain dan baju Melayu serta bercakap Melayu dengan anggota
keluarga.
Bagi Syeikh Mohamad, kemewahan
tidak datang bergolek dan ketika mula menjadi guru agama dulu, beliau terpaksa
mengambil upah menjahit kerana gaji terlalu kecil.
Pengalaman lampau membuatkan
beliau bersikap pemurah dan menurut para temannya, boleh dikatakan hampir
setiap kali selepas ceramah, beliau akan menjemput orang ramai ke rumahnya dan
menjamu mereka dengan nasi bukhari.
Kedudukan dan peranan Syeikh
Mohammad sebagai ulama dan guru di Masjidil Haram merupakan suatu yang
dibanggakan apatah beliau merupakan anak Melayu, sekali gus membuktikan dunia
Melayu mampu mengeluarkan tokoh penting agama.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan