Kalau bernasib baik, ubat tiruan cuma akan membuatkan orang yang menelannya tidak sembuh |
MUNGKIN banyak pengguna yang
tidak terlalu kisah jika mereka terbeli beg tangan atau kasut tiruan. Lain
halnya kalau ubat yang mereka beli ternyata adalah ubat tiruan.
Kalau bernasib baik, ubat tiruan
cuma akan membuatkan orang yang menelannya tidak sembuh; kalau bernasib buruk,
ubat tiruan boleh membunuh, terutama jika ia mengandungi bahan beracun seperti
arsenik atau bahan anti sejuk beku.
Di seluruh dunia, perdagangan
ubat tiruan semakin menguntungkan. Pengeluar ubatan tiruan mengembangkan
operasi mereka dari bentuk pengeluaran kecil-kecilan dalam rumah kedai kepada
pengeluaran berskala perindustrian.
Ubat tiruan berjaya menembusi
rangkaian pembekalan farmasi di Asia, membawa kepada peningkatan masalah
kemerosotan daya penerimaan penghidap batu kering dan malaria terhadap ubat
untuk kedua-dua penyakit berkenaan, kerugian dari segi ekonomi bagi pesakit dan
juga sistem penjagaan kesihatan secara amnya, serta peningkatan kadar kematian
kerana pesakit tidak mendapat penawar yang tepat.
Ubat generik
Masalah ubat tiruan semakin
besar. Menurut International Medical Products Counterfeiting Taskforce, sekitar
10 hingga 30 peratus ubat-ubatan yang terdapat dalam negara membangun adalah
tiruan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan
Sedunia pula, 50 peratus ubat-ubatan yang dibeli melalui internet (daripada
laman web tidak sah yang tidak mendedahkan alamat surat-menyurat mereka) adalah
tiruan. Asia paling terdedah kepada ubat tiruan.
Menurut Pharmaceutical Security
Institute, Asia memiliki angka jenayah farmaseutikal tertinggi untuk tahun
2011.
Masalah utama bagi benua Asia
Tenggara ialah meluasnya pengedaran ubat pencegah malaria tiruan, yang mana 50
peratus daripada sampel yang diteliti mengandungi kadar ramuan aktif yang tidak
tepat.
Malah, Malaysia yang telah
mempunyai peraturan dan sistem perundangan yang agak baik tidak terlepas
daripada masalah ini apabila sekitar tiga hingga lima peratus daripada
ubat-ubatan yang beredar dalam pasaran negara ini adalah tiruan.
Peratusan ubat tiruan yang
beredar di negara-negara jiran Malaysia yang lebih miskin adalah lebih tinggi.
Sebagai contoh, International
Pharmaceutical Manufacturers Group (IPMG) di Indonesia menganggarkan ubat
tiruan meliputi 25 peratus daripada ubat-ubatan yang terdapat dalam pasaran
farmaseutikal di Indonesia yang nilainya mencecah US$2 bilion. Angka ini
menunjukkan adanya krisis besar dalam sistem penjagaan kesihatan di negara itu.
Ubat generik paling banyak
menjadi sasaran peniruan di negara Asia yang miskin: lima daripada ubat paling
banyak ditiru di Indonesia dan Filipina adalah ubat-ubatan biasa dan murah yang
telah luput tempoh hak dagangnya, seperti ubat penahan sakit dan anti lelah.
Ini menunjukkan bahawa pengeluar
ubat tiruan yang menjadikan negara Asia sebagai sasaran lebih gemar
mengeluarkan jenis ubat yang besar pasarannya, berbanding jenis ubat yang lebih
mahal, iaitu ubat yang hak dagangnya masih sah (dan biasanya mempunyai pasaran
lebih kecil).
Bagaimanapun, ada juga
pengecualian bagi hal ini, misalnya apabila sebuah kajian yang dibuat pada 2005
di Malaysia menunjukkan bahawa 8.5 peratus ubat mati pucuk di Malaysia adalah
tiruan.
Walaupun kadar pengedaran ubat
tiruan di Malaysia adalah lebih rendah berbanding di negara-negara Asean yang
lain, beberapa pihak menimbulkan kebimbangan tentang mutu dan integriti banyak
ubat-ubatan tradisional yang dijual secara meluas dalam negara ini.
Pada 2012, Kementerian Kesihatan
menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan produk tradisional Mymen Plus
(kapsul 400mg) setelah ia didapati mengandungi racun berjadual 'tadalafil'.
Manakala pada 2005 sebanyak 14
peratus daripada produk Akarbanar yang diuji mengandungi tahap merkuri melebihi
had yang dibenarkan.
Perjanjian antarabangsa
Jadi, apa yang boleh dibuat untuk
mengekang masalah yang sedang merebak ini?
Memandangkan perdagangan ubat
tiruan berkembang menerusi globalisasi rangkaian pembekalan farmaseutikal,
banyak pakar dasar penjagaan kesihatan dan pakar perundangan mendesak agar
diwujudkan satu perjanjian baru di peringkat antarabangsa untuk menyelaraskan
usaha membasmi ubat-ubatan tiruan.
Menurut kalangan yang menyokong
usaha ini, tanpa perjanjian antarabangsa kita tidak dapat menentukan secara
sepakat dan jelas ubat mana yang tidak sah.
Selain itu, tanpa perjanjian
antarabangsa, polis tidak akan bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di
negara lain untuk menjalankan penyiasatan di peringkat antarabangsa, manakala
pendakwa raya pula tidak dapat diwajibkan untuk berkongsi bukti atau memberi
respons terhadap tuntutan ekstradisi untuk menghadapkan pihak yang disyaki
terlibat ke mahkamah.
Perjanjian antarabangsa dapat
membuka jalan penyelesaian terhadap masalah sedemikian dengan menyediakan bagi
negara penandatangan definisi antarabangsa yang dipersetujui untuk pelbagai
jenis ubat tiruan; menjelaskan jenayah jenis baru ke atas kesihatan orang awam
menurut undang-undang antarabangsa berkaitan pengeluaran dan perdagangan ubat
tiruan; dan menyediakan sumber baru untuk menguatkan keupayaan peraturan di
negara-negara yang memiliki peraturan longgar.
Perjanjian berkaitan ubat tiruan
akan membantu usaha memerangi perdagangan ubat-ubatan tiruan antarabangsa
secara perundangan.
Bagaimanapun, masa yang panjang
diperlukan untuk mengatasi masalah ini kerana ia melibatkan kepentingan
pelbagai pihak dalam negara yang sektor perindustriannya sedang berkembang.
Pada masa sama, kerajaan di
setiap negara dan sektor swasta perlu meneruskan usaha mereka untuk mengatasi
masalah ubat tiruan.
Kerajaan Malaysia misalnya telah
melangkah lebih maju dalam hal ini dengan memperkenalkan skim Meditag, manakala
syarikat farmaseutikal telah mula meneroka teknologi baru untuk melindungi
mereka daripada kegiatan peniruan, misalnya menerusi penggunaan kod bar jenis
3D dan nombor bersiri jenis mass serialization.
Lebih penting, orang awam perlu
sentiasa berjaga-jaga dan memastikan ubat-ubatan dibeli hanya daripada pembekal
yang mempunyai nama baik.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan