Tulisan Jawi pernah
digunakan secara meluas di seluruh Tanah Melayu dan Nusantara suatu ketika dahulu |
MUNGKIN ramai tidak mengenali
Profesor Dr. Kang Kyoung Seok. Namun beliau umpama sebutir permata kerana
menjadi satu-satunya profesor berbangsa Korea yang mempunyai kepakaran dan
berjuang memelihara tulisan Jawi walau di mana beliau berada.
Malah kepakaran beliau itu turut
mendapat pengiktirafan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Profesor berusia 58 tahun itu
begitu berminat dan banyak mempelajari mengenai tulisan Jawi dan budaya orang
Melayu.
Tulisan Jawi pernah digunakan
secara meluas dalam hasil-hasil penulisan Melayu pada satu ketika dahulu
sebelum digantikan dengan huruf Roman.
Kang dalam artikelnya menyuarakan
kebimbangan mengenai tulisan Jawi yang semakin dilupakan terutama dalam
kalangan generasi muda di Malaysia.
Dr. Kang yang kini telah kembali
ke Korea Selatan selepas menamatkan tugasnya sebagai Profesor Tamu di
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak pada 3 Jan
lepas, setelah berbakti selama tiga tahun, akan meneruskan kerjayanya sebagai
Ketua Pengajian Malaysia di Busan University of Foreign Studies, Korea Selatan.
Namun menurut Kang, kepulangan
beliau ke negara kelahirannya itu bukan noktah bagi usaha beliau mempertahankan
warisan Jawi yang dilakukannya sejak tahun 1974 bermula dari tempat asalnya di
Busan, Korea Selatan hinggalah ke UPSI.
Budaya Melayu
Bukan kerana sudah tidak sudi
tinggal di Malaysia yang dianggap negara keduanya itu, kepulangan Kang ke Korea
Selatan lebih kepada usahanya ingin mengembalikan populariti budaya Melayu
terutama tulisan Jawi di negara tanah tumpah darahnya itu.
"Saya mahu pulang ke Korea
Selatan kerana di sana sekarang bahasa dan budaya Melayu semakin kurang
dikenali berbanding tahun 80-an dan 90-an dulu, terutama dalam kalangan pelajar
universiti kami dan mengkaji budaya dan bahasa Melayu," katanya kepada
Bernama.
Menurut beliau kebanyakan
pelajarnya menyangka bahawa bahasa dan budaya Indonesia itu adalah sama, maka
apa yang terjadi pelajarnya hanya mempelajari bahasa dan budaya Indonesia.
"Ini tidak betul kerana
walaupun banyak persamaan namun kedua-duanya adalah berlainan dan mempunyai
keunikan yang tersendiri yang perlu dipelajari.
"Pelajar saya perlu tahu
menyanyi lagu Melayu Asli, menari Zapin dan menulis Jawi jika mahu belajar
tentang Melayu dan Malaysia," katanya sambil tersenyum lebar.
Kang berkata hubungan erat yang
terjalin antara universitinya dengan UPSI dan DBP akan digunakan sepenuhnya
dalam usahanya itu.
Antara usaha terkini daripada
beliau ialah membawa seorang Profesor Tamu dari UPSI atau DBP menjadi pensyarah
di universitinya di Korea Selatan.
Pertahan tulisan Jawi
Memperkatakan tentang usaha
mempertahankan tulisan Jawi di negara ini, beliau berkata masyarakat Melayu di
negara ini sepatutnya menjadikan tulisan itu sebagai satu perkara lebih
universal.
"Saya lihat sekarang tulisan
Jawi ini banyak digunakan masyarakat Melayu secara eksklusif dalam hal ehwal
keagamaan sahaja, mengapa tidak tulisan ini dibawa ke universiti sebagai teks
utama dalam pelajaran di sana.
"Bagi saya pelajar muda di
universiti adalah kumpulan utama yang perlu dicapai kerana mereka cerdik pandai
yang akan mencorakkan masa depan Malaysia, jika mereka ada kesedaran tentang
Jawi saya yakin tulisan Jawi akan terus berkembang di Malaysia pada masa
hadapan," katanya.
Selain itu, inisiatif luar biasa
seperti dilakukan penyanyi Korea Selatan, PSY yang mempopularkan budaya Korea
melalui lagu Gangnam Style boleh dilakukan bagi menarik golongan muda.
"Gangnam Style ini memang
sesuatu yang luar biasa kerana mengambil kuda, iaitu sesuatu yang dilihat biasa
di Korea dan dijadikan sesuatu di luar kebiasaan. Di Malaysia juga ada kuda,
saya percaya kita boleh lakukan sesuatu yang serupa," katanya.
Teori Jawiology
Menceritakan kajian terbaharunya,
Kang berkata beliau sedang mengusahakan teori 'Jawiology', sebuah teori yang
mampu memperkenalkan tulisan Jawi itu kepada masyarakat dunia.
"Melalui teori ini saya mahu
menerangkan tentang perkembangan tulisan Jawi daripada sebuah tulisan dalam
Al-Quran disesuaikan menjadi tulisan yang melambangkan Melayu itu sendiri.
Teori saya juga memastikan tulisan Jawi mudah difahami dan dipelajari
masyarakat bukan Melayu seluruh dunia," katanya.
Bercakap mengenai kajian tulisan
Jawi yang amat dekat di hatinya, Kang memberikan contoh kajian batu bersurat di
Terengganu yang dilakukannya sejak pertengahan tahun 80-an.
"Saya masih mengkaji tulisan
di batu bersurat itu. Sukar memastikan apa yang dimaksudkan kerana tulisan itu
ada sedikit kerosakan seperti hilang titik yang membezakan huruf seperti 'ba'
dan 'nun'.
"Setakat ini tiada tafsiran
yang benar-benar tepat, hanya agak-agak sahaja.
"Saya sendiri mahu lakukan
kajian lebih mendalam lagi," katanya.
Hembusan terakhir
Ketika ditanya bila beliau mahu
bersara daripada mempertahankan warisan Melayu itu, namun dibalas dengan air
muka serius daripada Kang.
"Saya akan pertahankan
warisan bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang amat saya cintai ini hingga ke
hembusan nafas saya yang terakhir," tekad beliau.
Mengakhiri temu bual, Kang melahirkan
azamnya untuk menjadi jambatan penghubung di antara masyarakat Korea dengan
Malaysia terutama bagi generasi muda melalui perkongsian bahasa dan budaya.
"Saya mahu kita menjadi
rakan karib. Orang muda Malaysia amat minat dengan budaya K-Pop Korea jadi saya
juga mahu orang muda Korea meminati bahasa dan budaya Malaysia," katanya.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan