Peserta Pidato Yang Bertanding di Peringkat Akhir |
PUTRAJAYA : Kerajaan akan
terus memperkasa Bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi negara serta alat penting bagi perpaduan nasional,
kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada masa sama, Najib juga
mengingatkan rakyat negara ini agar menguasai pelbagai bahasa untuk menjadi
bangsa yang kompetitif dalam era globalisasi dan persaingan antarabangsa yang
semakin sengit.
"Komitmen kerajaan ini
dibuktikan dengan pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan
Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBBMBI) yang diperkenalkan pada tahun lalu.
"Ia jelas menzahirkan
kerajaan berpegang teguh kepada dasar memartabat Bahasa Melayu dalam sistem
pendidikan negara. Kerajaan juga bertekad untuk terus memperkembang dan
memperkasakannya ke peringkat global," katanya pada Pertandingan
Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2013 di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Jumaat.
Teks ucapan beliau dibacakan
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dalam usaha memartabat Bahasa
Melayu, Najib juga mahukan potensi bahasa itu terus dipupuk dan diperteguhkan
lagi dalam segenap bidang.
"Sebagai langkah permulaan,
sebanyak RM5 juta telah disalurkan melalui Institut Terjemahan & Buku
Malaysia, atau ITBM, bagi memastikan penerbitan bahan ilmu berkualiti tinggi
dapat diterbitkan dalam masa yang singkat.
"Bermula April 2011, dengan
berbekalkan semangat inovasi keilmuan yang dilaksanakan, sebanyak 97 judul
hasil karya penulis muda tempatan telah berjaya diterbitkan," katanya.
Beliau berkata kehebatan Bahasa
Melayu juga jelas terserlah dengan lebih kurang 300 juta orang penutur sekali
gus menjadi bahasa kelima terbesar dunia.
"Fakta ini memberi gambaran
bahawa Bahasa Melayu mempunyai pengaruh dan peranan yang cukup besar dalam
mewarnai landskap pembangunan tamadun dunia," katanya. Najib juga memuji
usaha berterusan Kementerian Pengajian Tinggi yang berjaya menganjurkan
pertandingan bertaraf dunia buat kali ke-7 dengan bilangan peserta terus
meningkat.
"Saya dapat melihat bahawa
penyertaan pertandingan ini saban tahun bertambah di mana para peserta datang
dari seluruh pelosok dunia, merangkumi kesemua enam benua yang
berpenghuni," katanya.
Beliau berkata sejarah
membuktikan kedudukan serta peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa
bermula sejak era pemerintahan Srivijaya pada abad ke-7 masihi dan
berkesinambungan ke zaman Kesultanan Melayu di Melaka, dalam tempoh beberapa
ratus tahun.
"Marilah sama-sama memikir
dan memulakan langkah untuk memperhebat Bahasa Melayu ke persada dunia.
"Gunakanlah segala ruang dan
peluang yang ada untuk mempelbagai kaedah mengetengahkan bahasa yang diwarisi
daripada nenek moyang kita ini kepada masyarakat dunia," katanya. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan