Rabu, 13 Februari 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pengajian Tinggi pemacu daya saing


Oleh : DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN

BARU-BARU ini, saya menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2013 kepada seluruh warga Kementerian Pengajian Tinggi. Amanat kali ini memberikan tumpuan kepada sumbangan pengajian tinggi dalam memacu daya saing negara.

Tema ini dipilih kerana pengajian tinggi kini bukan sahaja memenuhi tuntutan dan kepentingan dalaman negara semata-mata, tetapi menentukan apakah Malaysia mampu mengekalkan daya saingnya dalam pentas global.

Bagi memenuhi tujuan ini, amanat telah memilih lapan agenda iaitu kajian semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), merekayasa Institusi Pengajian Tinggi, menjana ekonomi berinovasi, menjamin kualiti Institusi Pengajian Tinggi (IPT), memperkukuhkan kebolehpasaran graduan, pemetaan baharu pengantarabangsaan, pendidikan untuk semua dan budaya kerja berinovatif.

Hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi telah banyak mengubah pendekatan kerajaan untuk melaksanakan transformasi dalam semua bidang. Ini kerana negara tidak boleh lagi mengambil langkah berdikit-dikit, tetapi bersikap transformatif yang menghasilkan impak yang lebih besar.

Pelan transformasi kerajaan termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baharu Ekonomi (MBE) memerlukan peranan kritikal sektor pengajian tinggi. Ini bermakna, polisi dan perancangan strategik berkaitan pengajian tinggi juga perlu selari dan benar-benar menyokong agenda transformasi negara. Sehubungan itu juga, kementerian akan mengkaji semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

Kajian terhadap pelan yang dilancarkan pada 2007 ini diharap akan dapat mengemukakan inisiatif baharu yang boleh melonjakkan lagi mutu dan kualiti pengajian tinggi ke tahap kecemerlangan sekali gus membantu negara khususnya melalui penghasilan modal insan kelas pertama dan pengwujudan IPT yang cemerlang.

Pada masa sama, pembangunan, kemajuan dan transformasi negara memerlukan sumbangan yang maksimum daripada IPT. Mereka tidak boleh lagi menjadi menara gading dan bersifat eksklusif, sebaliknya menara ilmu yang dapat memanfaatkan perkembangan dan penerokaan ilmu untuk mentransformasikan komuniti.

Dalam hal ini, selain pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan, IPT disarankan supaya memberi fokus kepada kepentingan polisi awam selari dengan peranan ketiganya, perkhidmatan kepada masyarakat. Kementerian percaya, hanya melalui pendekatan ini, IPT akan benar-benar dapat dirasai kewujudannya oleh komuniti.

Apabila menyentuh hasrat Malaysia untuk meligatkan pertumbuhan ekonominya, ia bergantung kepada usaha menjana ekonomi berinovasi. Sebagai hab inovasi negara, IPT mempunyai peranan penting dalam menjana pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan dengan menghasilkan paten, penerbitan berimpak tinggi dan mengeluarkan graduan pascasiswazah.

Dalam hal ini, IPT harus melangkah kehadapan menentukan idea-idea baharu dan dinamik yang dapat memperkukuhkan lagi rantaian penyelidikan dan menggembleng seluruh kekuatan IPT di negara bagi mempertingkatkan lagi keberhasilan penyelidikan dan inovasi. Pada masa sama, kualiti pengajian pascasiswazah di IPT perlu diperkukuhkan kerana di sinilah aktiviti penyelidikan giat dijalankan.

Seperti sedia maklum, kualiti adalah penentu kecemerlangan dan kewibawaan IPT. Agenda memperkukuhkan kualiti IPT perlu dipergiatkan lagi dalam semua aspek meliputi pengurusan institusi, program akademik dan penyelidikan, tenaga akademik, pelajar baharu dan graduan yang dihasilkan.

Pada tahun ini, tumpuan kementerian banyak diberikan kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) agar mereka benar-benar bersedia menawarkan pengajian tinggi yang terbaik. Ini termasuk menyemak kelestarian mana-mana IPTS yang berisiko agar dapat memberi peluang kepada mereka mengambil tindakan susulan dan menentukan langkah-langkah penambahbaikan.

Kementerian juga menganugerahkan autonomi kepada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan kini terdapat tujuh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berstatus autonomi. Kementerian percaya, melalui autonomi, IPTA berkenaan kini tidak mempunyai alasan untuk tidak cemerlang.

Mahasiswa merupakan sumber bakat terbesar kepada negara. Setiap tahun, kira-kira 180,000 graduan menamatkan pengajian di pelbagai peringkat sama ada di peringkat sarjana muda dan diploma. Dalam hal ini, graduan yang dihasilkan oleh IPT mestilah benar-benar bersedia menempuh alam pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing.

Persediaan ini bukan semata-mata berbekalkan pencapaian cemerlang akademik, sebaliknya kemahiran yang diperlukan oleh majikan dan industri agar mereka mudah diterima di pasaran pekerjaan kelak.

Pelbagai inisiatif yang dikenalpasti oleh kementerian antaranya memperkenalkan Pusat Kecemerlangan Industri atau ICoE sebagai satu mekanisme yang menghubungkan pengajian dengan pekerjaan, di mana industri bekerjasama dengan penyedia pendidikan agar pelajar diterap dengan kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan.

Bakat dan kepimpinan mahasiswa terus dicungkil melalui pelaksanaan program IM4U sebagai satu pendekatan baharu pembelajaran. Kementerian menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan IM4U kerana melalui penggabungan khidmat komuniti dan kurikulum, IM4U dapat menambah pengalaman belajar pelajar dan memperteguhkan tanggungjawab sivik kepada masyarakat melalui keupayaan menyelesaikan masalah sebenar masyarakat sekali gus menjadikan mereka sebagai rakyat yang menyumbang kepada pembangunan Malaysia.

Bertepatan dengan tema amanat iaitu Pengajian Tinggi Pemacu Daya Saing Malaysia, negara harus menerima hakikat bahawa Malaysia tiada pilihan selain memperkukuhkan kemampuannya dalam pentas global. Malaysia perlu menentukan strategi pengantarabangsaan yang lebih berkesan dalam menonjolkan kedudukannya sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi yang dihormati.

Dalam hal ini, pengantarabangsaan tidak lagi terhad kepada faktor jumlah pelajar antarabangsa atau bilangan kampus cawangan luar negara tetapi penekanan kepada kesepaduan kecemerlangan dalam semua aspek perkhidmatan pengajian tinggi. Ini termasuk kecemerlangan akademik, kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, kecemerlangan pembangunan, penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan dan kecemerlangan kepimpinan pengajian tinggi. Hanya dengan strategi ini, Malaysia boleh gah menerajui kecemerlangan pengajian tinggi secara komprehensif dan berwibawa.

Menjayakan hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 memerlukan sumbangan dan potensi seluruh rakyatnya sama ada yang berpengetahuan tinggi atau berkemahiran tinggi. Sehubungan itu, usaha untuk meningkatkan minat belajar tanpa henti dan pendidikan untuk semua di kalangan rakyat hendaklah dipertingkatkan lagi.

Kementerian akan terus memperkasakan usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat. Misalnya, kini sesiapa sahaja boleh melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti hanya dengan kelulusan minimum satu kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bukan itu sahaja, golongan pekerja boleh menyambung pengajian di peringkat sijil dan diploma apabila pengalaman bekerja mereka diambil kira sebagai syarat kemasukan. Pendek kata, kini tiada sesiapa yang boleh memberi alasan untuk berhenti belajar.

Tidak dinafikan, kecemerlangan pengajian tinggi turut dibantu oleh sistem penyampaian dan budaya kerja yang inovatif lagi berkesan. Dalam hal ini, fungsi kementerian perlu beralih daripada memberikan penekanan terhadap kawal selia undang-undang (regulator) kepada fungsi pemudahcara (facilitator). Selain itu, aspek nilai untuk wang dalam pengurusan kewangan universiti sebagai sebuah badan berkanun juga perlu dipertingkatkan.

Sesungguhnya, globalisasi telah menjadikan persaingan semakin kompetitif dan negara perlu meningkatkan daya saingnya agar tidak ketinggalan. Masa depan pengajian tinggi Malaysia bukan lagi tentang retorik nasionalisme tetapi mendukung daya saing Malaysia dalam mendepani impak globalisasi.

Kesimpulannya, Malaysia yang maju dan progresif adalah Malaysia yang berupaya menjadikan sistem pengajian tingginya sebagai instrumen dan sumber utama untuk membolehkan ia membina, mengukuh dan melonjakkan daya saing bangsa dan negara di peringkat global. Ini kerana sistem pengajian tinggi yang berupaya melonjakkan kebolehsaingan Malaysia akan menjadikan negara dan bangsa kita lebih kuat dan kental menghadapi cabaran.

Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen