Sabtu, 25 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : Wajah-wajah perpaduan dalam perayaan di Malaysia


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang unik dengan sendirinya. Jika hari ini ramai melakukan penghijrahan ke negara-negara maju, Malaysia sudah melalui proses itu jauh lebih lama ketika Melaka menjadi pusat pertemuan antara pedagang Cina, India dan lain-lain.

Malaysia hari ini turut mendapat perhatian pelbagai warga asing yang melimpah datang untuk mencari peluang meneruskan kehidupan termasuk dari Nepal, Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Filipina dan benua Afrika tanpa mengira golongan professional dengan organisasinya beroperasi disini.

Sama ada baik atau buruk, hakikatnya Malaysia sudah menjadi pilihan destinasi warga asing; pilihan yang perlu dilalui dalam proses globalisasi dan pergerakan manusia sejagat. Kepelbagaian yang wujud di negara ini merupakan satu kelebihan yang masih menjadi satu tradisi kesinambungan dalam kalangan rakyatnya. Keyakinan terbina kerana adanya ruang untuk menerokai limpahan sumber terhad dan yang membuka ruang ini adalah kesepaduan kestabilan yang lahir dari perpaduan dalam kepelbagaian.

Kepelbagaian bukan sahaja dari kepercayaan, keturunan, agama, etnik dan warna kulit mahupun sebarang latar belakang tetapi kebudayaan yang bermacam-macam juga menjadikan Malaysia seringkali dicemburui dan diiktiraf sebagai yang kompleks, rencam dan majmuk.

Dalam kebanyakan negara, ia menjadi satu liabiliti dengan permusuhan yang berlarutan sehingga membawa konflik dan peperangan sedangkan di Malaysia kepelbagaian adalah kekuatan dan ia juga dimuatkan dengan usaha berterusan berinteraksi, integrasi memupuk semangat persahabatan dan ukhuwah; ia berlaku di istana, Seri Perdana, rumah pembesar negeri dan rumah sendiri.

Nilai kebudayaan ini termasuk menyambut perayaan yang pelbagai seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Gawai dan pelbagai lagi. Uniknya ia menjadi sambutan semua menandakan semaraknya nilai kemuafakatan, perpaduan dan keharmonian; simbol integrasi.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini banyak memuatkan mesej bertemakan 'perpaduan'. Malahan dalam khutbah raya di Masjid Negara, elemen ini turut diberikan keutamaan. Bukan sekadar perpaduan ummah, tetapi perpaduan yang menjadi teras untuk meraikan kepelbagaian negara ini, yakni perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik negara ini.

Hari Raya Aidilfitri memberi gambaran bagaimana perpaduan dalam perayaan memberi impak kepada semangat hubungan antara etnik negara ini. Di setiap pelosok negara, setiap rumah terbuka dibanjiri dengan masyarakat pelbagai peribadi dan personaliti. Beratur panjang yang barangkali mengambil masa berjam lamanya bukan satu rungutan tetapi kesyukuran bertemu dengan pemimpin dan sahabat serta personaliti profil tinggi memberikan satu kepuasan.

Perayaan dapat terus disambut sebegini kerana adanya kestabilan dan asas sebenar kepada hubungan antara etnik adalah kestabilan dalam negara yang membolehkan masyarakat hidup muhibbah dan rukun walaupun berhadapan dengan beberapa cabaran terutama dalam konteks mempertahankan apa yang sudah kita miliki selama ini. Dalam ada negara yang bergelut mencari keamanan, Malaysia gah dan boleh mengamalkan konsep 'ziarah' dan 'kunjung' serta 'lawat'.

Keamanan datang dari kestabilan. Tanpa ada kepimpinan yang mempertahankan nilai keamanan, maka Malaysia juga akan mempunyai kecenderungan menjadi 'padang jarak, padang tekukur' akibat manipulasi nilai keamanan, perpaduan dan muhibbah yang adakalanya ramai terlepas pandang mengapa ia perlu terus dipertahankan dari sebarang anasir yang mahu melihat Malaysia sebagaimana negara lain yang berhadapan dengan konflik. Musibah ini mesti dielak atas prinsip kebergantungan antara satu sama lain; hubungan resiprokal yang disuburkan dengan nilai hormat, faham dan menerima di antara satu sama lain.

Tatkala beraya, ada juga segelintir tebal sifat 'keangkuhan' dalam sesetengah warga dan pemimpin yang masih mahu berperang di alam maya sekalipun sewaktu Syawal pertama bilamana di alam sebenar wujud gencatan sekurang-kurangnya sebagai isyarat ada waktu perbalahan terutama dengan nilai politik perlu dihentikan dan menampakkan perdamaian.

Perang di alam maya sewaktu perayaan sewajarnya dijadikan pengajaran kepada yang sudah lama berkecimpung dalam politik. Emosi warga adalah ke atas mood perayaan dan ia boleh mengganggu kepercayaan ke atas sesetengah dari mereka yang cuba mengambil kesempatan untuk meneruskan tradisi kebencian sesama ummah dan dalam kalangan masyarakat secara umum.

Perayaan adalah salah satu penampilan simbolik bagaimana kita boleh mengetepikan perbezaan sesama manusia untuk dijadikan landasan perpaduan. Kewajaran menjadikan perayaan sebagai alat integrasi boleh diperkukuhkan secara berterusan untuk memobilisasi sokongan agar perpaduan sebagai rakyat Malaysia yang bangga dengan amalan ini tidak menjadi propaganda politik oleh pemimpin yang tidak tahu menghormati nilai-nilai perkongsian bersama.

Sambutan perayaan di Malaysia mewarnai kepelbagaian yang selama ini sememangnya menjadi asas hubungan antara etnik. Menyemai nilai ini secara berterusan dengan aktiviti dan program 'muafakat' yang membawa gambaran peri-pentingnya ia diteruskan walau zaman silih berganti terutama dalam kalangan generasi muda yang berkemungkinan tidak melihat kepentingan ia diteruskan dengan semakin terhakisnya sifat perkampungan dan pulang ke kampung. Walau hadir di persekitaran berbeza, amalan integrasi melalui perayaan mesti dipertahankan oleh keseluruhan rakyat Malaysia.

Perpaduan memerlukan nilai holistik dalam diri setiap warga yang sedar ia memberikan roh kepada negara-bangsa ini. Andainya perayaan ini boleh dikongsi bersama dan merasakan ada tanggungjawab untuk memainkan peranan dan memberikan makna kepadanya, perayaan sebagai kunci perpaduan tidak perlu dipersoalkan kerana ia juga berjiwa patriotisme dan nasionalis dengan sendirinya berpandukan prinsip dalam Rukun Negara dan Perlembagaan yang mempertahankan nilai ini dalam dokumen kebal negara.

Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan