Membelah buluh, satu diangkat
satu dipijak
Seseorang yang membelah buluh,
biasanya sebelah dipijak manakala sebelah lagi diangkat kerana itulah cara
membelah buluh dengan mudah. Orang tua-tua dulu menjadikannya contoh untuk dijadikan
peribahasa.
Peribahasa ini bermaksud seorang
pemimpin atau ketua yang tidak adil dalam melayani rakyat atau
pengikut-pengikutnya. Sebelah pihak dilayan dengan baik dan terhormat, tetapi
pihak yang sebelah lagi dihina atau diberi layanan yang tidak sepatutnya.
Begitu juga dalam menimbangkan
sesuatu perkara yang berlaku antara dua orang atau dua puak. Dengan jelas ia berpihak kepada seseorang atau satu
puak, justeru sekiranya menjatuhkan hukuman tentulah akan berat sebelah.
Peribahasa ini boleh dikiaskan
kepada perilaku seseorang wakil rakyat dalam melayani rakyat yang diwakilinya. Setiap
wakil rakyat wajib memberikan layanan
yang adil atau saksama kepada semua rakyat yang datang megadukan hal kepadanya.
Sekiranya ada antara wakil rakyat
yang melakukan kezaliman seperti maksud peribahasa ini, ia bukanlah orang yang
berwibawa sebagai ketua atau pemimpin rakyat. Sikap sedemikian sudah tentu
akhirnya akan menyusahkan dirinya sendiri. Dalam hal ini, pemimpin
sedemikian sebenarnya tidak layak untuk
menjawat jawatan wakil rakyat kerana
telah mengkhianati tanggung jawab yang telah diamanahkan kepadanya.
Dalam Islam, keadilan
didefinisikan sebagai 'meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya'.
Definisi ini menggambarkan bahawa keadilan bukan sahaja merupakan tuntutan
agama malah ia juga adalah satu tuntutan moral yang perlu ditunaikan.
Meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai adalah suatu konsep yang diterima
pakai oleh manusia tanpa mengira bangsa dan agama serta warna kulit. Dalam
Islam, keadilan adalah suatu yang perlu diamalkan oleh setiap Muslim. Di dalam
al-Quran Allah berfirman:
''Dan apabila kamu menjalankan
hukuman dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil'' -
al-Nisa: 58.
Ayat ini pada zahirnya lebih
menumpukan kepada golongan pemerintah ataupun mereka yang mempunyai kuasa kerana
golongan inilah yang banyak sekali terlibat di dalam menjatuhkan sesuatu
hukuman atau keputusan yang berkaitan dengan kebajikan rakyat jelata. Keadilan dalam konteks ini bermaksud bahawa para pemerintah mestilah menjalankan
segala tanggungjawab yang mereka pikul dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Keadilan mestilah diberikan
kepada setiap rakyat tanpa mengira kedudukan mereka. Hal ini kerana setiap rakyat berada di bawah tanggungjawab
pemerintah dan tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat
nanti. Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: ''Setiap orang
di antara kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang orang
yang berada di bawah jagaan mereka.''
Berdasarkan kepada hadis ini,
kita dapat melihat bahawa tanggungjawab melakukan keadilan bukan sahaja kepada
pemerintah bahkan kepada setiap individu. Ibu bapa mesti berlaku adil terhadap
anak-anak mereka. Mereka perlu diberi layanan yang sama rata tanpa membezakan
mereka.
Suami mesti berlaku adil terhadap
isteri mereka. Jika mereka mempunyai lebih daripada satu isteri, maka keadilan
adalah suatu perkara yang tidak boleh diabaikan. Keadilan dalam hal ini
adalah bermaksud keadilan dari sudut nafkah zahir dan batin. Namun keadilan dalam sudut perasaan serta kasih sayang tidak termasuk di dalam tuntutan
keadilan kerana perkara seumpama ini tidak mungkin dapat dipenuhi kerana fitrah
manusia sememangnya begitu. Kerana sifat-sifat tertentu yang dimiliki, isteri
pertama mungkin lebih dikasihi daripada isteri kedua ataupun sebaliknya. Dalam
konteks ini Allah berfirman: ''Kamu pasti tidak akan mampu untuk berlaku adil
terhadap isteri-isteri kamu meskipun kamu benar-benar mahu melakukannya.''
al-Nisa 29. Walau bagaimanapun, jangan pula kerana kasih sayang terhadap seseorang isteri membawa
kepada ketidakadilan terhadap isteri yang lain.
Majikan juga perlu berlaku adil
kepada semua pekerja mereka. Mereka tidak seharusnya menjadikan ikatan
persaudaraan, persahabatan atau kenalan sebagai jalan mudah untuk memberi
sokongan untuk kenaikan pangkat atau sebagainya tanpa mengira kualiti kerja
serta disiplin yang ditunjukkan. Sikap seumpama ini akan melahirkan rasa tidak
senang dalam kalangan pekerja lain dan ini akan membawa kepada ketidakikhlasan
mereka di dalam menjalankan kerja yang dipertanggungjawabkan. Akhirnya produktiviti
akan berkurangan, pekerja akan suka 'curi tulang' dengan alasan bahawa
kesungguhan mereka bekerja tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan
dan akhirnya negara juga akan mengalami kesukaran untuk membangun dengan lebih
pesat lagi.
Dalam hal ini, semua pihak
seharusnya menjauhkan diri daripada melakukan suatu amalan yang boleh membawa
kepada masalah sama ada kecil atau pun besar. Kita seharusnya menggembleng
tenaga untuk menyelesaikan segala masalah yang ada dan bukan untuk menambahkan
lagi masalah yang sedia ada.
Keadilan dalam Islam juga
dapat dilihat dalam melaksanakan hukuman seperti hudud dan qisas apabila setiap tuduhan hendaklah disandarkan kepada syahadah (persaksian). Persaksian
pula bukan daripada sebarang orang. Mereka yang boleh menjadi saksi adalah
mereka yang adil iaitu mereka yang tidak melakukan dosa besar dan tidak
berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Di dalam al-Quran Allah berfirman: ''Maka
ambillah dua orang saksi yang adil daripada kalangan kamu (orang Mukmin)'' -
al-Talaq:2.
Tujuan arahan ini adalah jelas
untuk melindungi mereka yang tertuduh agar tidak dianiayai oleh mereka yang
tidak menyukai atau memusuhi mereka.
Keadilan di dalam Islam adalah suatu tuntutan dan keadilan ini juga adalah
merupakan salah satu daripada ciri ketakwaan. Di dalam al-Quran Allah
berfirman: ''Hendaklah kamu berlaku adil, kerana keadilan itu lebih hampir
kepada ketakwaan'' - al-Maidah:8.
Lantaran itu jika keadilan ini
dapat dilaksanakan oleh semua manusia, pastilah kehidupan kita di dunia ini
akan menjadi lebih ceria dan bahagia, negara juga akan menjadi aman damai serta
harmoni sepanjang masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan