Oleh : Amidi
Abdul Manan
Bahasa adalah medium perhubungan. Kebolehan berbahasa adalah kebolehan yang
dikurniakan bagi manusia. Daripada bahasa lahirlah pelbagai karya yang
memberikan manfaat kepada manusia secara keseluruhan.
Demikianlah juga penurunan al-Quran, yang melakukan satu pemaknaan semula
dengan segala kaedah nahu dan susunan kalimahnya terhadap bahasa Arab itu
sendiri. Perkara ini turut disentuh Prof Syed Naquib al-Attas yang mengemukakan
pandangan bahawa pendakwah Islam yang datang ke Nusantara juga sudah secara cermat
dan teliti memilih bahasa Melayu untuk mengembangkan agama Islam bukan bahasa
Jawa kerana bahasa Jawa telah diwarnai dengan konsep dan falsafah Hindu-Buddha
yang pekat. Faktor ini boleh menyebabkan kekeliruan terhadap ajaran Islam itu
sendiri jika bahasa Jawa digunakan dalam usaha dakwah Islamiah di Nusantara.
Justeru, kita mendapati pengaruh Islam yang amat tebal dalam bahasa Melayu.
Bahasa Melayu menerima pakai banyak perkataan Arab yang pada masa itu begitu
sebati dengan nilai keislamannya. Begitulah nilai dan fungsi bahasa dalam
sesebuah peradaban. Ia adalah wahana pembinaan akal dan budi, adab dan
kepercayaan serta sistem nilai sesebuah masyarakat.
Namun bagi satu kuasa penjajah sudah tentu penguasaan bahasa sesuatu bangsa
adalah bagi tujuan menakluki dan menguasai. Penjajah tahu menerusi bahasa
mereka mampu menguasai akal pemikiran dan seterusnya mampu untuk menakluki hati
dan jiwa bangsa yang dijajahnya.
Menerusi bahasa juga nilai dan prinsip satu bangsa boleh diubah. Fungsi
bahasa yang memainkan peranan dalam memberi makna kepada satu perkataan.
Apabila makna berubah, maka nilai juga turut berubah. Sesuatu yang baik boleh
menjadi buruk apabila makna berubah, baik dari sudut pengertian lateral mahupun
konteks penggunaannya.
Maka pemeliharaan makna perlu diusahakan sebaik mungkin. Ia amat kritikal
apabila berkaitan dengan aqidah dan prinsip asas agama. Perkataan seperti
iblis, syaitan, Allah dan seumpamanya mempunyai konotasi dengan pemahaman dan
nilai yang didukung sesebuah masyarakat.
Usaha audit bahasa yang dilakukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu
mendapat dokongan semua pihak. Ia satu usaha pemeliharaan bahasa dari sudut
kegunaan, makna dan peraturannya, sekali gus adalah satu perjuangan bagi
mempertahankan kemerdekaan negara.
Walaupun baru dimulakan, iaitu hanya di sebuah jabatan iaitu Jabatan
Perkhidmatan Awam, ia satu usaha yang mampu memberikan impak besar terhadap
perjuangan memartabatkan bangsa dan agenda pengisian kemerdekaan.
Rasa kesal terbit apabila dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksana satu ketika dulu. Bukan saja
bahasa Inggeris digunakan dalam P&P tetapi melarat ke mesyuarat
Jawatankuasa Kurikulum Daerah (JKKD) turut dikendalikan dalam bahasa Inggeris.
Rakan guru tanpa rasa segan memberikan pandangan dan mengemukakan buah fikiran
dalam bahasa Inggeris. Perbuatan ini jelas menunjukkan rasa hilang hormat
terhadap bahasa Melayu.
Mungkin perkara ini (PPSMI) sudah berlalu tetapi hati tertanya-tanya adakah
kemungkinan mesyuarat rasmi kerajaan juga turut berlaku perkara sama. Jika
perkara sama wujud, ia menguatkan lagi keperluan audit bahasa yang diusahakan
DBP di jabatan kerajaan. Malah, ia sepatutnya diperluaskan ke institusi
pengajian tinggi (IPT), khususnya IPT awam. Di sinilah terkumpulnya cerdik
pandai Melayu yang boleh dijadikan contoh bukan saja dalam kepakaran
masing-masing tetapi turut juga menjadi teladan dalam kemahiran berbahasa.
Cerdik pandai inilah yang memberikan makna dan seterusnya membina nilai dalam
masyarakat.
Jangan disalahertikan usaha sebegini dengan melabelkannya dengan label
anti-bahasa Inggeris dan yang lebih teruk lagi antikemajuan. Walaupun sudah
panjang perdebatan mengenai kemajuan dan kaitannya dengan bahasa Inggeris
(tidak semestinya berbahasa Inggeris itu maju, dan maju tidak semestinya dengan
berbahasa Inggeris), masih ada pihak yang sinis dengan langkah audit bahasa
seperti ini.
Seharusnya langkah penguasaan bahasa asing tidak terhad kepada bahasa
Inggeris saja. Ia sepatutnya diperluaskan lagi dengan niat untuk menguasai ilmu
dari segala bahasa yang wujud di dunia ini. Menerusi niat itu kita mampu
menjadi bangsa penyumbang dan keluar daripada kelompok bangsa pengguna kerana
kemuliaan itu berada pada tangan yang memberi berbanding tangan menerima.
Sekali lagi ditegaskan, bahawa penjajahan bahasa akan menyebabkan
penjajahan akal dan jiwa. Pemeliharaan makna yang selari dengan agama, budaya
dan nilai hidup adalah usaha pemeliharaan kemerdekaan akal dan jiwa. Ia adalah
satu jihad ilmu yang memerlukan sokongan segenap warga. Usah kita mencari cela
pelaksana kerana adat di dunia tiada yang sempurna. Hendaknya kita berikhtiar
menjayakannya agar kata ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ menjadi nyata.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan