LANGKAH anjakan paradigma yang
segera perlu diambil atas kaedah pendidikan sedia ada bukan sahaja di
Malaysia malah di peringkat global seiring dengan keperluan semasa sistem
pembelajaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
Beaconhouse, Kasim Kasuri berkata, sistem pendidikan hari ini perlu perubahan
khususnya dalam kaedah pembelajaran sepanjang hayat.
Kita perlu mencipta persekitaran
yang mana pelajar menentukan sendiri bentuk pembelajaran yang mereka perlukan
dan pada masa yang sama guru memainkan peranan mereka sebagai fasilitator.
Oleh itu, guru di negara ini
perlu mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) mereka ke arah yang
lebih kreatif.
Guru harus melakukan eksplorasi
dan mengkaji cara baharu dalam kaedah P&P termasuk mengenal pasti kaedah
terbaik bagi pelan masa depan agar ia sesuai dipraktikkan dalam kelas
masing-masing," katanya pada persidangan antarabangsa School of
Tomorrow anjuran syarikat pendidikan antarabangsa itu di Petaling Jaya,
Selangor baru-baru ini.
Persidangan yang masuk empat kali
penganjurannya pada tahun ini dan yang pertama diadakan di Malaysia itu
disempurnakan perasmian majlis penutupnya oleh Menteri Penerangan, Komunikasi
dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Peserta persidangan seramai 600
orang terdiri daripada pensyarah dan guru termasuk 20 pembentang kertas kerja
dari United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Rangkaian Beaconshouse School
System meliputi lapan negara iaitu United Kingdom, Malaysia, Oman, Emiriyah
Arab Bersatu, Pakistan, Bangladesh, Filipina dan Thailand.
Menurut Kasim, persidangan
bertemakan Memperkasakan Pembelajaran Sepanjang Hayat itu turut
memfokuskan model pembangunan profesional dan kesan pelaksanaan kaedah tersebut
dalam bilik darjah serta peranan pihak pentadbiran sekolah dalam melaksanakan
kaedah serta teknik pembelajaran itu di sekolah nanti.
Kita mahu mencabar dan
menggoncang tahap pemikiran para pendidik hari ini termasuk mereka yang dalam
kalangan pakar akademik serta profesor agar mengubah pemikiran mereka kepada
kaedah masa depan.
Kita sasarkan matlamat mencari
kaedah dan cara terbaik untuk mewujudkan usaha memperkasakan pembelajaran
sepanjang hayat dan seterusnya keperluannya pada masa depan," katanya.
Sementara itu, Rais berkata,
sistem pembelajaran di negara ini perlu mengekalkan nilai-nilai ketimuran sedia
ada tanpa perlu menceduk sepenuhnya sistem dari negara Barat.
Menurutnya, kebudayaan masyarakat
Asia perlu dipelihara dan dikekalkan hingga sepanjang hayat walaupun sistem
sedia ada telah diserapkan dengan pendidikan Barat.
Kita
berharap kemahiran berfikir dan menganalisis sesuatu perkara turut ada dalam
setiap pelajar, tidak hanya wujud untuk mengisi kotak dengan tanda pangkah atau
betul.
Kita mesti mewujudkan kepandaian
dan kepakaran di dunia sebelah sini, satu hari nanti mesti sama atau lagi hebat
berbanding Universiti Harvard, Cambridge serta Oxford, kita tidak seharusnya
menjadi pak turut
kepada sistem yang kononnya sampai bila-bila akan menentukan masa depan
manusia," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan