PUTRAJAYA - Kerajaan
dijangka mengumumkan penetapan gaji dua hingga lima peratus bagi penjawat awam
yang sudah mencapai tahap gaji maksimum atau ‘gaji mati’ pada Februari ini,
kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini.
Beliau berkata Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian teliti bagi menangani masalah
penjawat awam yang berprestasi baik dan cemerlang dengan markah 80 peratus ke
atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) mereka tetapi sudah mencapai
gaji maksimum dan tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan.
"Saya tidak mahu melihat
penjawat awam yang menjalankan tugas dengan cemerlang tetapi mendapat gaji
statik. Ini yang saya mahu atasi.
“JPA sedang memuktamadkan senarai
yang ada. Mereka sedang meneliti rekod perkhidmatan. Selalunya akan ada
kenaikan biasa gaji, tetapi dalam kes ini kita mahu selesaikan kes mereka yang
sudah mencapai tahap statik.
“Kami perlu berbincang dengan
Perbendaharaan mengenai implikasi kewangan.
Kerajaan amat positif
mengenainya. Mereka faham gaji statik bukannya jawapan kepada penjawat awam
yang berprestasi cemerlang," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum itu, Ali menyampaikan
Amanat 2013 kepada kira-kira 4,000 penjawat awam pelbagai kementerian dan
jabatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Majlis yang dilaksanakan
menerusi ‘live-streaming’ itu turut boleh disaksikan penjawat awam di seluruh
negara.
Dalam amanatnya, Ali menyarankan
penjawat awam memainkan peranan dalam sektor luar negeri khususnya untuk
memahat nama Malaysia di persada antarabangsa.
Beliau berkata sektor domestik
dan luar negeri adalah sama penting untuk memacu agenda transformasi negara ke
arah merealisasikan Wawasan 2020.
“Semua penjawat awam, baik di
dalam mahupun di luar negara, perlu terus bekerjasama dan bergerak sebagai satu
pasukan untuk memastikan kecekapan penyampaian, keberkesanan pengurusan dan
amalan diplomasi yang proaktif demi mempertahan dan mempromosi kepentingan
Malaysia.
“Kita juga perlu sentiasa
mengintai atau mencari peluang-peluang baharu dalam mempromosi imej negara,
selain juga menerokai pasaran atau pelaburan baharu untuk negara,” katanya.
Selain itu, Ali juga menyarankan
penjawat awam agar lebih peka dan responsif dalam melaksanakan dasar-dasar yang
diputuskan kerajaan.
Beliau berkata Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 telah
mengumumkan 111 perkara melalui penjanaan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan
kesejahteraan rakyat.
“Dalam hal ini, sokongan dan
kerjasama di semua peringkat, tidak mengira sama ada ketua jabatan, pegawai
pengurusan mahupun kumpulan pelaksana, diharapkan dalam memastikan kelangsungan
serta kelancaran pelaksanaan keputusan-keputusan tersebut agar matlamatnya
tercapai dengan jayanya.
“Sebagai penjawat awam yang
prihatin dengan wawasan kerajaan, hendaklah bertindak lebih proaktif untuk
memudahkan dan bukan menyusahkan,” katanya.
Pada majlis yang sama, Ali
melancarkan buku bertajuk 'Pengamalan Budaya Ketepatan Dalam Gagasan
1Malaysia:Transformasi Ke Arah Pembentukan Negara Maju' dan buku kecil "Gagasan
1Malaysia " dalam lima bahasa. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan