KUALA LUMPUR - Kerajaan
tidak bercadang memansuhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES)
mahupun memberi diskaun saman kepada pesalah trafik yang dikesan menerusi
sistem itu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri
Kong Cho Ha menegaskan bahawa sistem AES bukan untuk menghukum tetapi bagi
mengajar pengguna jalan mematuhi undang-undang dalam usaha mengurangkan kadar
kemalangan maut.
Sejak fasa pertama sistem kamera
AES dipasang pada 22 September lepas, ada penurunan sehingga 70 peratus
bilangan mereka yang melanggar had laju dan melanggar lampu isyarat, katanya
pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.
Cho Ha berkata, pelaksanaan AES
telah dikaji daripada segala aspek termasuk kepakaran memperbaiki,
menyelenggara peralatan AES dan kaedah mengelakkan wujudnya vandalisme.
Katanya beliau berasa amat kecewa
dengan tindakan segelintir wakil rakyat pembangkang yang didakwa
memutarbelitkan fakta mengenai AES.
"Pembangkang mendakwa
seolah-olah dua syarikat yang terbabit dalam AES mengaut keuntungan berlebihan
sebaliknya mereka perlu sedar bahawa sebenarnya proses pemilihan (syarikat)
dijalankan secara telus.
"Kedua-dua syarikat itu
hanya penyedia perkhidmatan manakala penguatkuasaan pula dijalankan oleh
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.
Pada sidang media yang sama,
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri pula berkata kandungan
perjanjian antara kerajaan dengan dua syarikat penyedia perkhidmatan AES itu
adalah rahsia dan sulit serta mengguna pakai Akta Rahsia Rasmi.
Terdahulu, semasa sesi
penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa, Kong
berkata cadangan untuk memberi diskaun kepada pesalah trafik yang dikenakan
saman melalui AES akan dikaji walaupun pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai
sistem untuk berbuat demikian.
"Jadi, cadangan itu kita
akan ambil kajian," katanya ketika menjawab gesaan anggota Parlimen Datuk
Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) sama ada kementerian akan membuat kajian
berhubung cadangan tersebut demi kepentingan rakyat.
Beliau juga berkata, kaedah
pembayaran saman yang dikesan melalui AES akan diperluaskan apabila
pembayarannya boleh dibuat di pejabat pos, melalui MYEG dan secara atas talian.
Mengenai tuduhan sesetengah pihak
bahawa kerajaan menswastakan penguatkuasaan kesalahan memandu melebihi had laju
dan melanggar lampu isyarat, Kong berkata ia adalah tidak benar sama sekali.
Katanya, ini kerana kedua-dua
syarikat itu meerupakan penyedia perkhidmatan yang hanya bertanggungjawab untuk
membangunkan, menyelenggara dan mengoperasikan sistem AES.
Katanya, seperti yang telah
dijelaskan sebelum ini, semua saman adalah dikeluarkan oleh JPJ yang
ditempatkan di Pusat Kawalan AES dan di bawah perjanjian di antara kerajaan dan
pihak penyedia perkhidmatan, sistem tersebut akan diserahkan kepada kerajaan
selepas lima tahun ia beroperasi.
"Sebenarnya pelaksanaan AES
ini telah diberi pertimbangan sedalam-dalamnya oleh kerajaan dan jika kerajaan
tidak melantik pihak syarikat swasta secara kaedah penyumberan luar, ia
terpaksa memberi pertimbangan kepada masalah dari segi penyelenggaraan, risiko
vandalisme, kecurian peralatan, teknologi yang berubah, alat ganti dan
penyediaan dalam mengoperasi dan menyelenggarakan sistem ini," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan