KUALA LUMPUR : Percaturan
ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagobal untuk meraih kemenangan pertama
pada aksi Piala AFF Suzuki akhirnya tercapai selepas menewaskan Laos 4-1 pada
aksi Kumpulan B Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit
Jalil, Rabu.
Tewas 3-0 pada aksi pertama
menentang Singapura pada Ahad lalu, ternyata skuad Harimau Malaya tampil dengan
corak permainan yang lebih bertenaga dengan menguasai permainan selain turut
melakukan beberapa percubaan ke arah gol.
Peluang untuk mencipta gol
pertama hadir menerusi penyerang utama, Safee Sali pada minit ke-10, tetapi
gagal disempurnakan dengan tepat.
Namun lima minit selepas itu,
kapten negara, Safiq Rahim berjaya menghasilkan jaringan sulung melalui sepakan
percuma yang tepat ke arah gawang yang dikawal Sengphachan Bounthisanh.
Sementara itu, aksi hambar
penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat pada aksi pertama sebelum ini
menjadikannya sebagai pemanas bangku pada aksi malam Rabu dengan digantikan
Farizal Marlias.
Kegembiraan mendahului 1-0 tidak
berpanjangan apabila Khonesavanh Sivavong menyamakan kedudukan pada minit ke-38 menerusi tendangannya yang terkena kaki pertahanan negara, Mohamad Aidil Zafuan sebelum
bola melambung ke arah gol.
Permainan separuh masa pertama
kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.
Bersambung ke babak kedua,
Malaysia melakukan satu pertukaran dengan mengeluarkan Azmi Muslim digantikan
Zubir Azmi.
Pasukan Laos yang dibimbing
jurulatih dari Jepun, Kokichi Kimura dilihat bangkit melakukan permainan yang
lebih pantas, namun benteng pertahanan Harimau Malaya gandingan Shakir Shaari,
Fadhli Shaas serta Aidil Zafuan menyukarkan pemain-pemain Laos menembusi
kawasan kotak penalti.
Selepas hampir tujuh kali gagal
melakukan percubaan tepat, akhirnya Safee berjaya menambah jaringan kedua
negara pada minit-66 melalui hantaran Wan Zack Haikal.
Permainan semakin rancak apabila
Wan Zack menambah satu lagi jaringan Malaysia pada minit ke-75 selepas melakukan
tandukan cantik di depan pintu gol.
Tidak cukup dengan tiga gol, skuad
Harimau Malaya terus garang menambah jaringan menerusi Khyril Muhymeen yang menjaringkan gol
keempat pada minit ke-79 selepas beberapa minit menggantikan Safee.
Kemenangan ini juga kembali
menghidupkan harapan seluruh peminat bola sepak tanah air untuk melihat
pasukan negara mara ke pusingan seterusnya sebelum bertemu pasukan Indonesia
pada aksi terakhir peringkat kumpulan Sabtu ini.
Satu perlawanan peringkat
kumpulan ini yang turut berlangsung petang Rabu, menyaksikan Singapura tewas
1-0 kepada Indonesia.
BARISAN PEMAIN:
MALAYSIA: Mohd Farizal
Marlias, Mahalli Jasuli, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohamad Azmi
Muslim, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Safiq Rahim (kapten), S. Kunalan, Mohd Shakir
Shaari, Wan Zack Haikal Wan Nor, Norshahrul Idlan Talaha (Baddrol Bakhtiar),
Mohd Safee Mohd Sali (Mohd Khyrill Muhymeen Zambri).
LAOS: Sengphachan
Bounthisanh, Ketsada Souksavanh, Soukaphone Vongchiengkham, Keoviengpheth
Lithideth, Visay Phaphouvanin (kapten) (Daoneua Siviengxay), Kanlaya Sysomvang,
Khonesavanh Sihavong, Phatthana Syvilay, Viengsavanh Sayyaboun, Kovanh
Namthavixay, Khampeng Sayavutthi.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan