Selasa, 22 Januari 2013

ISU SOSIAL : Pindaan Akta SPRM 2009 perkukuh kuasa suruhanjaya


Oleh : Akhbar Satar
 
Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) mencadangkan agar Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 ditambah baik dan satu seksyen baru diperkenalkan bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap kesalahan rasuah.

Sudah tentu setiap undang-undang yang diperkenalkan ada sedikit sebanyak kelemahan dan  perlu dipinda untuk memperkemaskannya mengikut keadaan semasa. Lazimnya, perasuah   mempunyai fikiran kreatif untuk mendapatkan projek dan akan mencari jalan untuk mengatasi sebarang kelemahan undang-undang atau peraturan sedia ada.

Mengikut kajian Association of Certified Fraud Examiners, dalam masa kurang daripada 15 bulan sesuatu undang undang atau peraturan berjaya diatasi atau dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ada tiga cadangan yang sudah dikemukakan Pengerusi JKMR, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, iaitu menambah baik Seksyen 23 dan Seksyen 26, manakala satu seksyen ditambah bagi memperkemaskan  Akta SPRM 2009 yang sedia ada.

Bersabit dengan Seksyen 23 Akta SPRM yang memperuntukkan bahawa seorang penjawat awam tidak boleh menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya untuk mendapat suapan rasuah, seseorang pengerusi atau ahli dalam sesuatu mesyuarat yang mempunyai kepentingan tidak boleh terbabit dalam membuat keputusan. Pada praktiknya, mereka ini akan meninggalkan bilik mesyuarat supaya ahli lain yang tiada kaitan membuat keputusan tender atau kontrak tetapi kaedah ini tidak memberi kesan yang baik. Kebanyakan keputusan masih memihak kepada orang yang sama. Hal ini kemungkinan besar akan berlaku  kerana ahli mesyuarat bimbang akan masa depan jawatan mereka yang mereka sandang atau mereka membuat pakatan terlebih dulu.

Wujud jawatankuasa khas

Untuk mengatasi kelemahan peruntukan sedia ada disyorkan bahawa apabila situasi demikian berlaku, maka mesyuarat terbabit perlu ditangguhkan dan dirujuk kepada satu jawatankuasa khas yang bebas dan layak membuat keputusan.

Buat masa ini, penulis berpendapat mekanisme ini adalah cara terbaik bagi menangani isu terbabit. Jika sesiapa melakukan kesalahan ini dan disabitkan boleh dipenjara selama tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. Apa yang dirisaukan ialah perasuah akan menggunakan sekutu (proksi) secara berleluasa untuk mendapat kontrak. Penulis yakin kepakaran SPRM mampu mengatasi masalah ini atau jika modus operandi mereka berubah.

JKMR juga mengesyorkan supaya kerajaan meminda peruntukan dalam Seksyen 36 Akta SPRM bagi membolehkan SPRM jika mempunyai maklumat boleh terus menyiasat pemilikan harta seseorang dengan hanya notis pengisytiharan kepada yang disyaki terbabit dengan perlakuan rasuah. Dalam undang-undang sedia ada, SPRM tidak mempunyai kuasa untuk terus meminta seseorang yang disyaki membuat pengisytiharan tanpa terlebih dulu menjalankan siasatan ke atas kesalahan rasuah. SPRM perlu membuka fail dan menjalankan siasatan di bawah kesalahan kes rasuah barulah SPRM dapat mengeluarkan notis pengisytiharan kepada yang disyaki. Peraturan ini memerlukan yang disyaki menjawab notis itu, sekiranya gagal dia akan turut menerima hukuman.

Bagi seseorang yang dikehendaki mengisytiharkan harta, mereka terikat untuk mendedahkan segala maklumat yang benar dengan memberi kenyataan bersumpah, termasuk menjelaskan bagaimana mereka dapat memiliki harta itu kepada SPRM. Penulis percaya SPRM akan menggunakan penyiasat terbaik, digabungkan dengan pakar undang-undang dan akauntan forensik yang memahami selok-belok sistem dan penipuan kewangan seperti diamalkan Serious Fraud Office (SFO) di United Kingdom.

Diperluaskan kepada sektor swasta

Sehubungan dengan itu, jika seseorang disyaki sama ada gagal mematuhi arahan tidak menghantar notis kepada SPRM atau jika gagal memberi penjelasan yang memuaskan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai lebihan itu, jika lebihan itu dapat dinilai atau RM10,000 mengikut mana  yang lebih tinggi.

Selain itu, satu daripada kelemahan dalam undang-undang sedia ada ialah ketiadaan undang-undang khusus berhubung liabiliti korporat yang boleh menyebabkan syarikat terlepas daripada pendakwaan dan hukuman walaupun rasuah dilakukan kakitangan adalah demi manfaat syarikat.

Justeru, liabiliti korporat ini perlu diperluaskan kepada sektor swasta juga dan tidak terhad kepada penjawat awam. Tanpa liabiliti korporat, hanya individu tertentu dalam syarikat saja menanggung implikasi pendakwaan dan hukuman, sedangkan syarikat tidak terjejas.

Dengan adanya implikasi perundangan dicadangkan, syarikat perniagaan akan lebih peka terhadap keperluan untuk memastikan entiti perniagaan mereka tidak terdedah kepada risiko pendakwaan dan hukuman.

Bagi penulis ia mampu memberi impak besar dalam usaha membasmi rasuah dan penyelewengan jika SPRM mencadangkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya syarikat terbabit dalam rasuah dibatal pendaftarannya.

Penulis berkhidmat di Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan