Nicol Ann David |
Oleh : FAUZIAH AROF
MEMANG benar, wanita di negara
ini telah semakin maju dan di pandang tinggi. Maju bukan dengan cuma setapak
langkahan, tetapi lebih daripada itu.
Yang membantu golongan ini
mencapai seperti apa dikecapi sekarang sudah tentulah kesedaran tentang perihal
pentingnya pendidikan kepada mereka.
Melalui pendidikan, kita dapat
menyaksikan peningkatan demi peningkatan kemajuan wanita yang amat
memberangsangkan. Semuanya bermula di sini. Apatah lagi tiadanya diskriminasi
gender kerajaan dalam memberikan pendidikan kepada rakyatnya.
Jika hendak dibuat perbandingan,
pada tahun 1959 hanya satu daripada setiap 10 mahasiswa tempatan adalah wanita.
Bagaimanapun hari ini, lebih daripada enam daripada 10 pemegang ijazah kelas
pertama di negara ini ialah wanita.
Malah, negara kini dikatakan
berhadapan dengan cabaran untuk meningkatkan kadar enrolmen dan pengekalan
pelajar lelaki pula.
Justeru, penglibatan wanita dalam
semua sektor pekerjaan ada di mana-mana. Daripada yang berjawatan tinggi
sehinggalah di peringkat rendah. Walaupun tujuan asalnya bekerja untuk membantu
mengurus kos hidup keluarga, namun semuanya dikira sebagai memberi sumbangan
kepada pembangunan ekonomi negara.
Dalam pada itu, Laporan
Perniagaan Antarabangsa Grant Thornton dua tahun lepas meletakkan Malaysia di
kedudukan bersama ke-9 di dunia untuk jumlah jawatan pengurusan kanan yang
dipegang oleh wanita, iaitu sebanyak 31%.
Pun begitu, kekuatan dan
keupayaan wanita Malaysia pada alaf baru ini memiliki ijazah dalam pelbagai
bidang, kecelikan ilmu dan serba berkebolehan sudah tentu menjadi sesuatu yang
sia-sia dan membazir, apabila kesudahannya segala usaha dan jerih perih
mendapat ilmu yang tinggi itu dibiar dan diperap begitu sahaja.
Inilah antara cabaran utama
wanita di negara ini, apabila hanya 47.9 peratus sahaja wanita yang mempunyai
ijazah ini memilih untuk bekerja.
Peratusan ini sudah tentulah amat
kecil berbanding dengan jumlah pelajar wanita di institusi pengajian tinggi
awam dan swasta ketika ini, iaitu 67 peratus berbanding lelaki.
Antara halangan dan penyebab
utamanya adalah mahu menumpukan perhatian pada rumahtangga untuk menjaga anak.
Golongan ibu muda ini, bimbang
dengan kesukaran untuk mendapat pembantu rumah yang terbaik untuk anak mereka,
melihatkan kepada perkembangan kes dera dan lalai pembantu rumah yang sering
berlaku dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, kerajaan sedang
melaksanakan pelbagai langkah melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat (KPWKM) untuk mengatasi masalah ini untuk memastikan sasaran 55
peratus wanita di negara ini berkerjaya pada 2015 dalam Rancangan Malaysia
ke-10 dapat dicapai.
Antaranya mewujudkan pusat
penjagaan kanak-kanak (Taska) di semua jabatan kerajaan. Namun sehingga kini
usaha itu masih diambil mudah oleh sektor swasta. Justeru, kerajaan pada Bajet
2013 memberi insentif termasuk geran RM10,000 dan pengecualian cukai berganda
kepada pihak swasta yang mengusahakan Taska.
Bajet 2013, bersifat mesra wanita
dan menggariskan pelbagai insentif untuk manfaat golongan itu bagi mengimbangi
peranan tri-fungsi wanita sebagai ibu, isteri dan pekerja.
Kecenderungan wanita Malaysia
tampil cemerlang dalam bidang tertentu semakin terserlah bermula sekitar awal
80-an sehingga hari ini setelah mengisi pelbagai slot kejayaan. Antaranya, Tan
Sri Siti Norma Yaakob, berjaya meletakkan dirinya sebagai hakim wanita pertama,
sama seperti kejayaan Tan Sri Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz yang dilantik
sebagai Gabenor Bank Negara wanita pertama.Begitu juga pencapaian, pakar
astrofizik wanita pertama di Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman.
Dalam bidang sukan, Datuk Nicol
Ann David membuktikan kehebatan wanita Malaysia untuk menguasai sukan skuasy
dunia.
Bukan setakat pernah menempah
nama sebagai juara dunia, tetapi beliau berjaya mempertahankan kejuaraan sejak
beberapa tahun sekali gus menjadikan Malaysia sangat dihormati di dalam sukan
itu.
Anak kelahiran Sarawak, Pandelela
Rinong Pamg pula berjaya muncul sebagai atlet wanita pertama Malaysia
menyumbang pingat Sukan Olimpik. Pingat gangsa itu diperolehi melalui acara
terjun pada temasya Olimpik London 2012.
Itu antaranya. Banyak lagi
sumbangan wanita dalam bidang lain yang menjadi kebanggaan rakyat dan diiktiraf
kerajaan, termasuk bidang sosial, politik dan seni.
Sememangnya, sumbangan wanita
diiktiraf peringkat global. Justeru tarikh 8 Mac setiap tahun ditetapkan
sebagai sambutan Hari Wanita Sedunia. Sambutan pertama pada 8 Mac 1975 ekoran
penerimaan satu resolusi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk
kesemua negara anggota menganjurkan "United Nations Day for Women's
Right and International Peace"
Matlamat sambutan Hari Wanita
Peringkat Antarabangsa adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung
isu-isu wanita sejagat serta peranan semua pihak dalam menghapuskan
diskriminasi gender agar pembangunan potensi wanita dapat dipertingkatkan.
Maka setiap tahun, pihak PBB akan
menetapkan tema bagi sambutan Hari Wanita Peringkat Antarabangsa dan lazimnya
ini disusuli dengan pernyataan khas oleh Setiausaha Agung PBB mengenai isu-isu
wanita berkaitan. Tema bagi tahun 2013 adalah "The Gender Agenda :
Gaining Momentum"
Dan tema ini adalah selaras
dengan visi KPWKM yang mahu menjadi peneraju utama bagi mencapai kesaksamaan
gender, pembangunan keluarga dan masyarakat penyayang dan sejahtera sebagai
asas pembentukan sebuah negara yang gemilang.
Sehubungan dengan sambutan Hari
Wanita Peringkat Antarabangsa, program yang dirancang oleh KPWKM pada tahun ini
adalah "1 Million Women Purple Walk 2013" yang akan dirasmikan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya esok.
Program yang diadakan serentak di
seluruh negara itu bertujuan meraikan kejayaan wanita dalam pelbagai bidang dan
sebagai tanda penghargaan atas inisiatif kerajaan terhadap golongan
tersebut.
Dalam pada itu Najib turut
melancarkan 1Malaysia Komuniti Perwani yang merupakan salah satu inisiatif yang
diperkenalkan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 8. Melalui inisiatif
1Malaysia Komuniti Perwani, KPWKM perlu melaksanakan sasaran mewujudkan 100,000
kumpulan jaringan wanita Perwani di seluruh Malaysia. Perwani akan diwujudkan
di sesebuah kawasan komuniti dengan ahli yang terdiri daripada 10 hingga 20
orang wanita bagi setiap kumpulan.
Antara matlamat penubuhannya
adalah sebagai agen transformasi wanita di peringkat komuniti.
Komuniti Perwani ini akan memberi
maklumat dan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai hala tuju kerajaan
untuk membentuk sebuah negara progresif tanpa mengabaikan kepentingan dan
sumbangan wanita di peringkat komuniti.
Perwani juga merancang dan
melaksanakan program-program transformasi komuniti seperti program pembangunan
kapasiti dan pembangunan masyarakat di kawasan komuniti.
Dalam pada itu, ia turut membantu
Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Persatuan Penduduk dan Unit Amanita*
meningkatkan keselamatan kejiranan di kawasan komuniti; dan memberi penerangan
kepada masyarakat setempat mengenai inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh
kerajaan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
* Unit Khas Wanita yang ditubuhkan oleh PDRM bagi mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilapor dalam kalangan masyarakat.
* Unit Khas Wanita yang ditubuhkan oleh PDRM bagi mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilapor dalam kalangan masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan