Oleh DR.
AMINUDIN MANSOR
SETIAP kali menjelang Ogos, rakyat Malaysia
diperingatkan supaya sentiasa memperbaharui semangat patriotisme iaitu semangat
cinta akan negara. Melalui semangat cinta akan negara akan dapat membentuk ke arah
pembinaan negara bangsa yang bersatu padu.
Matlamat dan wawasan membina Malaysia sebagai
sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 mestilah berasaskan penyatuan dan perpaduan rakyat yang kukuh dan padu. Apabila transformasi ini
berlaku kemerdekaan akan terus dapat didaulatkan.
Patriotisme seharusnya menjadi subjek dan tema
penting yang mencorakkan hala tuju perubahan Malaysia selepas negara ini
mencapai kemerdekaan hampir 55 tahun yang lalu.
Dalam masa sama Malaysia menghadapi pelbagai
cabaran semasa yang kritikal seperti globalisasi, liberalisasi,
neokolonialisme, feudalisme baru, anarkisme, keganasan, sekularisme, demokrasi,
pembinaan negara bangsa dan sebagainya.
Justeru, patriotisme adalah keyakinan kita
bahawa negara ini lebih hebat daripada negara lain, disebabkan kita lahir di
negara ini. Selain itu, kita juga harus bertanya kepada diri kita apa sumbangan
kita kepada negara yang kita cintai.
Setiap rakyat yang cinta akan negaranya pasti
berfikir dan merenung perjuangan yang telah kita lalui sepanjang 55 tahun lalu.
Untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 negara kita melalui pelbagai pahit
getir dengan perjuangan para pejuang yang mencetuskan kemerdekaan negara.
Patriotisme adalah perjuangan yang menjiwai kepentingan bangsa dan negara. Usaha mengekalkan semangat juang yang tinggi,
mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara seharusnya
dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Mengibarkan Jalur Gemilang adalah simbol kepada rasa cinta kepada
negara. Bendera adalah lambang negara yang seharusnya berkibar megah di
perkarangan rumah, sekolah, pejabat dan juga di kenderaan. Melalui semangat ini
rasa cinta akan negara akan dapat dikekalkan dalam jiwa setiap rakyat.
Mengibarkan Jalur Gemilang tidak terbatas kepada pegangan politik. Kemerdekaan
adalah lambang kedaulatan sesebuah negara.
Patriotisme juga memerlukan komitmen pemimpin dan semua golongan rakyat
dengan mempertahankan asas pembinaan dan kedaulatan negara. Mempertahankan
negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan tanggungjawab setiap rakyat.
Kesetiaan kepada raja dan negara yang ditunjukkan oleh warganegara melalui
sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur patriotisme yang sangat penting.
Unsur ini perlu disemai dan ditanam dalam jiwa generasi muda khususnya dalam
konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Patriotisme juga adalah perjuangan yang menjiwai kepentingan
bangsa dan negara. Setiap rakyat yang cinta akan negara ini harus mengakui
Malaysia adalah tanah tumpah darah dan tiada negara lain seaman dan semakmur
Malaysia.
Nilai patriotisme yang patut diterapkan dalam hati dan jiwa generasi
muda seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan, cinta akan
bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan rakyat yang patriotik
dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara.
Semangat patriotisme perlu dibangunkan melalui dasar pembangunan manusia
iaitu membabitkan ekonomi, politik, sukan, pendidikan, hubungan diplomatik dan
penglibatan Malaysia dalam konteks globalisasi. Usaha haruslah dilakukan dengan
menonjolkan imej Malaysia sebagai bangsa dan negara yang berwibawa di arena
antarabangsa. Pencapaian dalam sukan Olimpik dengan satu pingat perak dan
gangsa di London baru-baru adalah suatu permulaan ke arah itu.
Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-55 dan Hari Malaysia
rasa cinta terhadap negara seharusnya dimantapkan lagi dalam hati setiap rakyat
negara ini. Ini mencerminkan jiwa patriotik dan perasaan seseorang itu.
Menghayati nikmat merdeka sama ada golongan tua dan muda mestilah dilakukan ke
arah membangkitkan semangat cinta akan negara. Tema pada tahun ini "Janji
Ditepati" tak perlulah dipertikaikan lagi.
Pendidikan adalah bidang yang paling berkesan untuk menerapkan semangat
cinta akan tanah air. Sejak di bangku sekolah lagi seseorang murid dari Tahun
Satu hingga Enam dan pelajar dari Tingkatan Satu hingga Lima diterapkan dengan
lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara dan mengibarkan Jalur Gemilang pada
setiap kali menjelangnya Ogos bulan kemerdekaan negara.
Golongan muda seharusnya mengambil contoh dan teladan daripada pejuang
kemerdekaan dahulu selain Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra
yang gigih serta mempunyai semangat cinta akan negara terdapat juga tokoh lain
yang turut berjuang ke arah kemerdekaan.
Sebagai contoh, Pendeta Za'ba ialah pejuang kemerdekaan yang telah
berjuang memimpin orang Melayu pada zamannya. Beliau menyatakan: "Saya
telah diminta memimpin orang Melayu yang ketika itu tidak ada pemimpin, saya
menerima permintaan itu. Dengan semangat, saya ingin menentang Malayan Union
dan tidak ada orang memimpin orang Melayu, tanpa sebarang bantahan saya terus
berikhtiar menegakkan politik Melayu."
Membina bangsa dengan semangat patriotisme
mestilah bermula dari bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Sejarah dan
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang jelas mendidik dan memberikan ilmu ke
arah semangat cintakan negara.
Remaja adalah aset terpenting negara. Penerapan semangat patriotisme
iaitu rasa cinta akan negara mestilah dilakukan untuk membina negara bangsa.
Memupuk semangat cinta akan negara tidak seharusnya bergantung kepada wahana
sejarah semata-mata. Ini
boleh dilakukan melalui mata pelajaran lain melalui penerapan nilai murni dan
semangat cinta akan negara.
Pemupukan jati diri kepada pelajar mestilah
bermula daripada rasa cinta dan sayang akan negara. Negara ini adalah tanah
tumpah darah yang mesti dipertahankan kedaulatannya sepanjang masa. Cara
memupuk semangat patriotisme kepada pelajar mestilah melalui kesedaran dan
ilmu.
Menerapkan kesedaran patriotisme mestilah
melalui pendidikan dan kesedaran terhadap tanah air. Patriotisme juga tidak
dapat dipisahkan daripada jati diri negara iaitu sifat negara merdeka dan
berdaulat itu benar-benar dikotakan. Patriotisme terhadap negara bersangkutan
juga dengan identiti bangsa dan identiti ini sewajarnya subur melalui bahasa
kebangsaan yang berfungsi penuh, termasuk sebagai pengantar pendidikan di sekolah.
PENULIS ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan
Melayu.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan