Oleh : LT. JENERAL (B) TAN SRI WAN ABU BAKAR OMAR
SAYA memilih untuk menulis pada
kali ini setelah melihat seramai 10 orang wira negara terkorban sewaktu mereka berjuang mempertahankan kedaulatan
Malaysia di Pantai Timur Sabah. Pada saya, perkembangan yang telah berlaku
memerlukan penelitian yang terperinci.
Saya dapat merasai betapa
luluhnya hati kaum keluarga apabila menerima berita orang yang tersayang telah
gugur di medan juang.
Saya sendiri pernah mengalami
keadaan apabila seorang anggota tentera daripada pasukan saya terkorban ketika
kami melaksanakan gerakan membanteras segerombolan komunis di sempadan
Semenanjung dan Selatan Thailand.
Ketika menghantar jenazah anggota
tersebut ke rumah keluarganya, jelas dapat dilihat kesedihan yang menyeluruh
bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga, malahan seluruh penduduk kampung.
Saya amat sedih apabila melihat
anak kecil yang ketika itu berumur 4 tahun yang tidak mengetahui apa sebenarnya
berlaku kepada bapanya. Anak kecil itu cuma boleh berlari ke sana ke mari tanpa
menyedari bahawa masa depannya akan dilalui tanpa seorang bapa.
Melihat apa yang telah berlaku
dan sedang berlaku di Lahad Datu, adalah wajar untuk kita semua insaf bahawa
perwira-perwira negara telah banyak berkorban demi menjamin kedaulatan bangsa,
agama dan tanah air. Pada era Perang Dunia Kedua, kita perlu sedar bahawa anak
bangsa kita telah sanggup menggadai nyawa mempertahankan negara ini hingga ke
titisan darah yang terakhir.
Pada zaman darurat pula,
beribu-ribu anggota pasukan keselamatan terkorban ataupun tercedera dalam
melaksanakan tugas operasi membanteras kezaliman pengganas-pengganas komunis.
Adanya kesungguhan dan
pengorbanan yang sedemikian telah membawa negara berjaya memaksa pengganas
komunis meletakkan senjata mereka. Tetapi perlu diingat perjuangan tersebut
mengambil masa lebih daripada 40 tahun.
Kita juga mampu mempertahankan
negara pada era konfrantasi dengan
Indonesia. Kejayaan-kejayaan berkaitan diperoleh dengan adanya sokongan dan
perpaduan daripada majoriti rakyat.
Malangnya, negara kita juga telah
melalui peristiwa berdarah '13 Mei 1969'. Kita menyesal berlakunya peristiwa
tersebut dan rata-ratanya tidak ingin lagi mengalami keadaan yang serupa. Kini
tidak sepatutnya wujud sebarang niat oleh mana-mana pihak, atas alasan apa
sekalipun untuk melihat kembali peristiwa sedemikian berlaku di negara ini.
Dimensi
Perkembangan di Lahad Datu jelas
memperlihatkan kepada kita bahawa negara tidak boleh lari daripada menghadapi
ancaman yang bersifat pelbagai dimensi. Ancaman-ancaman ini boleh berlaku
daripada kedua-dua perspektif iaitu dalaman dan luaran.
Bentuk ancamannya pula tidak akan
lagi semata-mata bersifat konvensional. Ia boleh berada dalam pelbagai bentuk.
Perlu diambil kira, Malaysia masih berhadapan dengan isu-isu persempadanan
maritim ataupun daratan dengan beberapa negara. Setengahnya pula adalah amat
rapuh dan sensitif.
Persoalannya, adakah kita berlaku
adil jika sekiranya tanggungjawab menjamin keselamatan dan pertahanan negara
hanya diletakkan di bahu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) sahaja.
Adalah menjadi tanggungjawab
kesemua rakyat jelata untuk sama berganding bahu memikul tanggungjawab
menyelamatkan negara daripada sebarang bentuk ancaman. Masyarakat boleh
bertindak memberi maklumat segera kepada pihak berkuasa apabila dilihat wujudnya
sebarang elemen yang dianggap boleh menjejaskan ketenteraman negara.
Sebagai contoh, kejayaan
membanteras Kumpulan Al-Maunah bermula apabila pihak berkuasa menerima maklumat
daripada seorang penduduk tempatan bahawa dia terdengar bunyi tembakan senjata
api di sekitar Kampung Jenalek. Kita bernasib baik kerana ada dalam kalangan
masyarakat yang memilih untuk sama bertanggungjawab demi kepentingan
keselamatan negara. Mengapa sikap yang sama tidak dijadikan amalan harian di
kalangan masyarakat umum di negara ini.
Yang pasti, pergerakan penceroboh
di Lahad Datu sudah terdahulu diketahui oleh sebilangan masyarakat setempat.
Soalnya, kenapa tidak dilaporkan atau pun kenapa lewat dilaporkan? Mengambil
kira pengajaran daripada apa yang
berlaku di Lahad Datu, sudah tiba masanya untuk kita semua menyedari bahawa
peranan kita untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa adalah amat penting
terutama dalam keadaan kawasan sempadan negara adalah terlalu luas hingga
menjangkau beribu-ribu kilometer.
Sudah tiba masanya untuk semua
rakyat Malaysia bersatu padu memberi sokongan yang menyeluruh dalam tindakan
kerajaan membanteras penceroboh dan pengganas yang sedang kita hadapi di Pantai
Timur Sabah.
Kita juga perlu sama-sama
asingkan pergolakan di Lahad Datu daripada pendirian politik masing-masing.
Menuding jari antara satu sama
lain dengan menggunakan landasan politik tidak langsung membantu meredakan
keadaan. Malah keadaan ini memberi ruang untuk dieksploitasikan oleh negara
luar mengikut versi masing-masing dengan menokok tambah berita-berita yang
sengaja diadakan untuk memenuhi agenda mereka yang tersendiri.
Tanggapan
Perlu diingat bahawa perkembangan
yang ada di Lahad Datu pada hari ini boleh menyebabkan masyarakat antarabangsa
mudah membuat tanggapan yang tertentu terhadap Malaysia. Lebih malang lagi
apabila ada antara kalangan masyarakat kita yang sengaja mengeluarkan
kenyataan-kenyataan yang boleh menjejaskan imej Malaysia.
Tindakan Kerajaan menubuhkan
ESSCOM (Eastern Sabah Security Command) untuk menjaga keselamatan Pantai Timur
Sabah adalah amat tepat pada waktunya. Bagi membolehkan penubuhannya berjaya
memenuhi objektif yang ditetapkan, maka perancangan untuknya perlulah disusun
secara teliti dan terperinci.
Pelaksanaannya pula perlulah
dibuat secara profesional serta dengan penuh komitmen. Kesungguhan dan
keikhlasan perlu wujud di kalangan semua anggota yang berada di bawah naungan
ESSCOM.
Bantuan logistik serta peralatan
mestilah berpadanan dan mencukupi. Kemampuan perisikan perlulah menyeluruh. Ini
mengambil kira keadaan persekitaran yang sukar diawasi pada setiap waktu.
Kemampuan dalam bidang gerak
saraf mesti juga diberi kepentingan. Ini untuk menjamin masyarakat sekitar agar
sentiasa bersedia bekerjasama dan menyokong segala usaha yang dilaksanakan.
Kejayaan membanteras komunis oleh
pihak RASCOM (Rajang Area Security Command) boleh dijadikan model sebagai
panduan. Mereka yang mempunyai pengalaman ketika bertugas dengan RASCOM perlu
dijemput untuk memberi pandangan serta idea dalam memperkukuhkan kemampuan
ESSCOM.
Kita perlu ingat bahawa
kestabilan negara adalah penting untuk menjamin masa depan anak-anak. Kita
semua mempunyai tugas dan tanggungjawab yang penting. Janganlah kita
mempersia-siakan kestabilan negara yang ada pada hari ini.
Janganlah kita mudah terpengaruh
dengan unsur-unsur yang tidak berasas. Marilah kita sama-sama berjanji untuk
membanteras segala elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan kepentingan
negara.
Marilah kita bersama-sama dengan
anggota-anggota pasukan keselamatan mempertahankan negara ini daripada segala
bentuk ancaman. Semua peringkat rakyat jelata juga hendaklah sentiasa bersedia
memberi sokongan apabila wujud keperluan untuk mempertingkatkan kemampuan dalam
menjamin kepentingan keselamatan dan pertahanan negara.
Kenapa tidak rakyat Malaysia
berpegang dengan semangat patriotik seperti yang dianuti oleh bekas-bekas
anggota polis dan tentera. Walaupun ada yang telah lama bersara, namun mereka
masih kukuh dengan semangat juang masing-masing.
Melalui pengalaman yang telah
saya tempuhi, saya menyeru semua pihak agar bersatu, kukuh dengan semangat patriotik dalam menjamin
kepentingan keamanan, pertahanan dan kedaulatan negara.
PENULIS adalah bekas Ketua
Pengarah Perisikan Pertahanan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan