Oleh : MOHD ALI MUHAMAD DON
KEMERIAHAN Syawal masih lagi
terasa. Namun begitu seluruh masyarakat diseru tidak lupa betapa nikmat
kemerdekaan yang di kecapi hari inilah yang membolehkan kita melakukan
segala-galanya termasuklah bebas berhari raya ke sana ke mari dalam suasana
muhibah semangat 1Malaysia.
Sementara itu, amalan rumah
terbuka yang meriah dilakukan di merata tempat turut dikongsi bersama oleh
masyarakat majmuk yang berkongsi budaya sungguhpun berlatarbelakangkan
kepercayaan yang berbeza.
Nikmat kemerdekaan dan kebebasan
ini hendaklah dipelihara agar ia berkekalan sepanjang masa hingga ke akhir
zaman. Sehubungan itu juga beberapa formula untuk mengekalkan nikmat
kemerdekaan negara perlu dilestarikan bagi keharmonian hidup bersama.
Era penjajahan di Tanah Melayu
sudah lama berkubur, namun begitu puing-puing penjajahan budaya dan pemikiran
yang membelenggu masyarakat kelihatan sukar untuk dikikis. Akibatnya satu demi
satu nilai jati diri Melayu secara khususnya tidak lagi mendapat tempat di hati
segelintir masyarakat. Pemakaian baju Melayu, bersongkok dan bersamping sebagai
contohnya mula dilupakan terutama ketika menyambut hari raya. Begitu pula
terdapat di kalangan generasi muda lebih gemar memperagakan fesyen terkini
berbanding baju kurung yang melambangkan kesopanan dan nilai Nusantara. Malah
ada yang lebih selesa mengenakan fesyen pakaian yang menjolok mata dan
keterlaluan demi ikutan nafsu sendiri.
Corak pemikiran yang tidak
berteraskan nilai-nilai ketimuran juga mula dipraktikkan. Akibatnya gejala seks
songsang seperti gay dan lesbian menarik perhatian golongan yang menyimpang
daripada ajaran agama suci. Kelab-kelab hiburan yang mempromosikan amalan seks
songsang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Muda-mudi Islam tanpa segan silu
memuat naik perlakuan jijik mereka di laman sosial sehingga seluruh dunia
menyaksikan betapa kita masih dijajah walaupun setelah 55 tahun merdeka.
Justeru apa erti kemerdekaan jika hakikatnya masyarakat masih terjajah tanpa
disedari.
Nikmat kebebasan beragama yang
sebati dengan masyarakat Malaysia juga hendaklah terus dipelihara. Malah nilai
yang dikongsi bersama ini merupakan teras keharmonian dan kesejahteraan negara
yang telah dinikmati sejak zaman berzaman. Oleh itu, sebarang anasir jahat yang
cuba diseludup masuk ke negara ini seperti usaha buruk menyebarkan ajaran
menyeleweng kepada golongan gelandangan dan umat Islam yang dalam kesempitan
hendaklah ditentang habis-habisan. Begitu pula usaha pihak tertentu sama ada
dari dalam mahupun luar yang ingin mencetuskan huru-hara dengan gerakan
memurtadkan orang Islam secara terancang eloklah dihentikan bagi mengelak
perbalahan agama yang merugikan semua.
Ini kerana berteraskan kepada
Perlembagaan Negara, Agama Islam merupakan agama rasmi negara yang dipersetujui
oleh semua kaum sejak negara mencapai kemerdekaan. Sungguhpun begitu
agama-agama lain bebas dianuti dan diamalkan oleh penganutnya, sehingga tiada
sekatan untuk membina rumah ibadat secara sah dan melaksanakan ritual agama
masing-masing. Bagaimanapun kebebasan ini tertakluk kepada larangan untuk
mempengaruhi dan menyebarkan agama lain kepada umat Islam.
Malah uniknya lagi perayaan kaum
yang berlatar belakangkan agama berbeza juga turut diraikan bersama oleh
seluruh masyarakat Malaysia. Justeru diingatkan agar tiada pihak yang cuba
menangguk di air yang keruh dalam situasi yang aman harmoni ini. Oleh itu,
fahaman menyimpang seperti fanatisme, cauvanisme dan taksub yang melampau
eloklah dijauhi dan dihindari. Jika tidak nikmat keamanan sedia ada serta impak
negatif perbalahan etnik dan agama seperti yang berlaku di Rohingya pada ketika
ini boleh sahaja menular ke sini dan pasti tiada sesiapa menghendakinya.
Sebagai makhluk yang dicipta
tiada sesiapapun yang sempurna. Sudah pasti setiap insan punya kelemahan dan
kelebihan masing-masing. Justeru jadikan kekurangan sebagai mekanisme untuk
memperbaiki diri dan kelebihan dikongsi bersama agar manfaatnya melata dan
dapat dirasai oleh semua. Selain itu sikap buruk saling mengeji dan
memburuk-burukkan orang lain tidak wajar dipraktikkan. Begitu juga sikap dengki
dan sering berpandangan serong termasuk penyakit dalaman yang memudaratkan.
Sebaliknya nikmat kemerdekaan
hendaklah dikongsi bersama dengan semua pihak berusaha mengamalkan nilai-nilai
positif seperti toleransi dan saling menghormati antara satu dan lain.
Perselisihan dan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara hendaklah disalurkan
kepada pihak bertanggungjawab supaya penyelesaian yang komprehensif dapat
diusahakan.
Umum mengetahui betapa susah
payah tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu berusaha membebaskan negara daripada
belenggu penjajahan. Segala pengorbanan yang ditempuhi mereka demi keamanan
hidup generasi hari ini hendaklah dijadikan sumber inspirasi bagi membina
negara bangsa yang berjaya dan disegani di mata dunia.
Untuk itu, semua individu yang
cinta akan negara haruslah berjuang meningkatkan
pencapaian diri dalam apa jua bidang yang diceburi hingga akhirnya manfaat dan
kebaikannya akan dirasai bersama. Golongan muda diseru memanfaatkan masa muda
dengan berjuang untuk mendalami ilmu dan pengetahuan, supaya akan lahir lebih
ramai cendekiawan Malaysia yang boleh dibanggakan satu hari nanti.
Kalangan pekerja sama ada di
sektor awam mahupun swasta selayaknya bekerja dengan penuh dedikasi tanpa dicemari
oleh unsur-unsur negatif seperti rasuah, curi tulang dan mengamalkan kerenah
birokrasi melampau yang boleh jadi menyusahkan urusan orang lain.
Akhirnya perpaduan dan kesatuan
masyarakat untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan ini merupakan formula terbaik
untuk mengekalkan keharmonian dan kemerdekaan negara. Apa guna berbagai-bagai
slogan dan pandangan diutarakan jika masyarakat berpecah belah dan tidak
bersatu hati. Malah situasi seperti ini dibimbangkan akan membuka jalan dan
ruang kepada pihak tertentu yang cuba untuk meniupkan api perkauman hingga
marak menyala dan sukar untuk dipadamkan.
Umum mengetahui perselisihan dan
pandangan berbeza dalam sesuatu perkara akan tetap berlaku di mana-mana namun
begitu biarlah ia berteraskan kepentingan dan kemaslahatan hidup bersama bukan
atas kepentingan kendiri.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat
Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan