KUALA LUMPUR : Wakil-wakil negara
asing berminat untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Malaysia pada 2013
berikutan kejayaan yang terjalin pada 2012.
Duta Besar Rusia ke Malaysia,
Lyudmila G.Vorobyeva optimis bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia
akan bertambah kukuh tahun depan.
Beliau berkata tahun 2012 adalah
tahun kejayaan terutama dengan pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada September yang telah
mencapai kejayaan.
Pertemuan itu berlangsung semasa
sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Vladivostok.
"Adalah diharapkan, hubungan
dua hala yang kukuh akan terus terjalin pada 2013. Kami menaruh harapan kepada
lebih banyak pertukaran lawatan terutama di peringkat tertinggi," katanya
kepada Bernama.
Beliau berkata pada tahun 2012,
lebih daripada 3,000 penuntut Malaysia telah pergi ke Rusia untuk melanjutkan
pengajian dalam bidang perubatan. Sebagai tambahan, jumlah pelancong Rusia yang
berkunjung ke Malaysia juga meningkat.
Berhubung perdagangan dua hala,
sejumlah misi perniagaan dari pelbagai bahagian di Rusia melawat Malaysia tahun
ini. Mereka berminat melaksanakan pelbagai projek pelaburan usahasama, katanya.
Duta dan ketua delegasi Kesatuan
Eropah (EU) ke Malaysia Luc Vandebon berkata tahun 2013 adalah tahun penting
bagi Malaysia yang akan mengadakan pilihan raya umum.
"Tanpa mengira keputusannya,
pilihan raya itu sudah tentu merupakan detik penentuan bagi Malaysia,"
katanya.
2013 akan menjadi tahun yang
penting bagi hubungan dua hala antara EU dan Malaysia.
Tiga perjanjian utama akan
ditandatangani: Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA), dan Perjanjian
Perdagangan Bebas (FTA) dan Perjanjian Perkongsian Sukarela (VTA).
"Saya amat yakin bahawa kita
akan menandatangani perjanjian utama yang dapat kita banggakan," katanya.
Menurut Vandebon, majlis
penyampaian Hadiah Nobel Keamanan 2012 adalah satu daripada detik yang tidak
dapat dilupakan apabila EU menerima anugerah itu tahun ini.
"Selepas memenangi Hadiah
Nobel Keamanan, UE telah meningkatkan usahanya untuk mengekalkan keamanan dan
kemakmuran di seluruh dunia. EU membantu negara-negara yang berjuang
mendapatkan kebebasan," katanya.
Satu lagi upacara yang amat
dibanggakan EU ialah pertandingan rayuan yang diadakan di bangunan Parlimen
baru-baru ini, bagi menyebarluas berhubung pemansuhan hukuman mati, yang mana
EU akan meneruskan inisiatif itu tahun depan.
Vandebon mengucapkan terima kasih
kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz atas
sokongannya.
Nazri berkata kerajaan berminat
untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan-kesalahan dadah. Ia
merancang untuk menggantikan hukuman mati itu dengan kaedah-kaedah hukuman yang
lain.
Duta Besar Vietnam ke Malaysia,
Nguyen Hong Thao, berkata Vietnam dan Malaysia sentiasa meningkatkan hubungan
mereka dalam pelbagai bidang atas dasar menghormati kedaulatan, keutuhan
wilayah dan perpaduan Asean. Thao juga berkata Vietnam dan Malaysia akan
menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik mereka pada 2013, yang
menurutnya adalah acara yang penting.
Beliau berharap kedua buah negara
akan bekerja rapat bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan saling menyokong
dalam forum antarabangsa terutama apabila Komuniti Asean menjadi kenyataan pada
2015.
Bagi hubungan perdagangan, menurut
Thao, setakat November 2012, hubungan perdagangan telah mencapai lebih daripada
US$6.5 bilion.
Menjelang akhir November 2012,
Malaysia berada pada kedudukan ketujuh daripada lebih 90 pelabur asing di
Vietnam, dengan 432 projek dengan modal yang didaftarkan berjumlah US$11.3
bilion.
Hubungan kebudayaan antara kedua
buah negara juga terus meningkat," katanya.
"Kami berharap kerjasama
pelbagai hala antara Vietnam dan Malaysia akan terus berkembang pada
tahun-tahun akan datang," kata Thao, yang dihantar berkhidmat di sini pada
Jun 2011. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan