Oleh : Dr Mohd Azizuddin Mohd
Sani
Kebijaksanaan kepemimpinan
ditagih
Dunia melangkah ke tahun baru
dengan pelbagai harapan walaupun suasana politik global masih tidak menentu.
Malapetaka dunia atau kiamat tidak berlaku seperti yang diramalkan pihak Barat
pada 21 Disember 2012 mengikut kalendar Mayan. Meninjau pergolakan politik
global 2012 memperlihatkan konflik serantau yang berlaku di Timur Tengah, iaitu
di Syria dan Palestin. Keganasan global masih berleluasa di Iraq, Afghanistan
dan Pakistan kesan daripada pencerobohan tentera penjajah.
Selain itu, krisis ekonomi
bermula pada 2007 terus memberi impak yang signifikan kepada politik nasional
apabila mencetuskan revolusi Arab yang menumbangkan kerajaan autokratik di
Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen. Krisis ekonomi menyebabkan kerajaan demokratik
juga tumbang dan perubahan rejim pemerintah berlaku terutama di United Kingdom,
Perancis dan Jepun. Negara Eropah juga mengalami musibah ekonomi apabila negara
seperti Greece, Portugal dan Ireland jatuh muflis.
Masyarakat antarabangsa kini
sedang memerhatikan China dan India dengan penuh minat. Ramai diplomat dan
sarjana politik antarabangsa mula meramalkan dua negara ini menjadi kuasa besar
global masa hadapan dan mengimbangi kuasa Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang
lesu kesan krisis ekonomi. China dan India mempunyai simpanan kekuatan senjata
nuklear selain mempunyai populasi lebih satu bilion, sangat berpotensi mendominasi
dunia masa depan yang dicurigai dunia Barat.
2012 juga menyaksikan rakyat AS
memberi semula mandat kepada Presiden Barack Obama untuk menerajui penggal
keduanya. Obama daripada parti Demokrat yang mengemukakan pelan pemulihan
ekonomi AS dilihat lebih praktikal berbanding lawan beliau, Mick Romney selain
membataskan dasar luar imperialisme AS.
Kemakmuran ekonomi
Persoalan yang perlu dijawab di
sini ialah bagaimanakah pula bentuk politik global pada 2013? Tidak ramai
penganalisis politik dunia berbanding penganalisis ekonomi yang melihat 2013
secara optimistik. Majalah Economist meramalkan 2013 akan menyaksikan
pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia dengan China terus mengetuai perkembangan
pesat ekonomi global. Namun, majoriti negara dunia terpaksa melaksanakan bajet
defisit bagi menghadapi inflasi dan kelembapan ekonomi. Asia, kecuali Jepun dan
Asia Barat, terus dilihat akan berkembang dalam kadar 6.4 peratus, dengan
Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.6 peratus.
Kemakmuran ekonomi juga masih bergantung
kepada kemampuan ekonomi AS untuk terus berkembang. Kini AS menghadapi masalah
dasar fiskal dikenali sebagai ‘fiscal cliff’. Untuk menyelamatkan ekonominya,
AS harus mengenakan cukai yang lebih tinggi khususnya kepada golongan kelas
menengah dan mengurangkan perbelanjaan negara khususnya perbelanjaan
ketenteraan serta merombak sistem pemberian bantuan seperti pencen untuk
meningkatkan pendapatan negara.
Pembaharuan yang akan dilakukan
AS, sekiranya diluluskan Kongres, akan membebankan penduduk AS, namun akan
memulihkan ekonomi AS yang sedang tenat. Langkah ini juga akan menyebabkan AS
mengurangkan import luar negara yang mungkin menjejaskan negara pengeksport
seperti Malaysia. AS juga akan mengurangkan aktiviti ketenteraannya di luar
negara, yang menyebabkan AS memanggil pulang tenteranya yang sedang berkubu di
Afghanistan. Penemuan simpanan minyak petroleum baru di pesisir luar negara AS
dilihat mampu menstabilkan permintaan dan penawaran minyak di AS.
Konflik politik Timur Tengah
Sementara itu, konflik politik
Timur Tengah diramalkan menjadi lebih buruk pada 2013. Perang saudara di Syria
sudah menjadi perang proksi antara Iran, China dan Russia yang membantu rejim
Bashar al-Assad. Manakala negara Arab seperti Arab Saudi dan Qatar bersama
Turki dan AS dilihat membantu puak pemberontak. Iran harus memastikan rejim
al-Assad terus memerintah kerana sekiranya tumbang, tekanan akan dihadapi Iran
yang kehilangan sekutu kuatnya di Syria.
Krisis Israel-Palestin akan
berterusan walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Palestin
sebagai negara bukan ahli PBB. Namun rejim Zionis terus membina penempatan
haram di wilayah Palestin. Pelan penyelesaian dua negara yang dirancang PBB
masih tidak menampakkan perkembangan yang positif.
Rantau Asia Tenggara pula akan
memperlihatkan keadaan yang positif ke arah kewujudan komuniti ASEAN dijangka
pada 2015. Pertumbuhan ekonomi akan berlaku dalam kadar 4 sehingga 6.3 peratus
dengan Indonesia diramal mengalami pertumbuhan paling pesat. Politik domestik
agak stabil dengan Myanmar kini bergerak menuju pendemokrasian.
Semua negara ASEAN, termasuk Laos
dan Vietnam yang berfahaman komunis mula mengamalkan secara agresif ekonomi
kapitalisme. Kebimbangan bagi ASEAN, juga Jepun dan Korea Selatan kini adalah
perluasan kuasa China yang mula menuntut hak kedaulatan ke atas kepulauan
Spratly dan Laut China Selatan. Reaksi ASEAN adalah untuk berdialog dengan
China, namun Filipina yang dibantu AS mula mencabar secara keras perluasan
kuasa China.
Apa yang pasti, dunia akan terus
berada dalam situasi anarki pada 2013. Hanya kebijaksanaan kepemimpinan
sesebuah negara akan menentukan keamanan dan kemakmuran sejagat berterusan
untuk terus dinikmati bersama.
Penulis ialah Dekan Pusat
Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan