Sabtu, 16 Mac 2013

ISU SOSIAL : Manusia pesimis manusia perosak


TULISAN kali ini mungkin tidak banyak berkait dengan ulasan konsep psikologikal yang kompleks. Ia hanya berkait dengan dua hal yang ada pada manusia. Adakalanya ia sangat sukar untuk diubah, malah membahayakan negara.

Secara umumnya manusia dibahagikan kepada dua, iaitu manusia yang optimis dan pesimis. Tatkala manusia optimis sering kali yakin dengan apa yang mereka lakukan, manusia pesimis selalu memandang dengan penuh curiga bagi apa sahaja yang berlaku.

Manusia pesimis melihat sesuatu dari sudut yang negatif. Hanya mereka sahajalah yang benar, tetapi pihak lain akan selalu salah.

Walaupun berfikiran optimis tidaklah selalu menguntungkan, tetapi pesimis biasanya akan merosakkan.

Sigmund Frued, tokoh psikologi psiko analisis dilaporkan pernah berkata, bagaimana manusia yang teruk cenderung menilai orang lain sebagai buruk. Mereka akan menyatakan bahawa orang lain tidak akan sebaik mereka.

Hakikat yang sering diabaikan adalah mereka itulah yang teruk dan bukan orang yang mereka sangka sebagai buruk tadi.

Kita dapati inilah hal yang sedang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Tatkala penduduk di beberapa kawasan di Lahad Datu, Tawau dan Semporna dalam keadaan cemas kerana sedang menghadapi hari yang buruk kerana pendudukan pengganas, mereka yang pesimis ini masih lagi memandang dengan penuh sinis menyatakan apa yang berlaku itu hanyalah sandiwara.

Bahkan, tatkala ada anggota keselamatan kita dibunuh secara kejam, ada segelintir yang seolah-olahnya masih tidak lagi percaya apa yang sedang berlaku. Kononnya ia tidak lebih daripada sebuah lakonan sahaja.

Masih ada yang mempertikaikan kenapa anggota tentera dibawa dengan pesawat komersial dan bukan pesawat tentera. Ada pula yang bertanya mengapa kelengkapan tentera diangkut dengan lori perdagangan ke tempat pertempuran dan bukan bergerak sendiri?

Beri sokongan

Alangkah indahnya kalau kita bertanya apakah yang dapat kita lakukan bagi membantu menguatkan moral anggota keselamatan atau membantu penduduk menghadapi hari yang penuh trauma.

Kita mungkin tidak dilatih untuk menghadapi penjenayah. Bagaimanapun, membantu memberikan sokongan moral kepada mereka yang terlibat akan mampu melemahkan musuh.

Komen dan kritikan bukan sahaja menyukarkan keadaan, tetapi melukakan hati pihak lain. Bayangkan bagaimana perasaan balu anggota keselamatan kita yang kehilangan suami kerana mempertahankan nyawa kita semua.

Apa pula perasaan penduduk yang sedang kebimbangan kerana berada dalam keadaan sukar dan bahaya? Lebih membimbangkan, ia membantu meningkatkan moral pihak musuh untuk menjatuhkan kita.

Mengapa ada segelintir individu yang masih tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku? Dalam tulisan yang lalu, kita pernah membincangkan fenomena pemikiran kelompok.

Selain daripada warga tua, sebahagian besar daripada kita adalah warga merdeka. Kita tidak pernah merasai hidup dalam situasi yang sukar. Sebab itu, apabila tiba-tiba kita diserang oleh pengganas, ada yang merasakan ia bukan hal yang nyata.

Mereka seolah-olahnya percaya bahawa peperangan dan keganasan hanya boleh berlaku di negara lain dan bukan di negara kita.

Kepercayaan segelintir masyarakat ini bukan sahaja melemahkan moral anggota keselamatan, tetapi juga membahayakan negara.

Justeru kita juga jarang berhadapan dengan situasi perang dan serangan seperti ini, kita juga mungkin tidak terbiasa dengan perang psikologi yang sering dimainkan oleh musuh.

Perang saraf

Sebab itu, apabila tersiar berita-berita negatif mengenai pasukan keselamatan atau pemimpin negara di media massa luar negara, ramai daripada kita mempercayainya. Malah ramai yang mengeyakannya dan menyebarkan pula kepada pihak lain.

Perang saraf inilah yang biasanya boleh melemahkan kesatuan kita. Kita mungkin mampu menang dengan pengganas dalam perang terbuka. Bagaimanapun, sekiranya masyarakat masih tidak bersatu, kerana terpedaya dengan perang psikologi pihak musuh, ia hanya akan membuka jalan untuk musuh terus mengancam kestabilan negara.

Percayalah, dengan bersatu sahajalah kita mampu mengatasi suasana yang sukar seperti ini.

Kita semua boleh berbeza fahaman politik dan pandangan, tetapi kita semua tidak boleh berbeza untuk percaya bahawa inilah satu-satunya negara yang kita miliki.

Sayangilah negara kita. Bagi memenangi peperangan ini, kita semua perlu terlebih dahulu untuk tidak dikalahkan dalam perang psikologi.

Ia adalah kemenangan terbesar dalam semua jenis peperangan. Tidak salah sesekali mempunyai sikap yang pesimis, tetapi dalam keadaan tertentu optimis adalah terlebih baik untuk kita semua.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan