Oleh : Azrina Sobian
Bab tujuh Pelan Pembangunan
Pendidikan Negara Malaysia (2013-2025) bertujuan menggalakkan pembabitan ibu
bapa dalam pendidikan anak dengan hasrat akhirnya, akan berubah daripada
pendidikan berasaskan sekolah kepada suatu sistem yang mengupayakan pembabitan
ibu bapa.
Ibu bapa diharapkan dapat menjadi
rakan dalam pendidikan yang akan memastikan pelajar mendapat pendidikan bermutu
tinggi. Bagi meningkatkan peranan ibu bapa, usaha berbentuk kesedaran akan
dilaksanakan supaya ibu bapa memahami peranan mereka dalam pendidikan anak.
Usaha pembaharuan pendidikan
negara dengan pengupayaan pembabitan ibu bapa satu berita yang disambut baik.
Namun, usaha ini juga apabila difikir lebih lanjut menimbulkan persoalan yang
mencabar.
Pertama, adakah selama ini ibu
bapa di Malaysia tidak memahami peranan mereka dalam pendidikan anak sehingga
satu pelan diperlukan untuk menarik ibu bapa kembali ke sekolah? Adakah setakat
ini tahap pembabitan ibu bapa dalam pendidikan anak amat rendah?
Adakah ibu bapa sedar sekolah
memerlukan kerjasama mereka untuk membentuk anak atau adakah selama ini ibu
bapa beranggapan tanggungjawab mendidik anak adalah tugas guru semata-mata?
Jelas sekali, ramai ibu bapa yang
salah faham dan terlupa peranan mereka dalam pendidikan anak. Ada yang secara
sedar atau tidak telah meletakkan tanggungjawab pendidikan anak kepada pihak
sekolah semata-mata. Ini tidak sepatutnya berlaku.
Sekurang-kurangnya, dalam konteks
pandangan hidup Islam, individu utama yang seharusnya memainkan peranan dalam
pendidikan anak ialah ibu bapa, diikuti guru dan kemudian barulah ahli
masyarakat keseluruhannya.
Namun, aturan kepentingan ini
semakin goyah mungkin disebabkan kelalaian ibu bapa. Hadis Rasulullah SAW
sebenarnya sudah memberi panduan jelas kaedah mendidik anak yang boleh
dicontohi ibu bapa.
Selain pengabaian, kemungkinan
ada ibu bapa yang tidak pasti cara untuk terbabit dalam proses pendidikan anak
di sekolah. Selain itu, mungkin juga timbul rasa tidak yakin terhadap sumbangan
yang boleh dihulurkan dalam proses pendidikan itu.
Tidak tahu dan tidak yakin ini
akan memberi kesan dalam usaha membabitkan ibu bapa dalam proses pendidikan
anak. Bagi mengatasi masalah ini, ilmu pengetahuan sememangnya penting selain
sikap keterbukaan serta kreativiti ibu bapa.
Mungkin ada ibu berstatus suri
rumah tangga beranggapan tidak ada apa yang boleh disumbangkan dalam proses
pendidikan anak di sekolah. Hakikatnya, banyak yang boleh diajar ibu kepada
anak-anaknya, khususnya dalam membimbing mereka
mengenai kelangsungan hidup dengan membiasakan melakukan kerja rumah, cara
bergaul dengan golongan dewasa melalui komunikasi bersama dan perkara asas yang
sepatutnya diketahui anak.
Kemahiran ibu sebagai suri rumah
boleh dikongsi dengan anak dan dimanfaatkan mereka apabila dewasa kelak.
Pembelajaran tidak terhad kepada aktiviti di sekolah saja kerana anak-anak
turut menimba ilmu ketika mereka berada di rumah.
Memang ilmu asas yang dididik
guru di sekolah seperti membaca, menulis, ilmu sains, matematik, bahasa itu
penting, namun dalam menjalani hidup bermasyarakat, anak juga perlu didedahkan
dengan adab berjiran, menghormati orang lain serta memelihara adab sopan.
Pembabitan ibu bapa dalam
pendidikan anak secara langsung memang penting, bermakna mereka perlu tahu
semua keperluan serta proses pembelajaran. Ini hanya akan diperoleh apabila
mereka menjalinkan hubungan baik dengan guru dan pihak sekolah.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan