KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pelajar tingkatan enam yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerusi sistem modular dilihat memerlukan lebih masa untuk membiasakan diri dengan sistem baharu itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John mendapati, rata-rata pelajar
mengakui sistem itu menyebabkan mereka perlu menukar cara belajar dan berusaha
lebih gigih menghabiskan sukatan pelajaran mengikut penggal persekolahan.
Menurut Guru Pengajian Am SMK St.
John, Mohd. Latun Nordin, penyebab pelajar sukar membiasakan diri dengan sistem
baharu itu antaranya kerana masih terikut- ikut dengan sistem terminal sebelum
ini.
"Mereka yang masih biasa
dengan sistem terminal lebih cenderung belajar pada saat-saat akhir, jadi
mereka tidak akan sempat menguasai sukatan pelajaran sebelum peperiksaan pada
hujung setiap penggal.
"Jika mereka tidak ubah cara
belajar mengikut keperluan sistem modular, saya percaya mereka akan menghadapi
kesukaran untuk cemerlang dalam STPM," katanya ketika ditemui di sini hari
ini.
Di bawah sistem modular yang
dilaksanakan bagi sesi 2012/2013 itu, pelajar tingkatan enam akan menjalani
pengajian tiga penggal untuk mengumpul mata sebelum diterima melanjutkan
pelajaran ke institusi pengajian tinggi mengikut sistem merit.
Sebanyak 67,202 calon terlibat
dalam peperiksaan STPM di 771 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula hari
ini sehingga Khamis ini dengan menggunakan sistem baharu itu.
Bagi calon STPM, Mohammad Yusri
Azis, 19, walaupun masih belum dapat membiasakan diri dengan sistem berkenaan
namun usaha kerajaan itu masih dianggap baik.
"Sistem ini bagus,
memudahkan pelajar untuk belajar secara sistematik dan tidak membebankan
pelajar dengan hanya perlu fokus terhadap sukatan pelajaran yang dibahagikan
kepada tiga penggal," katanya.
Pelajar Tingkatan Enam
Kemanusiaan Dua Program Pendidikan Khas Integrasi ini turut mencadangkan agar
masa tambahan diberikan kepada pelajar pendidikan khas memandangkan mereka
memerlukan kemudahan lain bagi menjawab soalan peperiksaan.
Rakannya, Lim Teck Zhao, 18, yang
bersetuju dengan pendapat Mohammad Yusri berkata, lanjutan tempoh menjawab
soalan bagi pelajar pendidikan khas dapat memudahkan mereka menjawab soalan
peperiksaan berdasarkan sukatan pelajaran yang agak padat terutamanya pada
penggal pertama persekolahan.
"Kami menjawab dalam format
berbeza, saya rasa tidak salah sekiranya pihak kementerian dapat membuat
pertimbangan bagi membantu pelajar seperti kami," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan