Isnin, 28 Januari 2013

ISU GLOBAL : ASEAN kian dinamik hadapi cabaran global


Oleh : Dr Mohd Aizizuddin Mohd Sani
 
Negara anggota perlu bekerjasama tumpu agenda ekonomi, kemakmuran

Sejak penubuhannya pada 8 Ogos 1967, Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara atau ASEAN berkembang menjadikan rantau Asia Tenggara ini dinamik. Kita dapat melihat kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial sejak penubuhannya.

Hasrat penubuhan Komuniti ASEAN yang dijangka pada 2015 akan menjadikan 10 negara Asia Tenggara-Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Kemboja, Myanmar, Laos, Vietnam dan Brunei bergantung antara satu sama lain melalui kemuafakatan dan kerjasama yang merancakkan perkembangan Asia Tenggara yang mempunyai populasi sejumlah 800 juta penduduk.

Kekal relevan

ASEAN kini lebih bijak meneropong dirinya supaya kekal relevan dan meneruskan agenda kemakmuran Asia Tenggara yang ingin dikecapi. Menyedari hasrat menjadikan rantau Asia Tenggara dinamik, ASEAN perlu bijak membawa agenda pembaharuan. Lantas ini membawa kepada kewujudan Piagam ASEAN yang secara rasminya dilancarkan pada 15 Disember 2008.

Sebelum ini ASEAN dikritik kerana masih membawa agenda Konservatif-Komunitarianisme yang lebih memberikan penekanan kepada peranan negara atau ‘state-centric’ dalam membuat keputusan.

Selain itu, campur tangan negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah banyak mempengaruhi tindakan ASEAN dan mendesaknya berubah. Perubahan yang dilakukan ASEAN kini bukanlah disebabkan tekanan diberikan oleh kuasa besar itu.

ASEAN perlu berubah

Sebenarnya, tekanan diberikan rakyat di negara ASEAN menyebabkan ASEAN berfikir untuk berubah. Untuk terus kekal relevan, ASEAN harus lebih terbuka dan merangka perubahan pendekatannya.

Maka agenda Liberal-Komunitarianisme secara merakyatkan dasar, atau people centic, dibawa oleh pemimpin ASEAN, khususnya Dr Surin Pitsuwan yang kini menjadi Setiausaha Agung ASEAN.

Tuntutan dan tekanan agenda Liberal-Komunitarianisme ini bermula pada 1990-an lagi melalui tuntutan untuk menjadikan ASEAN lebih progresif dan responsif kepada politik dalaman dengan menolak agenda cara ASEAN dan mendesak agenda campur tangan konstruktif.

Alasan diberikan konflik dalaman di negara ASEAN akan menyebabkan negara jiran ASEAN lain menerima tempiasnya seperti pelarian politik dan ekonomi Vietnam kesan daripada Perang Vietnam yang lari ke Malaysia.

Walaupun agenda ini gagal pada 1990-an, namun menjadi sangat signifikan pada alaf baru ini.

Beri ruang gerakan masyarakat

Kita juga melihat ASEAN memberi ruang kepada gerakan masyarakat sivil untuk aktif berinteraksi dalam mempengaruhi agenda Komuniti ASEAN untuk membangkitkan isu seperti pemerintahan yang terbaik, hak asasi manusia, kebebasan berpolitik dan sebagainya.

Misalnya di dalam Persidangan ASEAN di Kemboja tahun lalu yang membawa persetujuan konsensus negara ASEAN terhadap agenda hak asasi manusia.

Walaupun agenda ASEAN masih dikekalkan, yang jelas kini, berlakunya perubahan dasar ASEAN yang lebih terbuka dalam membawa agenda baru.

Persetujuan Myanmar, misalnya menerima demokrasi dilihat sebagai kejayaan ASEAN menerapkan gabungan agenda cara ASEAN yang lebih bercorak campur tangan konstruktif.

Hadapi kekuatan China

Bagaimanapun, cabaran utama ASEAN pada masa hadapan ialah bagaimana untuk menghadapi kekuatan China yang mula mendominasi ekonomi dan politik global.
Tindakan China yang mula menuntut Laut China Selatan sebagai haknya menjadikan ASEAN berasa terancam meskipun China kekal sebagai rakan dagangan terbesar ASEAN.

Filipina mula menunjukkan hasrat untuk berkonfrontasi dengan China dengan dibantu AS. Penempatan tentera AS di Darwin, Australia juga dilihat sebagai strategi untuk menghalang perluasan kuasa China.

ASEAN harus bertindak bijak untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan Asia Tenggara terus berkekalan. ASEAN tidak harus berkonflik dengan China. Malah segala konflik harus diselesaikan secara diplomasi untuk kebaikan bersama.

Bagaimanapun, setiap negara ASEAN harus saling bekerjasama untuk muafakat menghadapi China dengan menjadikan China-ASEAN sebagai rakan kebergantungan.

Maksudnya China akan terus kekal bergantung dengan ASEAN untuk kekal makmur.

Yang pasti kini, ASEAN semakin matang menghadapi cabaran global dan serantau. Melalui kepemimpinan yang bijak, ASEAN mampu menghadapi segala cabaran pada masa hadapan secara bijaksana.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan