Oleh : Azmi Hassan
TIDAK memeranjatkan jika diandaikan tahun 2012 berkisar kepada dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China kerana setiap tindak-tanduk mereka tidak kira di mana sama ada secara tersurat atau tersirat sudah pasti memberi kesan kepada geopolitik dunia.
Setiap strategi yang direncanakan
oleh Washington lazimnya mempunyai kaitan untuk mengekang kebangkitan China
sama ada dalam bidang ekonomi, ketenteraan, kebudayaan atau sosial. Begitu juga
sebaliknya Beijing sentiasa begitu cermat melebarkan pengaruh agar tidak
mempamerkan kerakusan yang boleh menimbulkan syak-wasangka negara lain.
Paling menarik tirai 2012 ditutup
dengan pemilihan kepimpinan tertinggi kedua-dua negara yang berlaku hampir
serentak tetapi begitu berbeza kaedahnya. Pemilihan Presiden Barack Obama buat
penggal kedua telah melalui proses pengundian oleh hampir 140 juta rakyat
Amerika yang layak mengundi manakala pemilihan Xi Jinping sebagai Presiden pula
hanya direncanakan oleh beberapa pemimpin berpengaruh dalam Parti Komunis China
(CPC).
Walaupun kaedah pemilihan adalah
begitu jauh bezanya tetapi kewibawaan dan mandat yang dimiliki oleh kedua-dua
Presiden ini bakal mewarnai geopolitik dunia untuk tahun 2013. Suburnya
demokrasi AS kerana setiap rakyat mereka berpeluang melangsungkan tanggung
jawab sementara stabilnya China adalah kerana pertukaran pemimpin dilakukan
secara tersusun dan tidak mendadak.
Pemangkin yang bakal mewarnai
tahun 2013 tidak lagi berpusat di Eropah kerana benua tersebut sedang bergelut
dengan masalah ekonomi meruncing yang tidak memungkinkan organisasi seperti
Kesatuan Eropah (EU) mampu bertindak secara melampau.
Begitu juga beberapa negara Arab
sudah dan akan melalui proses pertukaran rejim tidak lagi dianggap sebagai
titik-tolak geopolitik dunia. Kemelut Timur Tengah yang pada ketika ini begitu
mudah direncanakan mengikut cita rasa rejim Israel juga sudah tidak menjadi isu
kritikal untuk tahun 2013.
Ada yang meramalkan tahun hadapan
adalah milik Asia kerana berlaku perubahan pucuk pimpinan beberapa negara
penting benua tersebut. Pemilihan Xi Jinping sebagai Presiden China adalah
kritikal kerana Xi mempunyai pengaruh yang begitu kuat dalam organisasi tentera
China iaitu PLA. Begitu juga dengan kejayaan Park Guen-hye sebagai Presiden
wanita pertama Korea Selatan dianggap sama penting dengan pemilihan Shinzo Abe
sebagai Perdana Menteri Jepun. Penting kerana kedua-dua pemimpin tersebut
berfahaman konservatif dan mempunyai semangat nasionalis yang begitu tinggi.
Pertembungan
Tetapi Asia Tenggara dan bukannya
Asia Timur yang bakal menyaksikan pertembungan antara dua kuasa besar
Washington dan Beijing. Jika berlaku Perang Dingin antara AS dan USSR selepas
tamat Perang Dunia Kedua, maka kini telah timbul bibit-bibit Perang Dingin ala
timur antara AS dan China. Tahun 2013 bakal memberi gambaran lebih jelas
komposisi sebenar kumpulan pihak yang bertelagah.
Jika Perang Dingin pertama telah
melalui berbagai-bagai bentuk krisis seperti Krisis Peluru Berpandu Cuba,
Tembok Berlin, Perang Vietnam dan Revolusi Hungary maka Perang Dingin terbaru
mempunyai satu pemangkin iaitu perebutan wilayah maritim terutama sekali yang
membabitkan Laut China Selatan.
Memang benar Laut China Timur
juga sedang bergolak dengan isu Zon Ekslusif Ekonomi (EEZ) antara Jepun, Korea
Selatan dan China tetapi persengketaan ini amat jelas pembentukannya di mana
sokongan AS berpihak 100 peratus kepada Jepun dan Korea Selatan. Tetapi
sengketa Laut China Selatan yang secara langsung melibatkan 10 negara ASEAN
masih belum begitu nyata komposisi negara mana yang berpihak kepada AS atau
China.
Tahun 2012 menyaksikan Washington
mengumumkan strategi apa yang digelar Pangsi Pasifik yang memberi perhatian
khusus terhadap rantau Asia Pasifik. Dasar pangsi ini adalah begitu jelas untuk
menjadikan Asia Pasifik sebagai pangkalan tumpuan kekuatan ketenteraan mereka,
terutama sekali angkatan tentera laut AS (USN). Pada ketika ini penempatan aset
USN adalah seimbang antara Atlantik dan Pasifik. Tetapi bermula tahun 2013,
kekuatan USN akan tertumpu di Pasifik dengan kelebihan nisbah 60:40.
Penambahan anggota tentera Marin
AS yang ditempatkan di pangkalan tentera laut di Darwin, Australia telah pun
bermula semenjak April lepas. Tidak ketinggalan juga Washington sedang menjalin
kerjasama strategik dengan beberapa negara ASEAN seperti Thailand, Singapura
dan Filipina untuk mengukuhkan kehadiran tentera AS di rantau sebelah sini.
Pentingnya ASEAN kepada
Washington dalam percaturan dengan China adalah begitu nyata kerana perhatian
yang diberikan begitu mendadak sekali. Sebaik sahaja mendapat mandat untuk
penggal kedua pada November lepas, Presiden Obama telah membuat lawatan ke
Myanmar, Thailand dan Kemboja. Lawatan ke Myanmar dianggap satu sejarah kerana
buat pertama kali dilakukan oleh Presiden AS.
Begitu juga dengan Setiausaha
Negara AS , Hillary Clinton telah melawat semua 10 negara ASEAN dan tidak
pernah terlepas mesyuarat Forum Serantau ASEAN (ARF) yang membincangkan isu
keselamatan dan pertahanan serantau.
Tetapi menariknya untuk negara
ASEAN, tidak seperti mana Jepun atau Korea Selatan, Washington kurang berjaya
memikat beberapa negara ASEAN supaya berpihak kepada AS apabila berhadapan
dengan China. Kecuali Manila yang begitu jelas mahu melibatkan AS, negara ASEAN
lain nampak gayanya begitu strategik dan pintar tidak mahu menyebelahi
mana-mana pihak kuasa besar.
Manila mungkin tidak mempunyai
pilihan kerana ketegangan di Scarborough Shoal yang meletus pada April lepas
jelas mempamerkan kelemahan tentera mereka menghadapi kekuatan China.
Sekutu
Thailand walaupun mempunyai
status sekutu bukan NATO dengan AS, mengambil sikap berhati-hati supaya tidak
menyinggung perasaan Beijing. Malah Perdana Menteri kedua-dua negara Yingluck
Shinawatra dan Wen Jiabao telah bersetuju menaik taraf terma hubungan bilateral
kepada perkongsian strategik.
Paling menarik pada Jun lepas,
Bangkok membatalkan persetujuan asal untuk membenarkan NASA menggunakan
pangkalan udara U-Tapao sebagai pusat penerbangan kapal terbang penyelidikan
atmosfera U-2 kerana curiga dengan bantahan Beijing. Khabarnya NASA juga
mengemukakan permintaan yang serupa kepada Kuala Lumpur pada November lepas.
Singapura yang mempunyai hubungan
ketenteraan yang rapat dengan AS melalui Kerangka Perjanjian Strategik bakal
teruji dasar mereka pada tahun hadapan apabila empat kapal gempur pesisir (LCS)
AS mula ditempatkan di Pangkalan Tentera Laut Changi. Singapura tidak seperti
Manila juga tidak mahu mempamerkan sikap tidak berpihak walaupun secara
dasarnya lebih berpihak kepada AS.
Vietnam walaupun sejak
kebelakangan ini semakin rapat dengan AS, tetapi mengambil pendekatan
berhati-hati serupa dengan Thailand dan Singapura yang tidak mahu menyinggung
perasaan Beijing. AS yang bercita-cita menggunakan pangkalan laut Cam Ranh Bay
masih belum berjaya memujuk Hanoi.
Malaysia dan Indonesia yang
mempunyai majoriti penduduk beragama Islam juga mengambil sikap pragmatik apabila
berhadapan dengan sengketa AS-China. Walaupun Malaysia mempunyai masalah
tuntutan bertindih beberapa pulau Spratly dengan China, tetapi isu ini tidak
mengaburi kepentingan hubungan dua hala. Pada September lepas umpamanya Kuala
Lumpur dan Beijing telah buat julung kali mengadakan perbincangan mengenai
keselamatan dan pertahanan strategik.
Strategi pragmatik yang diamalkan
oleh negara ASEAN pada 2012 telah berjaya meredakan ketegangan Laut China
Selatan. Tetapi tahun 2013 bakal memberi cabaran getir bagi beberapa negara
ASEAN untuk mengekalkan momentum tidak berpihak sama ada kepada AS atau China.
Dengan gabungan penduduk melebihi 600 juta dan Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) melebihi AS$2.2 trilion, ASEAN memerlukan kedua-dua pasaran AS dan China
untuk berkembang.
Semenjak Perjanjian Perdagangan
Bebas ASEAN-China ditandatangani pada 2010, ASEAN telah meraih manfaat yang
begitu besar kerana permintaan dari pasaran China adalah begitu besar untuk
dibiarkan begitu sahaja. Tetapi Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang melibatkan
Malaysia, Brunei, Vietnam dan Singapura bersama-sama dengan AS bakal memberi
cabaran baru pada tahun hadapan kerana Beijing menuduh TPP sengaja diadakan
untuk mengekang pertumbuhan ekonomi mereka.
Negara ASEAN perlu bijak
melaksanakan strategi supaya tidak terjebak dan terperangkap seperti yang telah
dilalui oleh negara Eropah ketika meletusnya Perang Dingin AS-USSR. Tahun 2012
mempamerkan negara ASEAN mampu membuat keputusan pragmatik yang tidak
memudaratkan rantau Asia Tenggara. Harapannya ialah momentum 2012 dapat
diteruskan sepanjang 2013 tetapi cabaran yang bakal ditempuhi adalah begitu
getir sekali yang memerlukan prinsip setiap dasar yang digubal mesti mengambil
kira kepentingan ASEAN sebagai sebuah organisasi dan bukan hanya mementingkan kepentingan
negara individu semata-mata.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan