Ahad, 17 Mac 2013

Baha Zain: Tokoh penyair dan intelektual

Baha Zain pemenang Anugerah Sasterawan Negara yang ke-12.

Oleh : A. WAHAB HAMZAH

ANUGERAH Sasterawan Negara yang ke-12 diberikan kepada penyair dan tokoh sasterawan, Datuk Dr. Baharudin Zainal atau lebih dikenali dengan nama penanya Baha Zain. Pengumuman anugerah tertinggi dalam bidang kesusasteraan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Baha Zain seorang penyair dan intelektual sastera yang dikagumi dan cukup terkenal dengan puisinya, Menangguh Kebenaran. Sungguhpun penerbitan buku puisinya tidak banyak, karya-karya beliau mempunyai kekuatan kepenyairan yang tersendiri. Hal ini dapat dilihat dalam buku-buku kumpulan puisinya iaitu Perempuan dan Bayang-bayang (1974), Dari Catatan Tengah Malam (1978), Tiga Catatan Perjalanan (1980), Jalan Desa Ke Kota (1994) dan Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak lain (2008).

Daripada kumpulan puisinya yang pertama, Perempuan dan Bayang-bayang telah memperlihatkan kemampuan Baha Zain sebagai penyair, memperagakan gaya, bentuk dan warna dalam diri. Baha Zain bijak memilih kata-kata yang tepat, tajam dan pandangan yang bijaksana. Estetika puisinya tinggi di sebalik gaya puisi yang kelihatan sederhana tetapi mempunyai lapisan makna yang kuat. Puisi Baha Zain menghantar pesanan, sindiran dan falsafah pemikirannya secara halus, lembut dan ada kalanya romantis serta sedikit nakal.

Bagi Baha Zain, puisi tidak berbicara segalanya tetapi puisi adalah pengucapan suatu fragmen pengalaman daripada suatu keseluruhan seorang seniman. Sebagai penyair dan penulis, Baha Zain sering mencari keseimbangan antara aspek perasaan dan pemikiran. Baginya, baik seseorang itu sasterawan atau pakar sains, masing-masing ada kebebasan dalaman dan intelektual dalam usaha mencari kebenaran. Itu sahaja tidak cukup, kerana baik seniman atau saintis, dia perlu iltizam dan tanggungjawab sosial. Akhirnya, harus tunduk kepada kepercayaan kebenaran yang hakiki iaitu Tuhan Yang Maha Esa.

Selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) beliau berkata, "setiap kali saya menulis, di belakang pemikiran saya ialah moga-moga karya itu memberi kesan dan manfaat kepada pembaca serta berdoa agar Tuhan menganugerahkan taufik dan hidayah untuk membolehkan saya terus berkarya."

Puisi Baha Zain menyerlahkan keseimbangan antara ketajaman renungan dan kekuatan pemikirannya yang disampaikan dalam olahan bahasa yang menarik, padat dan gaya yang tersendiri. Baha Zain dalam kesederhanaan bahasa dan kelembutan lenggok olah puisinya, sebenarnya semakin lantang menyuarakan keresahan hatinya dan erti perjuangannya. Hal ini jelas dapat kita tafsir dalam dua buah puisinya Kembalikan Mimpi dan Menangguhkan Kebenaran.

Baha Zain memenangi Hadiah Karya Sastera yang pertama pada 1971 dengan puisinya Dalam Lingkaran, Topeng-Topeng dan cerpennya, Malam Yang Melemparkan. Apabila Hadiah Karya Sastera diangkat menjadi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), puisi Baha, "Pernahkah Engkau Mentafsir Kedamaian" memenanginya pada edisi 2002/2003. Puisinya "Apabila Menulis Puisi" memenangi HSPM 2008/2009. Tahun lepas dalam HSPM 2010/2011 dua buah puisinya turut menerima hadiah iaitu "Permainan Mimpi" dan "Dalam Persekitaran Kata-kata".

Kritis

Sebagai penulis esei dan kritikan, tulisan-tulisan Baha Zain membawa pemikiran yang teliti dan matang dalam perbicaraan suara yang sederhana dan tenang sekalipun persoalan yang cukup kritis. Kritikannya tajam tetapi tidak melukakan. Dalam karya eseinya, Baha Zain mengajak kita berfikir, bukan mengajar kita berfikir. Pendekatan Baha Zain ini terserlah dalam buku anekdot-anekdot kecilnya Berguru Pada Binatang (2000) yang secara humor mengangkat satira dunia haiwan sebagai perbandingan, kiasan dan contoh untuk direnung dan difikirkan.

Barangkali ramai yang tidak mengetahui bahawa Baha Zain juga pernah terlibat dalam pementasan teater. Beliau merupakan pengarah teater "Tamu Di Bukit Kenny" karya Sasterawan Negara Usman Awang yang dipentaskan pada 26 Julai 1967 di Balai Budaya Tun Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka dengan pelakon utamanya ialah tokoh penulis terkenal, Datuk Noor Azam. Tamu Di Bukit Kenny adalah antara drama realisme yang penting dalam sejarah teater Malaysia. Pementasan itu juga menjadi titik tolak penting tradisi pementasan teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kemudiannya secara konsisten mementaskan teater hingga ke hari ini.

Zaman Baha Zain di DBP adalah era kegemilangan DBP dengan tokoh penulis, sasterawan dan budayawan semuanya tertumpu di situ. Tokoh-tokoh penulis mapan dan baru seperti Datuk Hassan Ahmad, Usman Awang, Keris Mas, Abdullah Hussain, Noor Azam, Kemala, Wijayamala, Othman Haji Zainuddin, Shamsuddin Jaaffar, Suhaimi Haji Muhammad, Jaafa HS, Datuk Dr. Anwar Ridzwan, Datuk Johan Jaaffar, Zakaria Ariffin, Ainon Haji Muhammad, Dinsman, A. Rahim Abdullah dan ramai lagi semuanya bertugas sezaman dengan Baha Zain di DBP. DBP ketika itu bergolak dengan karya sastera, polemik sastera dan pementasan teater yang secara konsisten mengembang dan memajukan sastera tanah air.

Baha Zain dilahirkan di Batu 15, Hutan Melintang Perak pada 22 Mei 1939 dan mendapat pendidikan awal di Sabak Bernam, Selangor sebelum memasuki Anglo-Chinese School, Teluk Anson, Perak. Kemudian memasuki tingkatan enam di Sekolah Anderson, Ipoh dan seterusnya memasuki Universiti Malaya pada tahun 1960 dan lulus Sarjana Muda Sastera pada tahun 1963.

Baha Zain mula bertugas di DBP dengan jawatan Penolong Pegawai Penyelidik pada Julai 1963. Semasa bertugas di DBP, beliau pernah mendapat cuti belajar di Fakulti Sastera, Universitas Indonesia Jakarta untuk mengikuti pendidikan khusus mengenai masyarakat dan kebudayaan Indonesia dalam satu program pengajian peringkat sarjana. Disebabkan minatnya mendalam tentang bidang kesusasteraan moden, Baha Zain menulis tesis yang membicarakan novel-novel Indonesia yang terbaharu di bawah bimbingan tokoh besar sasterawan Indonesia, H.B. Jassin. Pada tahun 1967, buku Hikayat Cekel Waneng Pati yang disusun semula oleh Baha Zain telah menerima hadiah daripada UNESCO.

Semasa mengetuai Bahagian Pengembangan Sastera DBP, Baha Zain menjadi Ketua Pengarang pada majalah-majalah Dewan Bahasa, Dewan sastera dan Dewan Budaya terbitan DBP selain dilantik sebagai sidang pengarang jurnal Tenggara. Mulai tahun 1982, Baha Zain dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah DBP, tetapi pada tahun 1984 beliau meletakkan jawatan untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan. Pada tahun 1985, beliau menerbitkan majalah berita mingguan Era. Sayang majalah yang mengambil konsep majalah Time tidak lama diterbitkan.

Baha Zain kemudian menjadi Pengerusi Eksekutif Dasar Padu (M) Sdn. Bhd. Sebuah syarikat penerbitan di samping mengendalikan Pustaka Cipta syarikat penerbitannya sendiri sejak tahun 1985. Beliau juga turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Amanah, Yayasan Penataran Ilmu sejak tahun 1986. Beliau juga pernah menganggotai Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara, anggota Majlis Perkembangan Buku Kebangsaan dan pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (1985-1991). Di samping itu, Baha Zain pernah menjadi Presiden Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional dari 1989 hingga 1994.

Sebagai sasterawan, Baha Zain telah dipilih menerima Anugerah S.E.A. Write daripada kerajaan Thailand pada tahun 1980. Ketokohannya sebagai sasterawan mewajarkan GAPENA menganugerahkan beliau Anugerah Penyair GAPENA (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan GAPENA (2008). Manakala Universiti Sains Malaysia menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada 2010. Selain itu, PENA menganugerahkan beliau Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia pada 2011 . Baha Zain masih lagi terus berkarya dan menulis setiap bulan dalam Dewan Sastera yang diikuti melalui laman blognya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan