Oleh : Nuruljannah Ismail
Lebih kurang seminggu yang lalu,
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan kepada
Perdana Menteri India untuk menerima sejumlah guru yang mahir bahasa Inggeris
dari India untuk mengajar di negara kita. Pada dasarnya, kita melihat cadangan
ini mampu mewujudkan kerjasama yang pelbagai dan menyeluruh antara Malaysia dan
India, namun jika diteliti, masih banyak faktor yang perlu ditekuni demi untuk
merealisasikan cadangan ini. Saya di peringkat mahasiswa yang merupakan pelajar
daripada Jurusan Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ingin
menyuarakan ketidaksetujuan terhadap cadangan ini atas beberapa hujah.
Hujah saya yang pertama ialah,
lambakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang masih menganggur
dan masih menunggu untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah untuk mengajar.
Tambahan lagi, baru-baru ini Gerakan Gabungan ISMP mengeluarkan kenyataan
bahawa mereka turut menghadapi kesukaran untuk diterima di sektor swasta.
Justeru, jika melihat kepada situasi ketika ini, amatlah mustahil untuk kita
membawa masuk guru dari India, sedangkan masih ramai lagi graduan ISMP yang
terkontang-kanting menunggu panggilan penempatan ke sekolah-sekolah. Cadangan
ini seolah-olah menyempitkan peluang graduan ISMP terutamanya daripada jurusan
Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) untuk mendapatkan
pekerjaan. Seterusnya, ia akan memburukkan lagi masalah pengangguran dalam
kalangan graduan ISMP. Terdengar juga ura-ura bahawa pengambilan mahasiswa ISMP
akan dihentikan buat sementara waktu bermula tahun hadapan kerana peluang
pekerjaan yang tersedia tidak mampu menampung graduan ISMP yang sedia ada.
Lantas, satu pertanyaan di sini, adakah berbaloi jika pengambilan mahasiswa
dihentikan untuk mengatasi masalah pengangguran dan pada masa yang sama kita
mengimport masuk guru-guru dari India?
Hujah saya yang kedua ialah, kita
sudah mempunyai graduan daripada jurusan TESL untuk mengajar dalam bahasa
Inggeris. Bahkan, sehingga kini, masih ada ribuan mahasiswa di seluruh Malaysia
yang sedang mengikuti kursus TESL dan dijangka akan menamatkan pengajian antara
tahun 2013 hingga 2016. Jika diperhati keadaan ini, saya yakin negara kita
tidak akan ketandusan guru-guru bahasa Inggeris untuk mengajar anak-anak watan.
Atas dasar apa kami diberi latihan selama empat tahun sekiranya peluang untuk
mengajar diberikan kepada mereka yang bukan warganegara? Saya yakin dengan
kompetensi mahasiswa dan juga graduan TESL di Malaysia kerana proses untuk
menjadi mahasiswa ISMP bukan mudah. Untuk mengambil jurusan TESL, kami harus
memperoleh sekurang-kurangnya band 4 dalam Malaysian University English Test
(MUET). Setelah melepasi ujian tersebut, kami menduduki pula Malaysian Educators Selection
Inventory (MEdSI) dan seterusnya kami melalui proses temuduga. Dengan
tapisan sebegini, adakah kerajaan masih belum yakin dengan kemampuan kami mengajar
anak watan kami sendiri?
Hujah saya yang ketiga ialah dari
sudut ekonomi. Kemasukan guru-guru dari India tidak dapat tidak memerlukan
kerajaan untuk melaburkan sejumlah wang yang agak besar yang merangkumi kos yang pelbagai. Kita
melihat situasi ini dari sudut kemaslahatan umum. Adakah pengambilan guru-guru
dari India merupakan satu keperluan sehinggakan kita rasa berbaloi untuk
melaburkan ke arah itu? Atau adakah dengan jumlah dan kualiti guru bahasa
Inggeris di Malaysia masih mampu menyediakan servis pengajaran yang terbaik dan
dengan ini kerajaan tidak perlu melaburkan banyak wang untuk menampung
guru-guru di Malaysia? Saya memilih opsi yang kedua. Saya masih yakin dengan
kebolehan dan kompetensi guru-guru bahasa Inggeris di Malaysia untuk mengajar,
kerana adanya saya di sini pada hari ini adalah hasil tunjuk ajar mereka.
Justeru, lebih wajar kiranya jika wang kerajaan digunakan dan diperuntukkan
untuk memperkasakan guru-guru bahasa Inggeris di Malaysia. Tambahan lagi,
ketika ini kita sudah mempunyai 75 orang guru dari Amerika Syarikat untuk
mengajar di Malaysia. Jadi, saya percaya, kita tidak perlu lagi menokok tambah
bilangan guru import yang sedia ada, kerana ia akan meningkatkan kos yang perlu
ditanggung kerajaan.
Saya menyokong penuh saranan
Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP) untuk kerajaan membuat kajian
dengan lebih mendalam terhadap isu ini dan juga mengadakan perbincangan dengan
profesor bahasa Inggeris di Malaysia. Semoga dengan perbincangan tersebut,
dapat menghasilkan keputusan yang menguntungkan negara. Saya juga tidak
sebulatnya menolak cadangan ini. Jika kerajaan mampu memberi sebab yang memuaskan bukan sekadar untuk
membina hubungan, saya dan juga mahasiswa lain mungkin akan mempertimbangkan
cadangan ini. Namun, untuk masa ini, saya tetap dengan pendirian saya untuk
tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Penulis ialah Ahli Majlis Perwakilan Pelajar UIAM.
Sumber : http://bm.harakahdaily.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan