Oleh : Akhbar Satar
Tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) belum diketahui. Tempoh Parlimen sekarang akan berakhir 28 April ini.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, mempunyai masa kurang daripada
empat bulan untuk memilih calon yang bersih dan berintegriti, itu pun jika
Parlimen tidak dibubarkan lebih awal.
Sehubungan itu, Transparency
International-Malaysia (TI-M) turut serta memastikan calon yang akan
bertanding mempunyai integriti yang tinggi. TI-M sudah mengambil inisiatif
melancarkan Ikrar Integriti Pilihan Raya. Ikrar ini terbuka kepada semua calon
yang bertanding dalam PRU-13 dan yang berminat untuk mengisytiharkan komitmen
mereka bagi membangunkan sebuah negara yang bebas rasuah.
Ikrar ini juga menekankan nilai
dan akhlak baik yang perlu ditunjukkan calon dalam menunaikan tanggungjawab
mereka sebagai wakil rakyat. Penulis berasakan inisiatif ini adalah satu
langkah yang baik bagi meningkatkan integriti politik. Ia menetapkan kepada
calon supaya menolak amalan rasuah dan politik wang semasa kempen pilihan raya dan
selepas berjaya mewakili sesuatu kawasan.
Kandungan ikrar itu adalah
seperti berikut:
- Memastikan bahawa dana awam, sumber awam dan kemudahan awam tidak digunakan untuk tujuan berkempen.
- Mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan yang berkaitan, termasuklah pematuhan terhadap had belanja pilihan raya dan larangan terhadap perbuatan rasuah.
- Memastikan apa juga tindakan dan keputusan mereka adalah demi kepentingan awam dan bukan untuk kepentingan peribadi. Mereka juga perlu mengamalkan prinsip ketelusan dan keterbukaan melalui pendedahan penuh dan kebebasan capaian maklumat kepada pihak awam.
Kontrak sosial calon
Ikrar ini adalah satu kontrak
sosial kepada calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Ia
juga perisytiharan terbuka dan sukarela serta akauntabiliti antara calon dan
pihak awam. Adalah menjadi tanggungjawab setiap calon untuk menunjukkan tahap
integriti dan etika yang sewajarnya dan menepati janji sebagai mana yang
diharapkan pengundi.
Selepas ikrar ditandatangani oleh
seseorang ahli politik, beliau bolehlah dinilai dan dipantau masyarakat,
terutama pengundi. Adalah menjadi tanggungjawab rakyat sebagai pengundi untuk
memastikan bahawa calon dipilih akan mematuhi piawaian yang terkandung dalam
ikrar itu.
Rakyat harus bijaksana dalam
menilai prestasi kerja, keikhlasan berkhidmat dan keseriusan calon yang
bertanding dalam mengangkat taraf kehidupan rakyat dan kemajuan negara tanpa
melupakan aspek akhlak.
Walaupun tidak dikuatkuasakan
oleh mana-mana badan atau undang-undang, penandatangan ikrar itu perlu membuka
akaun rangkaian media sosial, iaitu sama ada Facebook atau Twitter untuk
membenarkan komunikasi langsung dengan pengundi yang akan memantau dan memberi
maklum balas ke atas tindak tanduk mereka.
Tak ramai berminat
TI-M melancarkan laman timalaysia-electionpledge.org.my
dan menerbitkan butiran mengenai penandatanganan ikrar terbabit, termasuk
borang calon yang perlu diisi bakal calon. Dalam borang terbabit, calon perlu
menyatakan alasan peribadi mereka menandatangani ikrar itu.
Sebagai EXCO TI-M, penulis
mendapati tidak ramai yang berminat kecuali beberapa individu, termasuk
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Khairy Jamaluddin
dan Nurul Izzah Anwar. Turut menandatangani ikrar itu ialah sembilan ahli STAR
dan seorang lagi ahli PKR, DAP dan PSM.
Saifuddin menganggap integriti
adalah faktor utama menentukan keperibadian ahli politik dan menganggap ikrar
itu adalah komitmennya kepada rakyat. Beliau berasakan integriti politik
terdiri daripada dua perkara utama iaitu membanteras politik wang, rasuah dan
salah guna kuasa serta menegakkan nilai budaya politik yang sihat seperti
idealisme, politik ilmu, politik bijaksana dan politik bakti.
Anjakan budaya, pemikiran
Bagaimanapun, pengundi akan lebih
percaya jika mereka yang dipilih sebagai pemimpin, mematuhi undang-undang yang
mereka sendiri gubal dan luluskan serta menghormati institusi pengawasan yang
mereka tubuhkan.
Rakyat memerlukan kepemimpinan
politik yang berintegriti tinggi dan tidak terbabit dalam kegiatan tidak
beretika. Sehubungan itu, nilai murni seperti amanah, tidak terbabit rasuah,
jujur, telus, ikhlas dan mengamalkan tadbir urus yang baik perlu ada pada diri
pemimpin. Justeru, sudah tiba masanya untuk kita melakukan anjakan budaya dan
pemikiran ke arah merealisasikan budaya politik baru lebih bermaruah dan
berintegriti.
Ahli politik bukan saja perlu
bersih daripada sebarang imej tidak baik tetapi juga kelihatan bersih. Kebarangkalian
dilihat sebagai tidak bersih adalah besar jika calon enggan menandatangani
ikrar itu. Bagi penulis, masih belum terlambat untuk mereka melakukan yang
betul. Berani kerana benar takut kerana salah.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan