Indeks Kefasihan Berbahasa
Inggeris yang diusahakan oleh sebuah syarikat pendidikan antarabangsa dari 2007
sehingga 2009 membabitkan dua juta responden dewasa di 44 negara yang bahasa
Inggeris tidak menjadi bahasa negara, mendapati Malaysia menduduki tempat
kesembilan dengan skor kefasihan tinggi.
Norway menduduki tempat pertama
dengan skor kefasihan amat tinggi. Korea Selatan dan Jepun mendapat skor
kefasihan sederhana, manakala China dan Russia memperoleh skor kefasihan
rendah. Indonesia dan Thailand pula mencatatkan skor kefasihan amat rendah. Indeks
ini menunjukkan pengetahuan dan penguasaan bahasa Inggeris kita di Malaysia,
tidaklah berada pada tahap yang begitu jelik sehinggakan kita perlu, antaranya
mengembalikan persekolahan aliran Inggeris, dalam usaha kita memperbaiki sistem
pendidikan negara mulai 2013.
Persoalan kefasihan adalah
subjektif
Sesungguhnya persoalan kefasihan
berbahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia adalah subjektif. Ia
berlandaskan pelbagai cara penilaian. Ada kelompok yang mendapati kefasihan
kita kini adalah jauh daripada memuaskan. Ini diasaskan perbandingan kecekapan
ketika bahasa Inggeris pernah menjadi bahasa pengantar utama.
Dalam hal ini, kita harus
menyedari bahawa bahasa Inggeris kini hanya satu mata pelajaran. Oleh itu,
kecekapan kita tidak setinggi tahapnya seperti dulu. Ia fenomena linguistik
biasa akibat perubahan dasar pendidikan bahasa.
Namun begitu, penekanan mengenai
pendidikannya adalah istimewa kerana ia bahasa global, yakni penting di seluruh
dunia. Ini antaranya dilakukan melalui Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu
Memperkukuh Bahasa Inggeris.
Indeks ini boleh dikatakan agak
tepat dengan petunjuknya. Hakikat bahawa tahap kefasihan kita yang didapati
jauh lebih baik daripada yang diperlihatkan oleh masyarakat Korea Selatan,
Jepun, China, Russia, Indonesia dan Thailand, boleh diterima dengan mudah
sekali oleh umum, baik di dalam dan luar Malaysia.
Bagaimanapun, percubaan indeks
ini untuk mengaitkan hubung kait di antara tahap kefasihan berbahasa Inggeris
dengan pendapatan negara kasar yang terbabit, bukan saja tidak tepat. Malah ia
boleh dianggap sebagai usaha untuk memperjuang agenda kekuasaan bahasa Inggeris
untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara itu.
Kesalahan ini dapat dilihat
apabila pendapatan negara kasar Korea Selatan dan Jepun yang menduduki tempat
13 dan 14, dengan hanya tahap kefasihan sederhana, dibandingkan dengan yang
dicatatkan oleh Malaysia yang mempunyai tahap kefasihan tinggi. Sehubungan ini,
beberapa perbandingan lain ikut memperlihat hubung kait yang dicuba dilakukan
itu salah. Adakah pendapatan negara kasar Poland, Portugal dan Perancis yang
juga memperlihat tahap sederhana, lebih rendah daripada yang dicatatkan oleh
Malaysia?
Sesungguhnya kemahiran bahasa
Inggeris tidak boleh diambil kira, sama ada secara langsung mahupun sebaliknya,
dalam hal ini. Sehubungan ini, banyak faktor lain yang lebih penting terbabit
dalam penjanaan pendapatan negara kasar ini.
Pihak yang kemaruk dan taksub
terhadap bahasa Inggeris ini akan selalu mencari pelbagai jalan bukan saja
untuk memperkukuh bahasa Inggeris, tetapi kalau boleh untuk memartabatkannya
semula di negara ini. Sehubungan ini, banyak usaha mereka ini didapati
membelakangkan bahasa Melayu yang juga bahasa negara. Tindakan begini sudah
tentu boleh disamakan dengan sikap tidak menghormati bahasa negara ini.
Antaranya adalah dengan
mengadakan ruang khas dalam media misalnya untuk mempromosikan bahasa Inggeris,
sama ada sebagai mata pelajaran penting mahupun bahasa global utama. Caranya
sering kali boleh ditafsirkan sebagai gerakan halus untuk memperkecil peranan
bahasa Melayu, khususnya sebagai alat kemajuan.
Bahasa Melayu lambang
kedaulatan
Sehubungan ini, ke mana perginya
semangat nasionalisme kita yang antaranya perlu selalu melindungi bahasa Melayu
yang menjadi bahasa negara kita. Dalam konteks ini, bahasa Melayu bukan saja
lambang kedaulatan kita, malah ia asas sejati kemerdekaan kita sebagai bangsa
dan negara yang merdeka!
Untuk ini, bahasa Melayu perlu
selalu dimanifestasikan dalam bentuk kuasa dan bukan saja lambang semata-mata.
Dengan ini, kuasanya perlu direalisasikan dalam semua bidang dan sistem negara
ini, baik politik, ekonomi ataupun sosial dan budaya.
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan