PETALING JAYA : Rakyat Malaysia
menjadi semakin lemah daripada aspek kewangan dan tidak mempunyai persediaan
yang rapi kerana mempunyai jangka hayat yang lebih panjang selepas melewati
umur persaraan, menurut satu kajian mengenai aktiviti yang dilakukan selepas
melewati perasaraan.
"Apa yang menghairankan
adalah kira-kira 92 peratus pesara dilaporkan bersara pada usia 60 tahun,"
menurut kajian yang bertajuk 'Balancing Tradition and Modernity: The Future
Retirement in East Asia'.
Kajian tersebut dijalankan bagi
menjejak kelakuan-kelakuan persara dan jangkaan yang akan berlaku selepas mereka
melewati usia persaraan di enam negara Asia Timur.
Negara-negara tersebut ialah,
China, Hong Kong, Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia.
"Di China, menjelang 2040
golongan warga emas membentuk 30 peratus jumlah penduduk negara itu, sementara
di Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan, sebanyak 40 peratus
dicatatkan.
"Di Malaysia pula, jumlah
golongan warga tua masih di bawah 20 peratus," menurut kajian tersebut,
yang mentakrifkan golongan tua terdiri daripada mereka yang telah bersara.
Purata umur persaraan di enam
negara tersebut adalah 60 tahun dan ke atas.
Kajian tersebut dijalankan oleh
Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) dan syarikat insuran Prudential.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja
Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan berkata pekerja berpendapatan rendah adalah
golongan yang dijangka menghadapi masalah kewangan selepas bersara.
"Kebanyakan daripada mereka
mula bekerja dengan gaji yang sangat rendah dan potongan gaji bagi Kumpulan
Simpanan Wang Pekerja (KWSP) juga rendah. Apabila masa berlalu jumlah tersebut
meningkat, namun ia tidak mampu memenuhi pelan selepas usia persaraan mereka,”
katanya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan
Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs), Datuk Omar Osman berkata
mereka yang hampir mencapai usia persaraan perlu merancang bagaimana untuk
memaksimumkan penggunaan wang simpanan persaraan mereka.
"Satu daripada cadangan kami
adalah untuk menganjurkan kursus tiga bulan kepada mereka yang akan bersara
dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, agar mereka boleh belajar
langkah-langkah yang sesuai untuk menguruskan kewangan mereka selepas
bersara," katanya.
Omar berkata antara kursus
persediaan persaraan yang wajar disertakan adalah khidmat nasihat mengenai
penjagaan kesihatan yang menjadi kebimbangan utama dalam kalangan golongan persara.
"Ia adalah amat mustahak
supaya mereka menghadiri kursus yang dapat meningkatkan kesedaran bagaimana
untuk menguruskan kewangan dan penjagaan kesihatan yang merupakan aspek yang
penting selepas bersara," tambahnya.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan