KITA tidak boleh mengabaikan peningkatan
bilangan kematian akibat lemas di negara ini setiap tahun. Menurut Jabatan Bomba
dan Penyelamat, bilangan kes mati lemas adalah 386 kes pada tahun 2011 manakala
bagi tempoh 10 bulan pertama tahun lepas, bilangan kes yang dicatatkan adalah
322.
Wujud keperluan bagi Malaysia
untuk memberi perhatian berat terhadap peningkatan bilangan kes mati lemas di
negara ini sama ada di pantai atau di tempat-tempat lain dengan mengambil
langkah-langkah proaktif untuk mencegah lebih banyak kematian serta
meningkatkan keselamatan bukan sahaja di pantai malah di merata tempat lain kejadian
mati lemas mungkin berlaku.
Sudah tiba masanya bagi Malaysia
untuk menubuhkan sebuah pusat data kebangsaan mengenai kematian akibat lemas di
air yang merangkumi maklumat seperti jantina, kumpulan umur, lokasi dan punca
lemas melalui pihak berkuasa yang berkaitan supaya kita boleh menguruskan
masalah ini dengan lebih baik.
Terdapat banyak faktor yang
menyebabkan lemas di air seperti akses yang tidak terhad untuk ke pantai,
kekurangan pengetahuan dan kefahaman mengenai keadaan air, kecuaian, pengabaian
atau salah anggapan terhadap tahap bahaya di air, ketiadaan penyeliaan visual
yang berterusan, terutamanya kekurangan kesedaran dan pendidikan keselamatan di
air serta tahap pengetahuan individu terhadap kepakaran penyelamat dan
menyelamat diri.
Strategi pengurusan keselamatan
dan risiko adalah penting untuk memastikan pengurangan kematian disebabkan
lemas di air. Pelaksanaan program pengurusan risiko yang berkesan boleh
mengurangkan insiden kematian tersebut.
Ia adalah tanggungjawab
pertubuhan-pertubuhan, agensi dan pihak berkuasa berkaitan ke atas kawasan
pantai untuk mengenal pasti dan sebaik-baiknya meminimumkan risiko kecederaan
atau kematian kerana lemas. Tanggungjawab ini tidak cukup dengan hanya memasang
papan tanda atau menyediakan peralatan keselamatan.
Kita harus menyediakan penyeliaan
yang baik terhadap kawasan pantai dan kawasan tarikan air yang lain serta
menyokong peruntukan undang-undang yang mewajibkan penggunaan alat pengapungan
peribadi supaya dipakai semua orang semasa aktiviti air dan mendidik ibu bapa
tentang keperluan untuk pengawasan rapi semasa anak-anak di pantai atau di
kolam renang hotel.
Selain itu, pendidikan mengenai
amalan-amalan keselamatan semasa menjalankan aktiviti air dan keupayaan membuat
keputusan selamat mengenai aktiviti berkaitan air serta mampu menguruskan
bahaya yang berkaitan dengan aktiviti air adalah antara strategi pencegahan
yang kita perlu amalkan.
Saya telah bertemu dengan
Presiden Persatuan Penyelamat Malaysia pada akhir tahun lalu untuk
membincangkan perkara ini dan kami telah bersetuju bahawa masanya telah tiba
bagi penubuhan Majlis Keselamatan Air Kebangsaan untuk membantu kerajaan demi
mengurangkan kejadian lemas dan menggalakkan budaya keselamatan di kawasan air
bagi rakyat Malaysia.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan