Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW
HUTANG adalah perkataan yang
paling digeruni apabila kita tidak mampu membayarnya. Apabila menerima gaji,
waktu itulah yang paling ditunggu dan waktu itu juga duit akan keluar seperti
air untuk melunaskan segala hutang pinjaman. Sehingga tidak sempat untuk
dipegang lama gaji yang diterima, terus sahaja mengalir seperti aliran air
sungai yang deras.
Hal ini membuatkan kita merasa
hidup ini seperti menjadi hamba untuk membayar rumah dan kereta . Itu semua
adalah senario yang dihadapi semua orang terutama yang bekerja makan gaji.
Hutang rumah, kereta, pembiayaan
peribadi dan setiap orang ada alasan masing-masing untuk berhutang. Apabila
diminta untuk menjadi penjamin saudara mara atau kawan, maka kita akan cuba
mengelak. Bukan sebab tidak mahu menolong tetapi menjadi penjamin akhirnya
membuatkan kita secara tidak langsung akan terlibat dengan hutang. Malah
penjamin selalu menjadi mangsa apabila saudara mara dan kawan yang dijamin
tidak mampu membayar, dan dengan mudah boleh menghilangkan diri lalu membuatkan
penjamin yang merana.
Rekod Jabatan Insolvensi (Jun
2012) menunjukkan sebanyak 116,379 kes muflis di negara ini dilaporkan di
antara 2005 hingga April 2012. Sebanyak 20 peratus melibatkan individu berusia
kurang 35 tahun. 32 peratus melibatkan golongan umur 35 hingga 44 tahun. Sebanyak
18 peratus melibatkan usia 45 hingga 54 tahun. Sebanyak 25 peratus kes muflis
disebabkan beban hutang melibatkan pinjaman kereta, pinjaman peribadi (13
peratus), pinjaman perumahan (12 peratus), pinjaman perniagaan (11 peratus) dan
hutang kad kredit (5 peratus). Pengurusan hutang perlu dilakukan secara bijak
dan jika kita ada kelemahan itu maka jangan gunakan kad kredit.
Mengikut perkiraan awal, memang
kita mampu membayar ansuran pinjaman tetapi apabila berlakunya perkara yang
tidak dijangka seperti dibuang kerja, hubungan rumah tangga dan lain-lain,
masalah akan mula timbul. Akhirnya ia menyebabkan hidup kita menjadi huru-hara,
ada yang bercerai-berai, ada sehingga melibatkan Along diikuti dengan jenayah
yang mengorbankan nyawa. Fikiran akan berserabut jika kita tidak dapat membayar
hutang pada tarikh yang ditetapkan. Bank atau institusi pinjaman akan menelefon
tidak henti-henti. Walaupun begitu ada juga bank yang mengambil pendekatan
memahami dan memberi masa serta peluang untuk pelanggan membuat cara pembayaran
yang efisien.
Bersembang tentang hutang ini,
perbelanjaan yang berlebihan dengan adanya shopping online yang sangat popular
kini merupakan satu sindrom apabila kita dapat membeli belah di hujung jari
sahaja. Saya tidak begitu mahir dengan shopping online tetapi rakan-rakan
sekerja hanya melayari Internet dan dapat membeli apa sahaja yang diinginkan
dengan mudah, cepat dengan harga berpatutan. Barangan yang dihantar pula
berkualiti maka itulah punca perasaan untuk membeli membuak-buak.
Itu juga punca masalah apabila
kad kredit yang digunakan untuk membeli-belah akan menyebabkan kita lupa bajet
bulanan. Jadi hilang ingatan sekejap apabila melihat tawaran-tawaran hebat yang
boleh didapati dengan harga yang murah dari luar negara. Hutang kad kredit
sangat berbahaya tetapi penggunaan kad debit atau charge card lebih selamat
jika dibandingkan dengan kad kredit.
Insiden yang ingin saya kongsikan
bersama adalah wujudnya andaian bahawa sikap ketagihan menggunakan kad kredit
dan berbelanja khususnya kaum wanita dikatakan dapat menghilangkan tekanan.
Membeli-belah menjadi terapi untuk melegakan kekusutan dan memberi penghargaan
kepada diri sendiri namun terlalu leka boros akan menimbulkan masalah lain
pula.
Statistik Harvard Business Review
(HBR) menunjukkan mungkin tidak tepat pada beberapa keadaan terutamanya apabila
anda adalah seorang yang menggalakkan perbelanjaan bijak dan membuat
belanjawan. Kuantiti dalam realiti kes ini, percaya atau tidak majoriti
daripada orang (62%) berbelanja atau membeli sesuatu ialah untuk memulihkan
mood.
Kawan saya, Adi memberitahu
bahawa isterinya terlalu gila membeli-belah sehingga perbelanjaan sebulan
mencecah RM5,000. Akhirnya, Adi terpaksa mematahkan kad kredit di depan
isterinya demi menyelamatkan masalah hutang yang semakin tinggi dan rumah
tangga, dengan memilih memerdekakan diri daripada hutang. Ini berbeza dengan
seorang kakitangan awam yang bersara, Sarjan Rohani pernah memberitahu saya
bahawa tidak ada istilah hutang dalam hidupnya. Dia tidak suka berhutang kerana
katanya malam-malam dia tidak boleh tidur jika berhutang. Semua keperluan akan
dibeli secara tunai dan jika tidak mampu dia tidak akan membelinya. Katanya,
apabila sudah bersara dia inginkan ketenangan dan tidak suka jika bank
menelefon setiap bulan.
Bercakap tentang Perbadanan
Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) pada 2009, seramai 78,000 peminjam disekat
keluar negara kerana tidak membayar hutang PTPTN. Soalnya, bukan berapa banyak
hutang kepada PTPTN tetapi soal prinsip dan moral; tentunya apabila kita
meminjam maka hutang perlu dibayar.
Menurut Datuk Ismail Mohamad
Salleh, Pengerusi PTPTN kepada Kosmo! baru-baru ini, seramai 70% peminjam
tabung melunaskan hutang. Namun begitu, sebanyak satu peratus caj perkhidmatan
pentadbiran atau ujrah akan dicajkan kepada yang belum membayar dan amat
relevan jika dibandingkan dengan 4% dari bank-bank lain. Sebanyak RM44 bilion
peruntukan telah dipinjamkan kepada 1.94 juta penuntut dalam dan luar negara.
Peraturan asas pengurusan
kewangan nampak mudah tetapi hakikatnya sukar. Senang cerita, " besar
periuk besarlah keraknya". Tidak kira berapa gaji kita, jangan sesekali
berbelanja melebihi pendapatan. Berjimat walaupun sedikit boleh memberi kesan
besar pada tabungan. Jadualkan perbelanjaan dan lunaskan hutang kad kredit,
mencarum dalam pelan persaraan, menabung, melabur dan tingkatkan caruman skim
kemudahan untuk pekerja dan kita semak liputan insurans.
Merdeka dari hutang membawa erti
tersendiri untuk kita hidup dengan lebih tenang. Kita baharu menyambut Hari Kemerdekaan
pada 31 Ogos dengan tema 'Janji Ditepati'. Janji kita tepati dengan ukur baju
di badan sendiri dan ingatkan diri sendiri dengan mengawal diri dan fikir apa
yang perlu dan tidak perlu untuk kita dalam berbelanja.
Belanja mengikut kemampuan dan
kita tidak perlu rasa rendah diri jika tiada kemampuan. Kita sebenarnya patut
bangga kerana walaupun tidak mampu memiliki barangan mewah namun kita tidak
berhutang. Bukankah itu lebih bermakna dan lena dibuai mimpi setiap malam?
Berhutang ada banyak buruk daripada
baiknya. Jika kita berhutang untuk membeli aset seperti rumah dan kereta
sebagai jaminan untuk masa depan, itu ada baiknya. apa yang penting adalah
menguruskan hutang dengan bijak dan mengawal segalanya dengan baik sebab
kitalah penentunya. Beli mengikut kemampuan bukan dengan nafsu. Merdeka! Salam
1Hati.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan,
Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan