Rabu, 13 Februari 2013

ISU KENEGARAAN : Menjejaki perpaduan Malaysia sehingga saat ini


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

SEBAIK pulang dari lawatan ke Gaza, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa - ''Tunjang kepada segalanya adalah perpaduan. Perpaduan itu amat penting, pengajaran kepada kita di Malaysia '.

"Inilah mesej yang telah saya sampaikan kepada mereka (pemimpin) bahawa rakyat Malaysia merupakan pejuang yang akan sentiasa berdiri teguh dengan kerajaan dan rakyat sesama sendiri dalam perjuangan mereka. Saya beritahu kepada dia (Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh) 'ini mesti dilakukan'. Apabila saya berjumpa dengan Presiden Morsi saya kata tolong bantu mereka (Hamas-Fatah) untuk berunding sehingga kerajaan perpaduan ini menjadi kenyataan. Palestin memerlukan langkah perpaduan walau diberikan dana dan sokongan moral dari luar.''

Di Malaysia, selepas 55 tahun merdeka kita masih bercakap mengenai perpaduan kerana demografi dan alam Malaysia adalah sedemikian rupa. Masyarakat yang rencam dengan kepelbagaian nilai budaya, agama, etnik, keturunan yang diwarisi turun-temurun menyebabkan ia asas kepada pengisian dan kesinambungan pentadbiran.

Menjejaki perpaduan di Malaysia, hakikatnya bermula dengan persetujuan bersama ke atas nilai pengorbanan dan kompromi antara semua etnik agar kemerdekaan daripada pihak penjajah dapat diperoleh  tanpa pertumpahan darah dan pengisian kemerdekaan dilakukan dengan teras kerjasama dalam kalangan yang menjunjung kepelbagaian yang sudah dipersetujui.

Hatta, Perlembagaan yang dirangka memastikan roh yang berasaskan kepada kesederhanaan, kompromi dan menang-menang dirangka. Maka, lahir beberapa Perkara termasuk Perkara 3 (agama bagi Persekutuan) yakni Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan; Perkara 11 (kebebasan agama) iaitu tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agama dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agama. Perkara 14 (Kewarganegaraan dengan cara kuatkuasa undang-undang) memberi peruntukan kepada yang lahir sebelum dan selepas hari Malaysia.

Perkara 32 (Kepala Utama Negara bagi Persekutuan dan Permaisurinya) memerihalkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong manakala Perkara 38 (Majlis Raja-raja) ditubuhkan mengikut Jadual Kelima. Perkara 152 (Bahasa kebangsaan) menyentuh kedudukan Bahasa Malaysia yang hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen dan kedudukan bahasa lain turut diiktiraf dari praktisnya.

Perkara 153 (Perezapan kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu) yang memperincikan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan ini.

Begitu juga dengan Perkara 181 (Pengecualian bagi kedaulatan Raja-raja, dan sebagainya) yang tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini mengenai kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa Raja-raja dan hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa pembesar memerintah Negeri Sembilan dalam wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga sekarang adalah tetap tidak tersentuh.

Kesemua ini adalah antara elemen yang mempertahankan nilai kesepaduan kerana ia menjamin apa yang boleh dilakukan oleh seseorang warga Malaysia yang mengetahui haknya. Dalam mahu hak dihormati, setiap individu juga mesti tahu menghormati hak orang lain. Bilamana isu sensitif tersebar luas kebelakangan ini, maka ia harus kembali semua kepada Perlembagaan agar sensitiviti masyarakat dipelihara.

Jika isu sensitif terus dipolitikkan, maka keputusan berdasarkan percaturan politik tidak akan mencerminkan kemuliaan agama bilamana agama itu sendiri tinggi kedudukannya yang tidak layak disoal oleh manusia. Begitu juga dengan usaha berterusan menyemarakkan perasaan benci dan syak wasangka kerana jika emosi ini berpanjangan, kesannya sudah pasti ke atas apa yang sudah diterima oleh kesemua selama ini.

Ini juga adalah susulan daripada anasir yang bertindak songsang dengan fahaman agama dan kepercayaan masing-masing. Yang melakukan kesemua ini harus merujuk semula Perlembagaan dan memahami batasan emosi seseorang kerana bila datang kepada isu agama, semua penganutnya pasti ada hadnya. Sensitiviti perlu difahami dan dihormati supaya ia tidak menjadi penghalang kepada apa yang sudah dilalui sehingga hari ini.

Tiga nilai besar yang wajar dijadikan pegangan adalah untuk bertoleransi, hormat-menghormati dan faham-memahami jika mahu terus menjejaki kekuatan perpaduan dalam konteks negara kita.

Benar kita sudah melalui peristiwa rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969 yang membawa kepada pelancaran Rukunegara pada 1970; dan kemudian di Kampung Rawa pada 1998 dan Kampung Medan pada 2001 tetapi kesemuanya masih dapat dikawal atas wadah pengorbanan dan kompromi walaupun hari ini sudah timbul persoalan siapakah yang perlu berkorban dan berkompromi.

Negara luar memberikan pengiktirafan ke atas hubungan antara etnik negara ini walaupun ada dalam kalangan pemimpin sendiri yang memberikan perspektif buruk mengenai Malaysia apabila berada di luar untuk meraih sokongan. Agak mudah untuk meruntuhkan sesuatu tanpa menyedari betapa ia memakan masa untuk membangunkan semula apa yang dinikmati kini.

Yang dibangunkan sejak kemerdekaan sandarannya adalah kepada perpaduan; tunjang proses pembangunan, modenisasi dan transformasi hari ini. Nilai kepunyaan inilah yang membawa sinar kepada pencapaian negara secara umumnya termasuk amalan politik muafakat.

Pada 2020, yang mahu dilihat adalah masyarakat kelas satu di negara kelas pertama; negara yang bukan membangun dengan infrastruktur dan prasarana tetapi juga melihat kehadiran masyarakat yang memiliki kemahiran, kebolehan dan ilmu serta diselaputi dengan nilai karakter bermoral, berhemah, mempunyai semangat patriotik yang tinggi serta bangga menjadi warga Malaysia dengan mempertahankan apa yang termaktub dalam Perlembagaannya.

Tahun 2020 juga melihat Malaysia bukan lagi negara berpendapatan sederhana. Ia merupakan proses yang memerlukan komitmen kesemua warga baik masyarakat kelas atasan, pertengahan mahupun 30 peratus yang masih bergelut dengan kualiti kehidupan dan kemiskinan.

Hari ini, Malaysia sudah menjadi antara 21 negara paling kompetitif ekonomi di dunia, mengikut Laporan 2012 World Economic Forum. Ia juga merupakan yang ke-18 dalam paling mudah memulakan perniagaan lebih baik dari Jepun, Jerman, Taiwan dan Perancis. Malaysia berada pada kedudukan 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing (FDI) 2012.

Pendapatan per kapita negara kini adalah AS$9,700 berbanding AS$6,700 dua tahun lalu. Angka KDNK mencecah RM852.7 bilion manakala PNK adalah RM830.7 bilion; tertinggi sejak 55 tahun lalu.

Usaha untuk merealisasikan pendapatan per kapita AS$15,000 pada 2020 bergantung kepada sejauhmana kita mahu menjejaki perpaduan sebagai asas yang perlu ada kesinambungan dari segi pemetaan kestabilan dan bersifat menentu. Peningkatan 12.3% dalam FDI kepada RM 33 bilion dan pelaburan swasta sebanyak 19% kepada RM 94 bilion adalah kerana wujudnya usaha memastikan perpaduan diurus dengan pentadbiran yang memberikan keutamaan untuk mendampingi nilai-nilai positif dari melihat dari arah negatif sahaja. Jangkaan RM 129 bilion pendapatan negara kasar pada tahun 2020 juga bergantung kepada keampuhan nilai politik, ekonomi dan sosial negara.

Jika pelan transformasi dilihat sebagai satu perjalanan oleh Perdana Menteri yang tiada titik nokhtahnya, yang akan menjejaki perjalanan itu adalah kemuafakatan, keharmonian, perpaduan dan keserasian yang sudah kita lewati selama ini. Junjung tunjang kepelbagaian ini sebagai aset kerana walau berbeza agama, keturunan, kepercayaan, gender dan fahaman politik; yang mesti terus dipertahankan adalah kesejahteraan hidup berukun di negara ini.

Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen