Oleh : Zin Mahmud
MULAI Rabu lalu,
penduduk-penduduk di selatan Thailand dapat menonton saluran televisyen yang
dikendalikan oleh kerajaan dalam bahasa Melayu.
Akhbar The Nation yang melaporkan
perkara itu juga menyatakan bahawa penduduk di wilayah selatan iaitu di
Pattani, Yala dan Narathiwat telah lama dipaksa mempelajari bahasa Thai yang
telah lebih seratus tahun merupakan bahasa rasmi sejak negara itu memodenkan
sistem pendidikannya.
Sesiapa yang pernah pergi ke
Phuket dan Krabi akan mendapati penduduk Melayu di situ sememangnya seperti
orang Melayu di Malaysia. Budaya, termasuk pakaian dan makanan sama saja.
Begitu juga dengan rumah dan cara hidup berkampung.
Bezanya mereka berbahasa Thai.
Orang Melayu di wilayah itu sudah kehilangan bahasa asal mereka.
Cuma mereka yang dari wilayah
timur seperti Narathiwat dan Pattani, bahasa Melayu masih luas digunakan
seperti yang dicakapkan di Kelantan. Bukan itu saja, di madrasah-madrasah,
kitab Melayu bertulisan jawi juga masih difahami.
Sememangnya semua wilayah-wilayah
ini dahulunya adalah sebahagian daripada kerajaan kesultanan Melayu Pattani.
Mereka menjadi sebahagian
daripada Thailand apabila kalah perang dan sultan mereka lari ke Kelantan.
Sementara negeri-negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu terpaksa menghantar
bunga emas ke Siam.
Sempadan yang memuktamadkan
wilayah Siam berlaku apabila British menguasai Malaya dan Burma melalui
Perjanjian Inggeris-Siam.
Siam kemudian dimodenkan. Mereka
menukarkan nama Siam menjadi Thailand dengan suatu identiti negara bangsa baru
berasaskan kaum Thai. Bahasa Thai adalah bahasa rasmi wajib digunakan oleh
semua warga negaranya tidak kira apa keturunannya, sama ada Thai, China,
Melayu, Khmer, Mon, Lao dan lain-lain suku kaum.
Namun begitu, sistem tulisan
tradisi dikekalkan. Tidak pula Thailand dalam pemodenannya mengambil tulisan
rumi seperti Vietnam.
Sementara di Malaya, semasa
British, bahasa Melayu dianggap oleh penjajah sebagai bahasa vernakular atau
bahasa orang tempatan, seperti mana bahasa China dan Tamil. Hanya Inggeris
dianggap bahasa pentadbiran rasmi .
Namun apabila berurusan dengan
kaum-kaum berkenaan, maka pentadbir British akan menggunakan bahasa yang
difahami mereka. Kepada orang Melayu, maka mereka akan menggunakan bahasa
Melayu tulisan jawi. Jika melibatkan ketiga-tiga kaum itu, maka digunakanlah
ketiga-tiga bahasa iaitu Melayu, China dan Tamil.
Begitu juga di Hindia Belanda
Timur sebelum Indonesia merdeka di mana bahasa Belanda adalah bahasa rasmi
dengan bahasa Melayu, Jawa, China dan lain-lain adalah bahasa vernakular.
Namun begitu, ketika mentadbir
tanah jajahannya itu, Belanda berasa sukar untuk menggunakan bahasa mereka
kerana tidak akan difahami oleh orang tempatan. Akhirnya mereka menggunakan
bahasa Melayu kerana ia paling banyak difahami tidak kira apa suku kaumnya.
Cumanya Belanda memperkenalkan tulisan rumi bagi bahasa Melayu untuk memudahkan
pembelajaran dan kefahaman.
Atas asal-asal inilah kemudian
pejuang-pejuang kebangsaan Indonesia mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai
Bahasa Indonesia yang akan dipakai oleh keseluruhan wilayah Indonesia dari Aceh
hinggalah ke Papua Barat.
Walaupun pada mulanya, tidaklah
kesemua wilayah Indonesia yang mengetahui Bahasa Indonesia, tetapi lama
kelamaan, ia digunakan di seluruh negara melalui sistem pendidikan nasional.
Melihat apa yang berlaku di
Indonesia, maka Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) yang berpusat di Singapura
juga menuntut supaya Malaya yang merdeka hendaklah menjadikan Melayu sebagai
bahasa rasmi dan kebangsaan.
Dalam memorandumnya, mereka mahu
tulisan rumi dan bukannya tulisan jawi. Apabila Malaya merdeka, bahasa Melayu
dijadikan bahasa rasmi dan kebangsaan.
Ketika Malaysia ditubuhkan,
bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia yang meliputi juga Singapura, Sarawak dan
Sabah. Walaupun ketika itu di Sarawak dan Sabah, bahasa Melayu belum lagi luas
penggunaannya.
Apabila Singapura keluar dari
Malaysia, bahasa kebangsaannya tetap Melayu. Tetapi sebagai bahasa rasmi, ia
adalah salah satu daripada tiga bahasa lain iaitu Inggeris, China dan Tamil.
Brunei yang kemudian mencapai
kemerdekaan mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan.
Dari segi berbahasa Melayu,
Singapura, Brunei dan orang Melayu selatan Thailand mengikut cara Malaysia.
Indonesia mempunyai cara berbeza.
Ketika Timor Timur berada dalam
Indonesia, Jakarta mengharamkan penggunaan bahasa Portugis. Tetapi pejuang
kemerdekaannya menggunakan Portugis sebagai bahasa perjuangan. Apabila merdeka,
Timor Leste memilih Portugis dan Tetum sebagai bahasa rasmi. Bahasa Indonesia
dan Inggeris dijadikan apa yang dipanggil sebagai bahasa kerja.
Tetapi di Papua New Guinea pula,
Bahasa Indonesia banyak digunakan terutama di kawasan berhampiran dengan
sempadan wilayah Indonesia, Papua Barat.
Maka ini bermakna bahasa Melayu
digunakan dari selatan Thailand hinggalah ke Papua New Guinea. Yang belum
termasuk dalam atlas bahasa Melayu ialah Bangsamoro di selatan Filipina.
Mereka ini berwajah seperti orang
Melayu dan beragama Islam. Pemimpinnya bersongkok seperti orang Malaysia dan
Indonesia. Terdapat 13 bahasa suku kaum Bangsamoro. Tagalog pula bukan bahasa
mereka. Maka, bahasa Melayu wajar diperkenalkan untuk perpaduan sesama mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan