Oleh : Ahmad Yani Abd. Manaf
Mungkin kita sering mendengar
daripada penceramah, misalnya semasa pengajian, bahawa perilaku lebah madu
memberikan falsafah yang baik dalam membentuk akhlak manusia. Yang sering diungkap
adalah tiga hal, iaitu lebah memberikan
madu yang baik, dengan cara yang baik iaitu tidak merosakkan bunga, malah
membantu proses pendebungaan, dan lebah hanya memakan makanan yang baik-baik sahaja
(sari bunga). Tetapi ada hal lain daripada lebah ini yang menarik dan memberikan
pelajaran berharga bagi manusia.
Antaranya, lebah madu hidup berkumpulan
dan mengeluarkan salah satu makanan paling sempurna di dunia, iaitu madu.
Mereka menyimpan madu dalam sarang (kantung) yang mereka buat dalam bentuk segi
enam. Pernahkah kita terfikir, mengapa lebah membuat kantung madu dalam bentuk
segi enam? Para ahli matematik mencari jawapan atas persoalan ini, clan setelah
melakukan penghitungan yang panjang ditemukanlah jawapan yang menarik.
Rahsia Kantung Segi Enam
Kesimpulan mereka, cara terbaik
untuk membangun gudang simpanan dengan kapasiti terbesar adalah dengan membuat
dinding berbentuk segi enam. Andaikan lebah membuat sarang penyimpan tersebut
dalam bentuk silinder atau seperti prisma segi tiga, maka akan terbentuk 'gap'
[celah] antara kantung yang satu dengan yang lain, dan lebih sedikit madu
tersimpan di dalamnya.
Walaupun kantung madu yang berbentuk
segi tiga atau persegi biasa sahaja tentu tidak menimbulkan celah, tetapi di
sini ahli matematik menyedari satu hal terpenting. Daripada semua bentuk
geometri tersebut yang mempunyai sisi luar paling kecil adalah segi enam. Kerana
alasan inilah walaupun bentuk ini menutup kawasan yang sama, material yang
diperlukan (segi enam) lebih sedikit
dibandingkan dengan bentuk segi yang lain atau segi tiga. Tegasnya suatu kantung segi enam adalah bentuk terbaik untuk
mendapatkan kapasiti penyimpanan terbesar dengan bahan binaan daripada lilin
dalam jumlah yang minimum.
Membangun sarang daripada blok
yang berbeza
Hal lain yang mengagumkan daripada
lebah madu adalah kerjasama antara mereka dalam membuat kantung kantung madu
ini. Apabila seseorang mengamati rumah lebah yang telah sempurna, mungkin dia
berfikir bahawa rumah tersebut dibuat dengan cara melakukan bermula daripada
satu arah atau satu blok. Padahal sebenarnya lebah-lebah mulai membuat rumahnya
daripada arah atau blok yang berbeza-beza. Ratusan lebah membangun rumahnya
dari tiga atau empat titik permulaan yang berbeza. Mereka meneruskan
penyusunan binaan tersebut sehinggalah bertemu di tengah-tengah. Setelah
selesai, tidak nampak wujudnya ketidakserasian ataupun tompok-tompok yang tidak
selaras pada sarang tersebut. Manusia tentu tidak mampu membuat perancangan
yang sempurna ini tanpa perhitungan geometri yang rumit. Tetapi lebah dapat
melakukannya dengan mudah.
Lebah juga cermat menyamakan besar
sudut antara satu rongga dengan yang lainnya. Suatu rongga dengan rongga di belakangnya
didirikan dengan kecondongan 13 darjah dari permukaan rata. Kecondongan ini
mencegah madu daripada mengalir keluar atau tumpah. Di belahan bumi mana pun
kita pergi, kita akan menemukan kejayaan lebah mengaplikasikan lakaran arkitek yang luar biasa ini dengan sempurna. Mereka juga berjaya melakukannya
pada bahagian-bahagian sarang yang paling dalam dan dalam keadaan gelap-gelita
apabila sinar matahari tidak dapat memasuki sarang yang sedang dibina
tersebut.
Adalah fakta yang sangat menarik
di sini, lebah madu menunjukkan sifat yang luar biasa ini sejak mereka
lahir lagi. Anak lebah tidak memerlukan masa untuk belajar atau mengamati
struktur dan kecondongan kantung-kantung madu mereka. Sejak pertama kali
membuka mata, mereka telah memiliki kemampuan untuk melakukan tugas seumpama
ini. Lalu siapakah yang mengajarkan lebah-lebah ini tentang seni dan reka
bentuk sarang yang unik ini?
Jawapan kepada pertanyaan ini
boleh kita jumpai di dalam Al-Quran. Allah mengungkapkan rahsia kemampuan yang
dimiliki lebah madu sebagai berikut:
"Dan Tuhanmu mewahyukan kepada
lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat
tempat yang dibuat oleh manusia" [Surah An-Nahl, ayat:68]
Rahsia perilaku luar biasa daripada lebah tersebut merupakan ilham atau wahyu yang
diberikan oleh Allah kepada lebah. Dan hal itu berlaku kepada semua makhluk
hidup, tidak hanya pada lebah.
Kandungan Madu Lebah
Sejak jutaan tahun yang lalu,
lebah telah menghasilkan madu sepuluh kali lebih banyak daripada yang mereka
perlukan. Satu-satunya alasan mengapa binatang yang melakukan segala perbuatan
dengan penuh cermat dan teliti ini mengeluarkan madu secara berlebihan, adalah
agar manusia dapat memperoleh manfaat daripada madu yang mengandungi ‘ubat bagi
manusia' tersebut. Allah menyatakan tugas lebah ini dalam al-Quran:
"Daripada perut lebah itu keluar
minuman [madu yang bermacam - macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang
menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar - benar
terdapat tanda [kebesaran Tuhan] bagi orang-orang yang memikirkan." [Surah An-Nahl, ayat: 69]
Tahukah kita tentang manfaat madu
sebagai salah satu sumber makanan yang Allah sediakan untuk manusia melalui serangga
yang kecil ini? Madu terbentuk daripada beberapa molekul gula seperti glukosa
dan fruktosa serta bahan mineral seperti magnesium, kalium, potasium, sodium,
klorin, sulfur, besi dan fosfat. Madu juga mengandungi vitamin BI, B2, C, B6
dan B3 yang kandungannya berubah ubah mengikut kualiti madu bunga dan serbuk
sari yang dihirup oleh lebah. Di samping itu di dalam madu terdapat pula
tembaga, sodium dan zink dalam jumlah yang kecil, juga beberapa jenis hormon.
Madu Sebagai Ubat
Sebagaimana firman Allah SWT, madu
adalah ‘ubat yang menyembuhkan bagi manusia'. Fakta ilmiah ini telah dibenarkan
oleh para ilmuwan yang bertemu dalam
Persidangan Apikultur Sedunia [World Apiculture Conference] yang diadakan
pada tanggal 20-26 September 1993 di China. Dalam persidangan tersebut
dibincangkan pengubatan dengan menggunakan ramuan yang berasal daripada madu.
Para ilmuwan Amerika mengatakan bahawa madu, royal jelly, serbuk sari dan
propolis [getah lebah] dapat mengubati pelbagai penyakit. Seorang doktor yang berasal dari Belanda mengatakan bahawa dia telah menggunakan madu untuk mengubati pesakit katarak, dan 2002 dari 2094
pasakitnya dapat dipulihkan. Manakala seorang doktor yang berasal dari negara
Poland juga mengatakan dalam persidangan tersebut bahawa getah lebah [bee
resin] dapat membantu menyembuhkan banyak penyakit seperti buasir, penyakit kulit, dan pelbagai penyakit
lainnya.
Demikianlah kemajuan teknologi
berjaya menemukan pelbagai kebesaran yang telah Allah SWT firmankan lebih 1400 tahun lalu di dalam al-Quran.
Sesungguhnya terlalu banyak ilmu yang diwahyukan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran
telah dibuktikan kebenarannya oleh sains pada hari ini. (Sumber : Filem Dokumentari
Architech in Nature)
Sumber : Majalah i, Disember 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan