Ahad, 2 Jun 2013

ISU KENEGARAAN : Kampus, asrama tempat terbaik wujud kesatuan nasional

Persefahaman sepasukan dibentuk melalui aktiviti  permainan yang disertai

Oleh : Mohamad Abdullah
 
Apabila Universiti Sains Malaysia (USM) ditubuhkan pada 1969, kepemimpinan universiti pada masa itu memilih konsep desasiswa untuk asrama yang menempatkan mahasiswanya. Desasiswa bermakna menetapkan nilai hidup desa dalam kalangan mahasiswa berteraskan konsep saling memahami, tinggal bersama dan bekerjasama dalam pelbagai aktiviti.

Menariknya ketika itu ialah mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai kaum ditempatkan dalam satu bilik asrama. Mahasiswa tahun pertama diwajibkan untuk tinggal bersama dengan rakan daripada kaum lain, malah agama yang berbeza. Tidak ada masalah yang timbul, malah banyak cerita menarik yang boleh dicungkil ketika itu. Misalnya ada kisah pelajar Cina dan India yang mengejutkan rakan sebilik Islamnya untuk bangun solat Subuh. Ada rakan yang membawa rakannya ke kampung halaman ketika cuti. Penulis sendiri mempunyai rakan sebilik beragama Buddha dan kami sering bertukar fikiran, bertekak dan berdebat mengenai agama dan budaya, tetapi kami saling menghormati.

Malah, pada 1980-an, ada program Rancangan Bersama Desa yang menempatkan tidak lebih 20 orang mahasiswa untuk tinggal selama kira-kira 60 hari sepanjang cuti antara tahun pengajian bagi melakukan aktiviti di kawasan luar dan pinggir bandar termasuk menyelesaikan masalah bersama masyarakat.

Hubungan rapat tanpa masalah

Pelajar pelbagai kaum itu tinggal bersama keluarga angkat. Malah, ada pelajar dari kaum lain secara sukarela menukar nama untuk menyesuaikan dirinya dengan keluarga angkat. Mereka ikut sama ke kebun dan sawah, kenduri kendara, malah sertai apa juga aktiviti sepanjang tempoh masa itu. Hubungan rapat terjalin tanpa masalah walaupun ketika itu politik mengkafir sedang membara.

Malangnya apabila universiti berkembang, bilangan mahasiswa bertambah dan usaha itu makin diabaikan. Kita tunduk kepada tekanan untuk memberikan kebebasan kepada mahasiswa memilih termasuk rakan sebilik mereka selama berada di kampus. Mahasiswa memilih untuk bergaul dalam kelompok sendiri termasuk dalam dewan kuliah. Atas alasan menghormati agama dan budaya juga maka percampuran mahasiswa di asrama kemudian tidak lagi ditekankan.

Tekanan sesetengah pihak yang sensitif dan ekstrem juga mengehadkan usaha seperti ini. Kita melihat aspek kebebasan untuk memilih rakan sebilik, pertentangan pendapat kononnya tidak perlu bercampur pelbagai kaum dan sebagainya akhirnya menjadikan usaha mewujudkan perpaduan melalui desasiswa atau asrama tidak lagi menjadi perhatian utama. Malah untuk pelajar kita tinggal bersama-sama pelajar antarabangsa dalam satu bilik pun agak payah dilakukan atas pandangan yang menganggap bertentangan dengan adat, agama dan budaya dengan kebimbangan mengancam akidah.

Cari kaedah berkesan

Sampai masanya untuk kita mencari kaedah yang berkesan dalam mendekatkan anak muda kita untuk seawal mungkin hidup bersama-sama bagi lebih memahami dan sedia bertoleransi dalam berinteraksi dengan lebih akrab. Asrama perlu menjadi tempat terbaik untuk melatih anak kita hidup bersama-sama dan bergaul apatah lagi merancang dan menjalankan aktiviti yang boleh mendekatkan lagi antara satu sama lain.

Malah aktiviti sosial melalui kegiatan persatuan dan pertubuhan perlu diperkemaskan termasuk untuk mendekatkan anak-anak muda dengan masyarakat. Aktiviti sukarela termasuk projek yang membabitkan masyarakat juga perlu diperkukuhkan. Usaha yang lebih lestari yang berteraskan nilai sejagat perlu difikir dan dilaksanakan.

Antaranya ialah kemungkinan untuk industri dan peniaga mengambil mahasiswa pelbagai kaum sebagai ‘anak angkat’ seawal mereka mendaftar masuk ke universiti. Strategi serampang dua mata yang membolehkan mahasiswa menghayati budaya keusahawanan dan perniagaan serta pada masa yang sama lebih memahami denyut nadi masyarakat terutama di bandar dan pinggir bandar wajar dipertimbangkan.

Proses perpaduan yang disepadukan melalui pendidikan tidak formal tentunya berupaya untuk lebih mendekatkan anak-anak muda kita dengan kehidupan sebenar. Membiarkan mereka membuat pilihan semata-mata atas nama kebebasan tentunya tidak akan banyak membantu proses sosialisasi yang diinginkan negara. Masa depan negara banyak bergantung kepada perpaduan dan kesatuan rakyat. Justeru, usaha mendidik seawal mungkin sebagai sebahagian daripada proses sosialisasi perlu dilakukan secara berterusan.

Penulis ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen