Oleh : SM MOHAMED IDRIS
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang
(CAP) merasa amat kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih
belum mencapai tahap yang memuaskan dalam soal menjaga kebersihan terutama
sekali di kawasan perumahan, taman awam dan tempat-tempat ibadat.
Pendedahan oleh akhbar tempatan
berhubung tahap kebersihan tandas masjid dan surau yang seringkali dibangkitkan
oleh khalayak umum sedikit sebanyak telah mendedahkan sikap kita yang masih
belum mengutamakan kebersihan.
Kenyataan CAP ini tidak bermaksud
untuk ditujukan khusus kepada umat Islam sahaja tetapi kepada semua rakyat
Malaysia tidak kira apa bangsa dan agamanya. Ini kerana bukan sahaja tandas
masjid dan surau yang menjadi rungutan bahkan tempat ibadat bukan Islam seperti
kuil dan tokong juga turut mendapat rungutan berhubung tahap kebersihannya.
Selain tempat ibadat, terdapat
juga sesetengah tempat makan, tandas awam di negara ini yang tahap kebersihan
tandasnya masih tidak memuaskan. Pengalaman yang kami lalui ketika menggunakan tandas di tempat awam
mengukuhkan lagi dakwaan ini.
Tahap kebersihan tandas dan bilik
air di Malaysia telah lama menjadi rungutan dalam kalangan pengguna sehingga
kerajaan terpaksa melaksanakan 'Kempen Kebersihan Tandas' di seluruh negara.
Ini menguatkan lagi kenyataan bahawa sikap rakyat Malaysia yang masih tidak
mengambil berat akan soal kebersihan.
Perbuatan membiarkan tandas dalam
keadaan kotor serta tidak dipam selepas digunakan memburukkan lagi keadaan. Ini
ditambah pula dengan segelintir mereka yang merokok serta membuang habuk dan
puntung rokok merata-rata di dalam tandas juga menyebabkan keadaannya begitu
kotor.
Lebih menyakitkan mata dan hati
lagi apabila terdapat pelbagai contengan, tulisan dan lukisan yang tidak
sewajarnya ditulis dan dilukis pada dinding tandas awam oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab walaupun rata-rata yang menggunakan tandas itu tahu kebersihan
mestilah diutamakan.
Pihak berkuasa dan pihak
bertanggungjawab terhadap kebersihan tandas juga perlu memikirkan semula
terhadap penggunaan lantai tandas yang sering menggunakan jubin dari jenis yang
berkilat kerana ia seringkali dalam keadaan basah. Ini menyebabkan ia menjadi
licin dan membahayakan keselamatan penggunanya kerana ia boleh menyebabkan
tergelincir dan jatuh.
Pihak pengurusan tandas dan bilik
air di tempat ibadat dan tempat awam perlu mengambil tindakan segera bagi
menukar jubin dari jenis yang licin kepada jubin yang tidak menyebabkan keadaan
licin walaupun terdapat air di atasnya.
Pihak berkenaan juga perlu
sentiasa memastikan lantai bilik air dan tandas awam dalam keadaan yang
sentiasa kering bagi memastikan ia tidak licin dan membahayakan keselamatan
penggunanya.
Pembaziran air juga perlu
dielakkan . Penggunaan air secara berhati-hati sedikit sebanyak
dapat mengelakkan ia daripada melimpah ke atas lantai yang menjadi punca utama
lantai menjadi licin.
Semua orang perlu mempunyai sikap
bertanggungjawab bagi memastikan segala kemudahan tandas dalam keadaan yang
baik dan memastikan perkara seperti tandas tersumbat, pam tidak berfungsi,
lantai tandas pecah, licin dan berlumut serta siling bersawang dan sinki
tersumbat tidak lagi berlaku di negara kita.
Memastikan kebersihan pada semua
tempat merupakan tanggungjawab kita semua. Kita tidak boleh menyerahkan tugas
dan tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam kepada satu pihak sahaja
tetapi kita semua sepatutnya mesti mengambil sikap bertanggungjawab untuk
menjaganya seperti mana kita menjaga tandas di rumah kita sendiri.
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan