Jumaat, 9 November 2012

ISU PENDIDIKAN : Pembelajaran Luar Bilik Darjah Bantu Perkukuh Pengalaman


PETALING JAYA : Pembelajaran di luar bilik darjah dapat membantu pelajar memperkukuhkan pengalaman serta mempelajari tentang dunia kehidupan yang sebenar, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pembelajaran seperti itu dapat membantu pelajar meningkatkan kemahiran yang penting bagi kehidupan pada abad ke-21, iaitu kemahiran berfikir, penyelesaian masalah, pembelajaran kendiri serta kemahiran bekerja sebagai satu pasukan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika merasmikan World Robotic Olympiad (WRO) di sini Sabtu yang menyaksikan hos Malaysia menghantar kontinjen terbesar dengan penyertaan 56 pasukan bertanding dalam pelbagai kategori.

"Belajar melalui aktiviti mereka cipta, membina dan mengendalikan robot membantu pelajar menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan komputer, elektrikal dan mekanikal berteknologi tinggi yang sememangnya mempunyai permintaan tinggi dalam industri," katanya.

Beliau menarik perhatian penganjuran WRO di Kuala Lumpur juga bertepatan dengan pengisytiharan 2012 sebagai Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional (SGI 2012) bertujuan menggerakkan agenda pembangunan negara menerusi pembudayaan sains dan inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Muhyiddin berkata selain mengumpul pelajar terbaik dalam bidang sains seluruh dunia, WRO juga menjadi landasan terbaik untuk memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.

Katanya memandangkan bidang robotik merentasi bidang disiplin lain seperti fizik gunaan, matematik dan kejuruteraan, ia juga menjadi pilihan kerjaya yang ideal kerana meliputi pelbagai industri dan melibatkan pelbagai kemahiran.

"Robotik pada hari ini merupakan bidang yang sedang berkembang pesat dalam sektor perindustrian dan permintaan terhadap golongan profesional muda yang berbakat untuk bekerja dalam industri robotik semakin meningkat.

"Saya amat berharap agar pelajar-pelajar ini (peserta) akan terus kekal berada dalam bidang sains dan teknologi sehingga ke peringkat pengajian tinggi bagi memberi sumbangan lebih bermakna kepada negara masing-masing serta mampu bersaing dalam bidang itu," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata seperti di negara membangun lain, bidang sains dan teknologi memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia, khususnya dalam usaha menuju ke arah matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Beliau berkata usaha bersepadu sedang dijalankan bagi memaksimumkan penggunaan sains dan teknologi di Malaysia, khususnya bidang automasi dan robotik sebagai alat bagi memastikan pembangunan ekonomi yang mapan seterusnya menjadi nilai tambah kepada agenda transformasi negara.

Muhyiddin berkata beberapa institusi pengajian tinggi tempatan turut menawarkan kursus di bidang robotik industri termasuk Universiti Teknologi Malaysia yang menubuhkan Pusat Robotik dan Kepintaran Buatan pada 1997.

Buat pertama kalinya Malaysia dipilih selaku tuan rumah penganjuran WRO tahun ini yang masuk edisi kesembilan melibatkan 405 pasukan dari 37 negara.

Pertandingan dua hari itu menyaksikan penyertaan negara seperti Australia, Indonesia, China, Costa Rica, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Iran, Korea Selatan, Jerman, Mesir, Nigeria, Thailand, Rusia dan Ukraine.

Sejak penyertaan dalam WRO pada 2005, Malaysia telah menggondol tujuh pingat emas, lapan perak dan lima gangsa serta pernah meraih gelaran juara dunia dua tahun berturut-turut pada 2009 dan 2010. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan