Oleh : NORDEN MOHAMED
Syarikat akhbar menghebahkan
berita untuk tatapan ramai. Ia memperoleh sumber lisannya daripada ucapan
rasmi, ceramah, sidang akhbar dan juga temubual. Ia mendapat sumber bertulis
pula daripada kenyataan akhbar, Facebook, Twitter, blog dan laman web rasmi individu
yang menjadi bahan berita.
Oleh sebab adanya pelbagai medium
maklumat dan terbukanya individu atau sesuatu organisasi pada hari ini,
kenyataan-kenyataan daripada ‘sumber yang layak dipercayai’ sudah tidak lagi
layak dipercayai.
Taktik dan teknik memperoleh
bahan berita daripada sumber ketiga mahupun keempat, secara intai-intai,
agak-agak, spekulatif dengan rumusan yang condong ke kiri ataupun ke kanan
sudah ketinggalan zaman.
Malah, semakin sehari, ia menjadi
sumber yang tidak lagi digunakan oleh media, kecuali untuk tujuan sensasi
daripada media yang kehabisan modal dan idea mencanai berita.
Pada hari ini, berita mesti
dihidangkan pada bila-bila masa kepada para pembaca sebagai santapan minda
mereka. Tidak seperti dahulu, bila mana berita hanya dipaparkan di akhbar pada
pagi atau malam hari. Ataupun orang ramai hanya memperolehnya tatkala siaran
berita pada masa-masa yang ditetapkan melalui televisyen atau radio.
Kini, berita mesti panas dan
kerap terhidang sekurang-kurangnya pada setiap jam. Kerana itu, para wartawan
perlu sentiasa bersiap siaga mendapatkan bahan berita, mengarang dan
menyalurkannya ke pejabat untuk dipersembahkan dalam bentuk cetak,
elektronik mahupun melalui internet.
Kepantasan menghidang berita
daripada pelbagai sumber rujukan membolehkan seseorang wartawan itu mudah dalam
melaksanakan tugasnya. Justeru, adalah hampir mustahil andainya seseorang wartawan pada hari ini
berkata kepada pengarangnya yang dia tiada apa-apa berita untuk disampaikan.
Dalam dunia persuratkhabaran, no
news is bad news. Bagaimana pun, bad news is not necessarily good news.
Oleh sebab itu, penyampaian berita itu
perlu seimbang kerana para pembaca mahukan sesuatu yang dia boleh
pertimbangkan.
Mereka tidak lagi boleh menelan
berita yang muluk-muluk belaka mahupun berita yang hanya menyesakkan fikiran.
Berita yang semata-mata pro atau pun yang kontra akan diketepikan. Hampir semua
perkara ada baik dan buruknya. There are always two sides of a coin. Pembaca
pada hari ini berhak mendapat maklumat yang seimbang. Mereka tidak akan menelan
bulat-bulat apa yang diterima.
Kerana itulah, mereka yang
menjadi bahan berita perlu menyedari pentingnya maklumat, pendapat dan buah
fikiran mereka dikongsi dengan khalayak ramai. Mereka tidak boleh lagi jual
mahal, berdiam diri dengan harapan sesuatu yang diperkatakan mengenainya itu
akan sejuk dan tenggelam daripada radar ingatan orang ramai.
Dalam pada itu, mereka juga tidak
boleh lagi cuba menguasai wartawan apatah lagi media cetak hingga mahu
beritanya sahaja yang disiarkan pada setiap hari. Mereka yang memanggil sidang
media dengan memberi persepsi seolah-olah media yang dijemput itu sahajalah
yang terpilih secara khas; walhal apabila tiba masa sidang, berpuluh-puluh
wakil media lain sudah berbaris menunggu.
Ini akan mengecewakan semua yang
hadir kerana digula-gulakan seolah-olah mereka sahajalah yang istimewa. Di lain
waktu, tidak ramai wakil media akan datang lagi ke majlisnya.
Jika memanggil media semata-mata
untuk menyampaikan apa yang sudah diperkatakan sebelum ini, besar kemungkinan
apa yang disampaikan itu tidak akan terpilih menjadi bahan berita. Jika diri
sendiri bukannya newsmaker seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa
mempunyai idea, saranan dan hujah baharu, tidak usahlah cuba menarik perhatian
dengan kata-kata kosong yang berulang-ulang.
Para pembaca pada hari ini
dihujani dengan pelbagai bahan komunikasi. Minda mereka sudah tepu. Ini
menjadikan mereka punyai memori yang singkat kerana begitu cepat bosan dengan
sesuatu. Justeru itu, kekerapan kemunculan seseorang di mata khalayak
sebenarnya akan membuat dirinya over-exposed.
Ini bermakna, kekerapan
kemunculan seseorang di khalayak ramai itu tidak semestinya akan mempopularkan
dirinya. Malah boleh berlaku kesan sebaliknya iaitu imejnya sudah tidak
mempunyai impak dan ingin dinyah segera daripada kotak fikiran pembaca.
Akhbar sudah tiada kuasa mahupun
pengaruh untuk menaik mahupun menjatuhkan imej seseorang kerana khalayak sudah
lebih berhati-hati dengan apa yang mereka tatap. Naik turun atau jatuh bangun
seseorang itu sebenarnya ditentukan oleh individu itu sendiri.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan