Ahad, 2 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Gabung kementerian tindakan yang wajar


Oleh : Alimuddin Mohd. Dom

SEKURANG-KURANGNYA ada dua peristiwa penting berkaitan bidang pendidikan yang berlaku dalam Mei ini. Pertama adalah penggabungan semula Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Penggabungan ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa penyenaraian anggota Kabinet baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi tanggungjawab untuk menerajui kementerian itu dan dibantu oleh Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Pendidikan II. Turut dilantik dua orang Timbalan Menteri iaitu Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan.

Peristiwa kedua adalah penamaan semula kementerian baharu dikenali kini Kementerian Pendidikan. Nama baharu ini telah diumumkan Muhyiddin semasa menghadiri mesyuarat di Phuket, Thailand. Ini bermakna nama asal kementerian itu digunakan semula sama seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-11 tahun 2004.

Secara umumnya kedua-dua peristiwa ini mendapat reaksi positif daripada khalayak ramai khususnya golongan pendidik. Penggabungan kedua-dua kementerian itu dijangka meningkatkan lagi kualiti pendidikan sama ada di peringkat sekolah atau pengajian tinggi.

Penggabungan ini turut memberi impak besar kepada pembuat dasar bagi merangka satu sistem pendidikan yang mantap dan menyeluruh bagi kedua-dua peringkat pendidikan itu. Sementara itu, pertukaran nama Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Pendidikan dilihat sangat sesuai dengan masa dan ketikanya.

Perkataan ‘Ministry of Education’ itu lebih hampir terjemahannya kepada ‘Pendidikan’ jika dibandingkan dengan ‘Pelajaran.’ Jika diteliti kata kerjanya ‘to educate’ adalah bermaksud mendidik’dan bukannya hanya sekadar ‘mengajar.’

Ini bermakna peranan pendidikan tidak dilihat semata-mata berkaitan penyampaian ilmu pengetahuan tetapi sebenarnya lebih luas daripada itu. Pendidikan bermaksud usaha ke arah pembinaan modal insan iaitu manusia yang berilmu pengetahuan serta mempunyai kemahiran insaniah, berkeperibadian tinggi dan akhlak yang terpuji.

Dengan kata lain pendidikan adalah berkaitan usaha melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Melalui pembangunan insan ini diharapkan suatu hari nanti mereka dapat memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi turut melibatkan lebih setengah juta tenaga pengajar profesional dan terlatih yang terdiri daripada guru sekolah rendah dan menengah serta pensyarah Politeknik, Kolej Komuniti dan universiti awam. Ini menjadikan Kementerian Pendidikan sebagai kementerian terbesar dan paling berpengaruh dalam konteks pengurusan dan pembangunan negara.

Beberapa orang rakan bertanya kepada penulis, apakah manfaat penggabungan dan penamaan semula Kementerian Pendidikan ini? Jawapannya, banyak sekali yang boleh dilakukan. Bagi tujuan perbincangan ringkas ini penulis akan mengemukakan tiga pendapat peribadi.

Pertama, kedudukan Bahasa Melayu dapat dimartabatkan lagi. Jika mengambil contoh dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang sedang dilaksanakan di peringkat sekolah maka seharusnya diperluaskan hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Sejak perpecahan kementerian itu hampir 10 tahun lalu didapati Bahasa Inggeris digunakan secara meluas dalam pengajaran di universiti terutama fakulti tertentu. Akibatnya penguasaan dan penggunaan Bahasa Melayu aras tinggi mula terjejas sedangkan sebelum itu ia digunakan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran di fakulti penting seperti Perubatan, Farmasi, Undang-Undang, Kejuruteraan, Ekonomi atau Perakaunan.

Itu belum dikira lagi Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di mana ada yang hampir tiada langsung penggunaan bahasa kebangsaan dalam pengajaran dan pembelajarannya.

Memartabatkan Bahasa Melayu adalah sama seperti mempertahankan maruah bangsa dan negara. Sekiranya perkara ini tidak diberi penekanan maka usaha keras pejuang bahasa sejak dahulu memartabat dan mendaulatkan Bahasa Melayu akan menjadi sia-sia.

Pandangan ini bukanlah bermakna kita mengabaikan penguasaan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris tetap dianggap sebagai bahasa penting yang perlu dipelajari dan dikuasai sepenuhnya oleh semua murid dan siswa.

Kedua, melonggarkan syarat penempatan guru sama ada ingin berkhidmat di sekolah rendah atau menengah. Ketika ini guru yang bergraduat daripada Institusi Pendidikan Guru (IPG) akan ditempatkan mengajar di sekolah rendah sementara keluaran daripada universiti akan berkhidmat di sekolah menengah.

Ini disebabkan latihan di IPG adalah dalam bidang pengajian sekolah rendah. Sebaliknya bakal guru di universiti mengikuti pengajian yang berkaitan pendidikan menengah. Pembahagian ini juga dibuat atas persetujuan bersama kedua-dua kementerian semasa perpisahan kementerian itu dahulu.

Implikasinya ada guru lulusan IPG misalnya mempunyai bakat besar dalam bidang sukan atau olahraga yang sesuai ditempatkan di sekolah menengah tidak dapat digerakkan. Demikian juga mungkin terdapat guru sekolah menengah sangat berminat dan berkemahiran mengajar murid pra sekolah atau sekolah rendah tidak boleh dipindahkan kerana syarat itu.

Ketiga adalah membenarkan pergerakan guru atau pensyarah ke institusi yang memerlukan perkhidmatan dan kepakaran mereka. Misalnya pensyarah Bahasa Inggeris yang berkhidmat di universiti akan dapat mempraktikkan kaedah pengajarannya sekiranya digerakkan ke sekolah. Melalui pertukaran tempat bertugas ini akan memberi impak baik terhadap pembelajaran murid.

Demikian juga guru yang memiliki ijazah sarjana atau Ph.D. seharusnya diberi peluang untuk berkhidmat di universiti. Pengalaman mengajar dalam jangka masa yang panjang di sekolah akan memberi kelebihan kepada mereka sekiranya diterima berkhidmat sebagai pensyarah IPT.

Sesungguhnya penggabungan dan penamaan semula Kementerian Pendidikan dijangka memberi manfaat yang besar kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UNiSZA

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen