Oleh : Ruhaiza Rusmin
PENULIS pernah ditanya, adakah
penyelidik di negara kita sudah ketandusan idea hingga menjadikan sektor
penyelidikan tempatan tampak lesu.
Berita atau laporan mengenai
kejayaan penyelidikan tempatan juga kurang dipaparkan di akhbar dan media
tempatan.
Malah, bilangan hasil kajian
boleh dibilang dengan jari selain kesukaran mahu melihat kejayaan penyelidik
tempatan yang mampu ‘menggegar’ dunia tambah memburukkan persepsi.
Lebih pahit untuk ditelan, ada
beranggapan hasil penyelidikan tempatan tidak setanding berbanding luar negara
malah dilakukan atas dasar melepaskan batuk di tangga selain tiada nilai
komersial biarpun yang menghasilkan berstatus bijak pandai.
Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Ir
Dr Mohd Saleh Jaafar, berkata tidak benar penyelidik di negara ini ketandusan
idea hingga menyebabkan hasil ciptaan mereka kurang menyerlah atau tidak mampu
dikomersialkan.
Beliau berkata, kekurangan
penghasilan ciptaan atau kajian itu disebabkan kekangan tertentu menyebabkan
jumlah penghasilan tidak mencapai sasaran.
“Jika ada pihak cuba
mempertikaikan kewibawaan penyelidik ini dengan mengatakan mereka tidak
produktif, saya kurang bersetuju.
“Isunya bukan tiada idea, cuma
kekangan tertentu, memberi kesan terhadap kuantiti penghasilan itu.
“Ini menjadikan masyarakat
seperti tidak nampak apa yang dihasilkan barisan penyelidik tempatan,” katanya.
Potensi pengkomersialan hasil
penyelidikan adalah besar memandangkan negara ini hanya mengkomersialkan 3.5
peratus hasil penyelidikan berbanding purata 10 peratus di peringkat
antarabangsa.
Beliau berkata, menjadi tugas
hakiki penyelidik mencambah idea baru sebagai satu sumbangan kepada masyarakat
selain proses pengembangan ilmu sebagai pemangkin penyelidikan.
“Mereka tidak boleh lari daripada
sentiasa berfikir bagaimana mahu menghasilkan kajian demi kajian. Idea serta
kemahuan memang ada kerana mempunyai jiwa penyelidik.
“Setiap masa, mereka akan
bertanya soalan demi soalan untuk mencari jawapan selain mahu menjadikan idea
itu realiti.
“Tapi, mereka juga tidak dapat
menolak faktor halangan bagi merealisasikan idea itu. Berapa ramai yang faham
situasi ini biarpun potensi untuk pengkomersialan tetap wujud,” katanya.
Antara kekangan utama ialah
penawaran bantuan kewangan yang terbatas, masa dan kurang mendapat sokongan
industri secara menyeluruh.
“Penyelidikan adalah proses yang
perlu dilakukan secara berterusan dan memerlukan dana kewangan banyak.
“Bagaimanapun, bantuan ditawarkan
selalunya rendah daripada nilai diminta menjadikan penyelidikan bertambah terhad
dan hanya menjurus pada bidang tertentu yang boleh memberi pulangan setimpal.
“Biarpun ramai penyelidik ingin
berkongsi hasil idea atau kajian, mereka terpaksa mengorbankan keinginan itu
kerana faktor halangan dan kesannya, kuantiti kajian juga jatuh,” katanya.
Mengakui setiap aspek ada cabaran
tersendiri, beliau bagaimanapun kurang selesa apabila masyarakat terus
mempertikai, mempersoal dan melemparkan tanggapan rendah terhadap penyelidik
tempatan.
“Bidang penyelidikan besar
kepentingannya dalam meninggikan taraf kehidupan manusia. Tapi, masyarakat juga
perlu menerima hakikat bahawa penyelidikan adalah proses berasaskan gabungan
semua aspek seperti dana, masa, ilmu, paten, kajian dan uji kaji.
“Banyak frasa kajian atau ujian
yang kompleks perlu dilakukan sebelum hasil kajian itu diperkenalkan supaya ia
menepati piawaian, memberi impak paling maksimum selain tidak memudaratkan.
“Aspek ini perlu difahami dan
sangat meletihkan. Malangnya tidak semua mahu bersabar, terutama jika
permintaan itu datangnya daripada industri yang terlalu mementingkan
keuntungan.
“Hasil penyelidikan tidak
tercipta dengan sekelip mata,” katanya menegaskan manipulasi fakta menyebabkan
penyelidik terus berada dalam dilema.
Katanya, dilema penyelidik juga
sangat berbahaya. Bayangkan, jika mereka ‘mogok’ tidak mahu melakukan kajian
lagi, apa akan jadi.
“Kita mungkin boleh mendabik dada
untuk beralih pada kajian penyelidik luar tapi berapa lama? Adakah hasil kajian
itu boleh membantu melonjakkan nilai produk tempatan.
“Semuanya perlu diambil kira.
Kita jangan terlalu mengkritik atau pandang rendah pada hasil penyelidikan
tempatan kerana sumbangannya tetap ada,” katanya.
Begitupun, golongan penyelidik di
negara ini bernasib baik kerana masih mendapat sokongan padu industri secara
keseluruhannya.
Malah, dengan skop pasaran
tempatan yang agak terhad, industri masih menaruh kepercayaan terhadap
kemampuan penyelidik tempatan terutama dalam mempertingkatkan hasil
penyelidikan dalam bidang pertanian, industri dan teknologi.
“Sokongan industri yang sangat
memahami menjadi penawar kepada penyelidik biarpun nilai pasaran tidak besar.
“Tapi, kita juga tidak boleh
terus bergantung pada pasaran ini dan perlu meneroka pengkomersialan di
peringkat antarabangsa bagi meletak nilai penyelidik dan hasil kajian bertaraf
global.
“Dengan ini ia menangkis
tanggapan buruk masyarakat bahawa penyelidik dan hasil penyelidikan tempatan
tidak mampu bersaing,” katanya.
Berdasarkan laporan kaji selidik
beberapa agensi, bilangan penyelidik, saintis dan jurutera kita (termasuk
daripada kalangan industri) sekitar 30 orang bagi setiap 10,000 tenaga kerja
berbanding Jepun (131.5 orang), Kesatuan Eropah (99.6 orang), Korea Selatan
(89.5 orang) dan Singapura (111.3 orang).
Indeks Keupayaan Inovasi dalam
laporan dikeluarkan United Nations Conference on Trade and Development
(Unctad) pada 2008 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-60 dan tergolong
dalam kategori sederhana berbanding negara Asia lain seperti Jepun (ke-11),
Korea Selatan (20), Singapura (30) dan Thailand (54).
Laporan daya saing global 2009
oleh Harvard dan Forum Ekonomi Dunia meletakkan Malaysia di tangga ke-23 di
dunia.
Penyelidikan, katanya, bukan
hanya terhad kepada kajian institusi pengajian tinggi saja malah agensi lain
turut melakukan penyelidikan mengikut kepakaran bidang masing-masing.
“Dunia penyelidikan memerlukan
sokongan pelbagai arah serta tidak boleh dilakukan secara individu,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar
masyarakat menukar mentaliti dan tidak terlalu mengagungkan kejayaan penyelidik
luar kerana boleh membantutkan usaha kerajaan melahirkan penyelidik berkelas
dunia.
“Sesiapapun tidak menafikan,
penyelidik luar lebih berkepakaran dan hasil kajian menjadi bahan rujukan
seluruh dunia.
“Tapi tidak bermakna penyelidik kita
tidak berkualiti malah banyak hasil kepakaran dan kajian kita mendapat
pengiktirafan.
“Sesungguhnya, kita perlu
berterima kasih pada kegigihan mereka. Tanpa sumbangan dunia penyelidikan
tempatan, kita tidak mungkin boleh mengecapi kemakmuran seperti hari ini,”
katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan