Tidak perlu tunggu sehingga
petang Tahun Baru seperti esok untuk berazam... setiap saat pun, kita wajar
fikirkan soal perubahan ke arah kebaikan...
DI AMBANG kemunculan Tahun Baru
2013 lusa, tentunya ramai yang sudah terfikir tentang azam yang ingin dicapai.
Tidak kiralah, sama ada azam itu
merupakan tekad baru menjadi insan lebih baik atau ia adalah misi 2012 yang
belum kesampaian kerana sibuk, terlupa atau banyak 'godaan' - silakan berazam.
Bahkan, tiada salahnya untuk
menyiapkan senarai azam anda, asalkan ia realistik dan tidak membebani fikiran
atau emosi anda.
Saya tertarik dengan dapatan satu
kajian mengenai azam Tahun Baru yang dikendalikan oleh Universiti Scranton,
Amerika Syarikat, dan dimuatkan dalam Jurnal Psikologi Klinikal.
Meskipun kajian tersebut lebih
condong kepada warga Amerika, ia tetap mampu dikaitkan dengan warga setempat dan
menggambarkan keutamaan dan masalah masyarakat kini.
10 AZAM UTAMA :
Menerusi kajian itu,
dirumuskan bahawa 10 Azam Paling Utama (Mengikut Susunan Keutamaan) adalah:
1. Mengurangkan berat
badan
2. Menjalani kehidupan
lebih teratur
3. Kurangkan
berbelanja, lebih berjimat
4. Menikmati kehidupan
sepenuhnya
5. Kekal cergas dan
sihat
6. Pelajari sesuatu
yang menarik
7. Berhenti merokok
8. Membantu orang lain
mencapai impian
9. Jatuh cinta
10. Meluangkan lebih masa
bersama keluarga
Kebanyakan azam ini
menyentuh perihal kesihatan yang sering diabaikan dalam kesibukan bekerja atau
kerana mentaliti "tak apa".
Ada juga perihal mengawal
keborosan dan sikap berlebih-lebihan berbelanja apabila mendapat gaji.
Gambaran bahawa pekerja kini
lebih sibuk dengan pekerjaan sampai tiada masa untuk jatuh cinta atau beriadah bersama
keluarga juga dapat dirasakan daripada senarai 10 azam tadi.
Cuma, apakah sebab yang
memungkinkan segala azam yang anda penat-penat fikirkan itu tidak kesampaian?
Saya ambil contoh azam
mengurangkan berat badan. Ia sering terucap di bibir ramai wanita (termasuk
diri saya sendiri), tetapi apa kesannya?
Tahun demi tahun, sama saja berat
badan ni... naik dan terus naik. Makin cute...
Yang sering menjadi penghalang
pada terlaksananya misi tersebut adalah sikap "nanti... nanti" atau
"sekejap nak, sekejap tak nak".
Namun, kadangkala juga ia
didorong oleh penetapan azam yang langsung membunuh semangat dan tidak selari
dengan keupayaan kita.
Misalnya, niat di hati nak
kuruskan badan dan 'puasa' daripada makan cemil-cemilan, manisan, aiskrim,
coklat dan nasi atau makanan dengan kandungan karbohidrat tinggi.
Apabila tengok orang lain seronok
makan, alahai 'menderitanya', Tuhan saja yang tahu.
Lantas, kirim salam sajalah
dengan azam tersebut. Maka, cara pemakanan kita tu... hmm... walhasil balik
asal.
Sebenarnya, tidak perlulah untuk
menyekat diri sampai begitu sekali. Konsep 'sedang-sedang saja' atau
kesederhanaan tetap berkesan bagi segala aspek kehidupan.
USAH MENGHARAPKAN HASIL SEKELIP MATA
Penulis bersama buku motivasi
Changing For Good, Encik John C. Norcross dan jurucakap Persatuan Pemakanan
Amerika, Cik Bonnie Taub-Dix, sependapat menyatakan:
"Kalau sesiapa berazam
menurunkan berat badan, mereka tidak perlu lupakan makanan-makanan yang
menyelerakan ini 100 peratus!
"Ada masanya untuk menikmati
makanan-makanan 'mewah' dianggap sesetengah wanita sebagai 'berdosa' atau
sinful.
"Ada orang akan ketepikan
setiap Sabtu untuk mengubati rasa rindu terhadap makanan sebegini sedangkan
pada enam hari lain, mereka begitu berjaga-jaga soal pemakanan. Pokoknya ada
keseimbangan."
Dalam kita berazam ini, kita
tidak boleh mengharapkan hasil sekelip mata.
Baru bersenam sekejap, takkan
boleh kurus serta-merta, bagaikan lemak disedut semalaman.
Jangan biarkan diri kita
dibelenggu apa yang pakar psikologi, Dr Peter Herman, anggap sebagai sindrom
'janji kosong'.
Segala azam yang ditetapkan tidak
realistik dan lebih menyukarkan atau membingitkan.
Bagaimana ingin pastikan azam
kita berhasil?
Pertama, kita harus fokus pada
satu azam dan bukannya beberapa azam.
Kedua, pastikan azam tersebut
khusus, bukan setakat mengurangkan berat badan tetapi mengurangkan sebanyak
lima kilogram dalam masa tiga bulan, misalnya.
Sebenarnya, anda tidak perlu menunggu sehingga petang Tahun Baru seperti esok untuk berazam. Anda boleh
berazam bila-bila masa saja. Setiap saat pun, kita wajar fikirkan soal
perubahan ke arah kebaikan.
ORAK LANGKAH DEMI LANGKAH
Pastikan anda mengorak langkah
demi langkah dalam mencapai azam anda.
Dapatkan bantuan seorang teman
rapat untuk memberi anda motivasi dalam mencapai azam anda.
Anda kemudian boleh raikan
kejayaan kecil-kecilan anda itu dari masa ke masa meskipun azam itu baru 30
peratus sahaja yang tercapai.
Fokuskan fikiran anda itu pada
proses mengubah sikap, tanggapan dan fikiran anda untuk hari ini.
Yang penting, usah dikenangkan
hambatan masa lalu atau kebimbangan masa hadapan yang boleh menambah beban
fikiran dan emosi anda.
Akhir kata, Selamat Berazam dan
Menyambut Tahun Baru 2013!
Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg
Tiada ulasan:
Catat Ulasan