Rabu, 13 Februari 2013

ISU KESIHATAN : Peranan ibu bapa memelihara kesihatan mental anak-anak


KESIHATAN mental kanak-kanak dan remaja merupakan aspek penting dan perlu diberi perhatian sewajarnya daripada seluruh anggota masyarakat.

Namun, kesedaran untuk memiliki dan mencapai tahap kesihatan mental yang baik adalah bermula daripada ibu bapa dan keluarga. Segala usaha dan kesedaran ini pula tidak terhenti di peringkat keluarga sahaja.

Malah, proses untuk mendapatkan tahap kesihatan mental yang baik ini adalah berterusan, iaitu apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, di peringkat kolej dan universiti, sehinggalah apabila mereka menjadi dewasa dan bekerja dengan organisasi, bersara, memasuki alam usia emas dan lain-lain.

Walaupun wujud pelbagai tahap perkembangan individu dengan konteksnya yang berbeza, namun ia adalah satu proses yang seiring dan berkait rapat dengan perkembangan individu dan persekitaran mereka.

Peranan ibu bapa dalam konteks ini ialah memahami apakah ruang lingkup kesihatan mental anak-anak dan keperluannya, di samping mengenalpasti segala faktor yang membantu atau menggagalkan tercapainya proses dan matlamat kesihatan mental yang sempurna untuk mereka.

Aspek kesihatan mental sebenarnya tidak mampu terhasil tanpa sokongan daripada pelbagai aspek lain dalam kehidupan seorang kanak-kanak. Memandangkan kesihatan mental yang baik hanya akan diperolehi apabila ibu bapa itu dapat menunjukkan sikap prihatin dengan segala keperluan anak-anak, maka ibu bapa perlu memahami apakah segala keperluan tersebut.

Ibu bapa perlu memahami bahawa kesihatan mental adalah berkait rapat dengan kesejahteraan. Kesejahteraan itu pula turut merangkumi kesejahteraan fizikal, emosi dan spiritual atau kerohanian. Kesejahteraan fizikal dapat dicapai apabila ibu bapa mampu memberikan keperluan fizikal yang mencukupi kepada anak-anak mereka. Ini termasuklah keperluan makan dan minum serta tempat tinggal yang selesa.

Sementara itu, kesejahteraan emosi dapat diwujudkan apabila mereka mampu memberikan kasih sayang dan perasaan selamat kepada anak-anak. Adalah menjadi satu tanggungjawab kepada semua ibu bapa untuk mewujudkan suasana kehidupan dan persekitaran yang selamat kepada anak- anak mereka.

Suasana selamat itu bukanlah pula semata-mata tertumpu kepada terselamat dari ancaman binatang buas atau bebas daripada ancaman pengganas sahaja, tetapi juga ialah apabila anak-anak berasa selamat daripada pengabaian dan kelalaian oleh ibu bapa sendiri.

Banyak kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa kelalaian dan pengabaian ibu bapa menjadi punca kepada jiwa anak-anak yang memberontak, hilang belaian dan kasih sayang, lari dari rumah, ponteng sekolah, terlibat dengan gejala dadah, kes penderaan anak, masalah sahsiah dan personaliti, gangguan mental serta gangguan fungsi neuro kognitif dan lain-lain.

Sementara itu, kesejahteraan spiritual pula dapat dikecapi oleh anak-anak apabila mereka mampu mengenali Tuhan Pencipta mereka, memahami matlamat mengapa mereka hidup di dunia ini, serta memiliki hubungan kerohanian yang baik dengan seluruh alam semesta. Kesemua aspek ini saling berkaitan dengan kesihatan mental dan inilah tugas dan tanggungjawab para ibu bapa yang perlu mereka laksanakan dalam membimbing anak-anak untuk menjalani kehidupan yang baik.

Inilah antara perkara asas yang perlu difahami ibu bapa dalam usaha mereka untuk memelihara kesihatan mental yang baik untuk anak-anak mereka.

Oleh sebab usaha untuk mencapai matlamat kesihatan mental yang baik itu adalah satu proses, maka tidak mustahil ia akan berdepan dengan pelbagai rintangan dan risiko masing-masing yang tersendiri ketika melalui proses perkembangan tersebut. Lantaran itu, bukan sesuatu yang mustahil apabila dalam menjalani proses itu, wujud mereka yang kecundang dan tewas. Namun ramai juga yang berjaya menempuhinya dan seterusnya hidup dalam suasana yang menjamin kesihatan mental yang sempurna.

Oleh itu, peranan ibu bapa juga ialah memahami bagaimana ketika mengharungi proses ini, seseorang anak itu adakalanya tertewas, dan pada masa lain mampu bertahan dan berjaya menempuhi semua rintangan. Perkara yang menjadi keutamaan dalam memahami atau mengendalikan sesuatu proses ke arah mencapai kesihatan mental yang baik ialah mengenalpasti segala faktor yang berlaku dan apakah kesan yang dialami, sama ada baik atau buruk, ketika dalam proses untuk mencapai matlamat tersebut.

Ibu bapa juga perlu menyedari bahawa semua isu berkaitan kesihatan mental seperti gangguan emosi dan tekanan mental serta masalah tingkahlaku itu boleh berpunca dari pelbagai faktor, termasuklah faktor dalam diri anak atau dari keluarga anak-anak itu sendiri. Faktor ini termasuklah seperti ibu bapa yang ada sejarah gangguan mental dan emosi, masalah keluarga, faktor kemiskinan dan tekanan ekonomi serta lain-lain.

Faktor-faktor ini akan meningkatkan lagi risiko dalam kalangan anak-anak untuk menghidapi gangguan kesihatan mental. Namun, ibu bapa juga perlu tahu bahawa terdapat faktor lain yang dapat menjauh atau mengurangkan risiko anak-anak dari terlibat dengan masalah mental dan tekanan emosi yang kronik. Contohnya, mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dan mesra dengan anak-anak.

Hubungan dan kasih sayang akan menjadi satu sumber sokongan yang amat berkesan dalam mengurangkan tekanan mental dan emosi si anak. Setiap anak-anak yang dilahirkan amat memerlukan belaian dan kasih sayang dalam proses menjalani kehidupan untuk menjadi dewasa. Belaian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibu bapa kepada anak-anak akan meningkatkan lagi keyakinan diri dan kematangan si anak di samping dapat membimbing mereka untuk menggunakan beberapa kaedah dan cara terbaik daripada ibu bapa ketika menghadapi tekanan.

Di samping itu, kekuatan aspek spiritual juga perlu diamalkan kerana banyak perkara dan kaedah yang diajarkan dalam agama juga dapat memberi kesan positif kepada perkembangan diri dan kesihatan individu anak. Walau apa pun kaedah yang digunakan, semua itu bergantung kepada kemahiran dan tahap kreativiti ibu bapa dalam mengendalikan masalah dan isu berkaitan. Peranan ibu bapa adalah amat besar dalam mencorakkan diri dan sahsiah anak-anak.

Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Setiap anak yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.”

PENULIS ialah Fellow di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen