KUALA LUMPUR : Malaysia sedang menjalankan kajian mendalam bagi
membangunkan program tenaga nuklear termasuk rangka kerja perundangan dan
peraturannya, kata wakil tetapnya ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Datuk
Hussein Haniff.
"Seperti negara-negara membangun yang lain, Malaysia menyokong penuh
penggunaan tenaga nuklear secara aman sebagai satu sumber tenaga oleh
negara-negara anggota," katanya.
Objektif menyeluruh kajian itu adalah bagi memastikan standard tertinggi
keselamatan nuklear digunakan pada setiap masa, katanya dalam kenyataannya pada
mesyuarat pleno bagi sesi ke-67 Perhimpunan Agung PBB mengenai Agenda Item 85:
Laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa di New York.
Hussein berkata Malaysia sentiasa mempertimbang dengan mendalam tentang
insiden Fukushima Daiichi sebelum ia memulakan program nuklear.
"Sudah tentu ada pengajaran berharga yang boleh dipelajari. Dalam
hubungan ini, Malaysia menyambut baik penggubalan dan pelaksanaan pelan tindakan
IAEA (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa) mengenai keselamatan Nuklear berikutan
kemalangan Fukushima yang berlaku sebelum ini," katanya.
Loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi, Jepun rosak teruk semasa kejadian
gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011, apabila bangunan yang menempatkan loji
itu meletup dan tiga daripada reaktor nuklearnya mengalami kebocoran dalam apa
yang dilaporkan sebagai kemalangan nuklear terburuk sejak bencana Chernobyl
pada 1986.
Hussein berkata Malaysia akan terus menyokong usaha meningkatkan
keselamatan nuklear dan berharap untuk menyertai Persidangan Keselamatan
Nuklear di Fukushima, akhir tahun ini.
Beliau berkata Malaysia akan menganjurkan bengkel serantau mengenai
keselamatan sumber radioaktif bagi industri radiografi menjelang akhir 2012.
"Kami berharap untuk membincangkan kemungkinan Malaysia diiktiraf
sebagai pusat kecemerlangan bagi latihan keselamatan nuklear di rantau ini dan
seterusnya.
Sementara itu, dalam kenyataan mengenai Agenda Item 24: Pembasmian
Kemiskinan dan Isu-isu Pembangunan Lain, Hussein berkata Malaysia mensasarkan
untuk terus mengurangkan lagi kadar kemiskinan kepada dua peratus pada
sepanjang masa menjelang 2015, daripada 2.8 peratus pada 2010.
Beliau berkata Malaysia amat menyedari kehadiran sekumpulan orang yang
terdedah kepada kemiskinan di kalangan penduduknya walaupun mencatat kejayaan
dalam membasmi kemiskinan.
"Kerajaan komited bagi meneruskan dasar-dasar yang akan membasmi
kemiskinan dalam kalangan rakyat Malaysia sepenuhnya dan kami berharap untuk
mencapai kemiskinan sifar dalam kalangan penduduk menjelang 2020," katanya.
- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan