Oleh : Marhaini Kamarudin
MEMBACA kisah malang seorang
pelajar perempuan jurusan perubatan di India menjadi mangsa rogol beramai-ramai
di dalam bas di kota New Delhi pada 16 Disember lalu, secara spontan membawa
kita kepada kes hampir sama yang berlaku di Klang, Selangor kira-kira 12 tahun
lalu.
Pada 7 Oktober 2000, rakyat
Malaysia digemparkan dengan kes Noor Suzaily Mokhtar yang dirogol dan dibunuh
dengan kejam ketika dalam perjalanan menaiki bas pada awal pagi untuk ke tempat
kerjanya.
Penjenayahnya telah pun menerima
hukuman di tali gantung pada 2008.
Di India, bapa kepada mangsa
rogol beramai-ramai yang akhirnya menemui ajal ketika dirawat di hospital di
Singapura, turut menuntut agar penjenayah yang melakukan perbuatan terkutuk
terhadap anaknya itu digantung sampai mati.
Kita faham kenapa tuntutan itu
dibuat. Seluruh India bahkan masyarakat antarabangsa menuntut agar perogol
dihukum gantung sampai mati.
Serangan tidak berperikemanusiaan
ke atas pelajar perubatan berusia 23 tahun itu yang dalam perjalanan pulang
menaiki bas telah mencetuskan protes dan debat besar-besaran tentang jenayah
seks di India.
New Delhi, tempat kejadian
berlaku memang dianggap kawasan tidak selamat untuk wanita malah dikatakan kes
rogol dilaporkan setiap 20 minit.
Lima lelaki dan seorang remaja
telah pun ditangkap rentetan kejadian itu. Kelima-lima lelaki sedang
dibicarakan atas tuduhan rogol dan bunuh. Kesalahan membunuh membawa hukuman
mati di India. Remaja berusia 18 tahun itu pula akan dihadapkan ke mahkamah
juvenil walaupun ada desakan supaya dia dibicarakan sebagai orang dewasa.
Sehingga kini, identiti mangsa
masih dirahsiakan bagi melindungi keluarganya daripada stigma dan pandangan
serong awam.
Seperti juga Noor Suzaily, mangsa
di New Delhi ini berasal dari desa, sanggup meninggalkan kampung halaman dan
merantau ke kota untuk mencari rezeki meningkatkan taraf hidup keluarga.
Noor Suzaily menjadi mangsa pada
hari pertama dia sepatutnya melaporkan diri sebagai jurutera di tempat
kerjanya.
Mangsa di New Delhi pula yang
masih menuntut dalam bidang fisioterapi diserang dalam perjalanan pulang ke
rumah bersama teman lelaki selepas menonton wayang.
Seorang bakal jurutera, seorang
lagi bakal doktor. Kedua-duanya bercita-cita tinggi untuk mengubah nasib
keluarga. Malangnya, cita-cita mereka ternoktah. Kedua-duanya terkorban kerana
nafsu serakah lelaki raksasa yang bertopengkan manusia.
Kedua-duanya berlaku di dalam bas
- kenderaan sah pengangkutan awam, yang tentunya tidak siapa menduga ada neraka
dunia di sebaliknya.
Kejam
Tak dapat dibayangkan azabnya
mangsa diperlakukan sebegitu kejam. Diperkosa, dipukul dan diseksa sebelum
dicampak keluar bas untuk mati di atas jalan raya. Memang tak sanggup hendak
membayangkannya.
Dalam kes di New Delhi, selepas
mencampak mangsa, pemandu bas cuba melanggar (apa lagi jika bukan untuk membunuhnya)
mujurlah sempat diselamatkan oleh temannya.
Rentetan kes ini, kerajaan India
telah menubuhkan dua panel diketuai bekas hakim untuk merangka cadangan bagi
meningkatkan tahap keselamatan wanita. Difahamkan, salah satu panel menerima
lebih 17,000 syor daripada orang awam.
Diharapkan sekian banyak syor itu
mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya, seterusnya disusuli pelan
tindakan untuk dilaksanakan.
Kes di New Delhi patut menyentak
kerajaan, pihak berkuasa dan masyarakat dunia termasuk di Malaysia agar
mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan wanita, gadis dan
kanak-kanak perempuan adalah terjamin dan terpelihara.
Janganlah memandang mudah dan
lewa hanya kerana kes ini berlaku di negara lain, melibatkan orang lain dan
bukan kita, maka kita melihatnya sebelah mata.
Jangan juga membuat andaian mudah
bahawa kes-kes seperti ini berlaku kerana salah wanita. Salah wanita
berpakaian, salah wanita berdandan, salah wanita bekerja, waima salah segala
serbi.
Hakikatnya, lelaki bernafsu
raksasa ini tidak memilih mangsa. Wanita tua yang tak kenal kosmetik,
kanak-kanak belum akil baligh apatah lagi gadis sunti, semuanya masuk di bawah
radar mereka.
Sekali lagi ditegaskan, kerajaan,
pihak berkuasa dan masyarakat perlu melakukan sesuatu, bagi menjamin
persekitaran kita adalah selamat untuk didiami. Jangan bagi ruang untuk
penjenayah melakukan kerja gila mereka.
Di Malaysia, langkah kerajaan
menyediakan koc komuter dan bas khas untuk wanita adalah satu daripada
perancangan untuk menyelamatkan wanita. Ia mungkin langkah kecil tetapi satu
permulaan yang baik.
Namun ia sepatutnya tidak terhad
di bandar raya sebaliknya diperluaskan ke seluruh negara. Pelaksanaannya pula
biarlah bersungguh-sungguh, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.
Dakwaan ada lelaki dengan muka
selamba memasuki koc merah jambu yang dikhaskan untuk wanita, perlu diberi
perhatian serius.
Orang yang tidak tahu menghormati
hak wanita seperti ini tidak patut diberi muka.
Sementara kerajaan dan pihak
berkuasa merangka peraturan, garis panduan dan undang-undang bagi membendung
dan membanteras jenayah seks, kita sebagai masyarakat pula tidak boleh berpeluk
tubuh.
Mari lakukan sesuatu bermula
dengan mendidik orang di sekeliling kita, sahabat handai khususnya anak-anak
lelaki kita agar belajar menghormati wanita. Baik nenek, ibu, isteri, kakak
atau adik perempuan, hormatilah mereka.
Logiknya, individu yang terbiasa
hidup dengan menghormati wanita, tidak akan tergamak melakukan perbuatan yang
boleh menjatuhkan kehormatan wanita.
Peristiwa malang 7 Oktober 2000
di Klang, Selangor dan 16 Disember 2012 di New Delhi, India, tidak patut ada
pengulangan lagi!
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan