KUALA LUMPUR - Bilangan individu
kaya di Malaysia akan meningkat lebih sekali ganda daripada 32,000 orang
sekarang kepada 68,000 orang pada 2015, dengan nilai bersih masing-masing
meningkat sebanyak AS$140 bilion hingga AS$330 bilion.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri
Ahmad Husni Hanadzlah berkata, bilangan yang mengagumkan ini memberikan
keyakinan terhadap keteguhan dan kelestarian pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Beliau juga berkata, negara ini
mestilah membangunkan industri pengurusan pelaburan domestiknya yang boleh
mengurus bukan sahaja kekayaan domestik, malah juga kekayaan di peringkat
rantau Asia Pasifik.
Ahmad Husni berkata, industri
pengurusan kekayaan adalah sektor perkhidmatan kewangan paling pantas
berkembang di Malaysia dan Asia Tenggara.
Dalam hubungan ini, penetapan
2013 sebagai tahun pengurusan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan
(Labuan IBFC) adalah tepat pada masanya, kata beliau pada pelancaran Pengurusan
Kekayaan Labuan IBFC 2013 hari ini.
Beliau berkata, inisiatif ini akan
menyokong pertumbuhan industri pengurusan pelaburan domestik.
Mengenai perkara berkaitan,
Ahmad Husni berkata, Malaysia akan dapat mengekalkan pertumbuhan tinggi tahun
ini kerana menerima banyak pelaburan.
"Dari segi Keluaran Dalam
Negara Kasar, pengguna domestik sebenarnya amat kukuh, sumber utama sebenarnya
adalah daripada pelaburan orang ramai dan juga pelaburan kerajaan.
"Jadi, bagi masa depan, kita
yakin kita boleh mengekalkan pertumbuhan tahun ini," kata beliau, sambil
menambah bahawa kerajaan yakin dalam berhati-hati bahawa pertumbuhan ekonomi
akan berlegar sekitar 4.5 peratus hingga lima peratus. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan