KUALA LUMPUR : "Saya akan
pertahankan warisan bahasa Melayu dan tulisan jawi yang amat saya cintai ini
hingga ke hembusan nafas saya yang terakhir," demikian tekad Prof Dr Kang
Kyoung Seok, seorang profesor berbangsa Korea.
Itulah antara kata-kata terakhir
beliau setelah menamatkan tugas sebagai Profesor Tamu di Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada 3 Jan lepas dan akan pulang ke
negaranya bagi meneruskan tugas sebagai Ketua Pengajian
Malaysia di Busan University of Foreign Studies, Korea Selatan.
"Saya mahu pulang ke Korea
Selatan kerana di sana sekarang bahasa dan budaya Malaysia semakin kurang
dikenali berbanding tahun 80an dan 90an dulu, terutama dalam kalangan pelajar
kami yang sedang belajar dan mengkaji budaya dan bahasa Melayu. "Pelajar
mahu belajar dan kaji ini semua, tetapi kebanyakan mereka menyangka bahasa dan
budaya Indonesia itu sama dengan Melayu, jadi mereka hanya belajar bahasa
Indonesia. Ini perlu diperbetul, pelajar mesti belajar bahasa Melayu dan
tulisan jawi jika mahu mendalami Malaysia," katanya.
Kang berkata demikian dalam temu
bual eksklusif dengan Bernama setelah menerima Anugerah Pakar Penyelidik
Tulisan Jawi daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disampaikan Ketua
Pengarahnya Dr Awang Sariyan di sini, pada Khamis.
Pada Januari tahun lepas, Kang
yang bertugas di UPSI sejak 2010, melahirkan kebimbangan bahawa tulisan jawi
semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.
Mengulas perkara itu, beliau
berkata tindakan masyarakat Melayu yang meletakkan tulisan jawi eksklusif
kepada perkara berunsur Islam perlu dihindari bagi memastikan tulisan itu
sesuatu yang lebih universal.
"Tulisan ini perlu digunakan
untuk berbagai perkara, antaranya sebagai satu daripada teks utama universiti
yang membolehkan generasi baharu Malaysia mempelajarinya lebih mendalam,"
katanya.
Ditanya apa yang perlu dilakukan
bagi mempopularkan kembali tulisan jawi dalam kalangan generasi muda Malaysia, Kang berkata
inisiatif luar biasa seperti dilakukan penyanyi Korea Selatan, PSY yang
mempopularkan budaya Korea melalui lagu 'Gangnam Style' boleh dilakukan.
"Gangnam Style ini memang sesuatu yang luar biasa kerana mengambil kuda,
iaitu sesuatu yang dilihat biasa di Korea dan dijadikan sesuatu di luar
kebiasaan. Di Malaysia juga ada kuda, saya percaya kita boleh lakukan sesuatu
yang serupa," katanya.
Bercerita tentang kajian
terbaharunya, Kang berkata beliau sedang mengusahakan teori 'Jawiology',
sebuah teori yang mampu memperkenalkan tulisan jawi itu kepada masyarakat
dunia.
"Melalui teori ini saya mahu
menerangkan tentang perkembangan tulisan jawi daripada sebuah tulisan dalam
Al-Quran disesuaikan menjadi tulisan yang melambangkan Melayu itu sendiri.
Teori saya juga memastikan tulisan jawi mudah difahami dan dipelajari masyarakat
bukan Melayu seluruh dunia," katanya.
Bercakap mengenai kajian tulisan
jawi yang amat dekat dihatinya, Kang memberikan contoh kajian batu bersurat di
Terengganu yang dilakukannya sejak pertengahan tahun 80an.
"Saya masih mengkaji tulisan
pada batu bersurat itu. Sukar memastikan apa yang dimaksudkan kerana tulisan
itu ada sedikit kerosakan seperti hilang titik yang membezakan huruf seperti
'ba' dan 'nun'. "Setakat ini tiada tafsiran yang benar-benar tepat, hanya
agak-agak sahaja. Saya sendiri mahu lakukan kajian lebih dalam lagi,"
katanya. Mengakhiri temu bual, Kang melahirkan azamnya untuk menjadi jambatan
penghubung di antara masyarakat Korea dengan Malaysia terutama bagi generasi
muda melalui perkongsian bahasa dan budaya. "Saya mahu kita menjadi rakan
karib. Orang muda Malaysia amat minat dengan budaya K-Pop Korea jadi saya juga
mahu orang muda Korea minat bahasa dan budaya Malaysia," katanya.
Sementara itu, Awang berkata DBP
akan meneruskan kerjasama dengan Kang bagi mengkaji lebih 200 manuskrip Melayu
lama yang kini berada dalam simpanan dewan itu.
"Walaupun Kang kini jauh,
kita akan tetap bekerjasama dengan beliau. Melalui beliau juga kita akan
bertindak sebagai penghubung melakukan pelbagai program bersama dengan Busan
University of Foreign Studies bagi memperkenal bahasa dan budaya Malaysia di
Korea Selatan," katanya. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan