GEORGE TOWN, 24 Jan. -
Polis membongkar sidiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di
negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan
bayi serta seorang kanak-kanak.
Mereka yang ditahan dalam operasi
hasil risikan dan maklumat awam sejak awal Disember hingga minggu ini, berusia
antara 23 dan 52 tahun, dan antaranya ialah penjawat awam di Jabatan
Pendaftaran Negara serta doktor pusat perubatan swasta.
Kami percaya lapan bayi seawal
usia dua bulan dan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang diselamatkan
itu adalah untuk dijual," kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim
Hanafi kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak
mendedahkan secara terperinci mengenai operasi dan lokasi serbuan kerana kes
itu masih disiasat.
Siasatan awal polis mendapati
bayi dan kanak-kanak itu dijual dengan harga antara RM18,000 dan RM30,000
berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan pakej dokumen
pendaftaran serta perubatan.
Polis
merampas lima keping MyKid, 14 sijil kelahiran, 18 rekod perubatan dan
kesemuanya adalah dokumen asli serta wang tunai sebanyak RM15,000,"
katanya.
Abdul Rahim berkata, tujuh
daripada bayi yang diselamatkan itu dipercayai rakyat Thailand, manakala yang
lain campuran Bangladesh dan Indonesia serta seorang rakyat tempatan.
Kesemua bayi dan kanak-kanak yang
diselamatkan itu kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan di bawah seliaan
polis.
Beliau berkata, sindiket yang
aktif sejak tahun 2009 itu juga didapati menawarkan wang tunai antara RM2,500
dan RM4,500 kepada wanita asing yang melahirkan anak luar nikah serta mereka
yang kesempitan wang dan mahu menjual anak mereka. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan