Davos : Pakar kesihatan
menggesa pemimpin dunia menangani masalah obesiti dengan tidak hanya
menyalahkan penduduk sebagai kurang semangat untuk menurunkan berat badan.
Mereka menyifatkan obesiti kini
satu pandemik global kerana menjangka lebih separuh penduduk dunia akan obes
dalam tempoh dua dekad.
Pakar kesihatan, pemakanan dan
kecergasan memberi gambaran itu ketika berucap di Forum Ekonomi Dunia di sini.
Mereka percaya, dunia perlu
menangani krisis obesiti dengan menggunakan pendekatan sama seperti dalam usaha
membanteras tabiat merokok.
Oleh kerana semakin banyak
makanan tidak baik untuk kesihatan dan kian ramai memilih untuk tidak bersenam,
dunia perlu mencari jawapan kepada masalah penyakit jantung dan diabetes yang
membunuh 2.8 juta orang setahun, kata mereka.
Pada masa ini, angka rasmi
menunjukkan 1.4 bilion orang dewasa sudah mempunyai berat badan berlebihan dan
angka itu akan meningkat.
Perkara itu dijelaskan oleh dekan
Kajian Kesihatan Awam Mailman di Universiti Columbia, Amerika Syarikat, Linda
Fried kepada panel mengenai obesiti di forum berkenaan.
“Dalam tempoh 20 tahun lagi, jika
keadaan dibiarkan, 50 hingga 60 peratus penduduk dewasa dunia akan mempunyai
berat badan berlebihan.
Meningkat dengan pantas
“Jika ini adalah penyakit
berjangkit, kita tentu menggelarnya pandemik. Ia juga bukan terhad kepada
wilayah tetapi global. Ia juga meningkat dengan pantas dan berterusan, suatu
takrif pandemik,” kata Fried.
Punca utama ialah makanan
berkalori tinggi dan gaya hidup kurang aktif, kata pakar.
Naib Presiden Sukan Nike, Lisa
MacCallum Carter, berkata obesiti ada kaitan dengan krisis ‘gaya hidup tidak
aktif’ disebabkan arus kemodenan.
Beliau merujuk kepada
penyelidikan menunjukkan warga Amerika kurang aktif 32 peratus berbanding 1967
dan boleh mencapai 50 peratus menjelang 2030. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan